folder Filed in Dunia Buku
20 Kedai Buku Online Paling Popular Di Malaysia
admin comment 3 Comments access_time 7 min read

Ada yang mengatakan keadaannya tenat. Ada yang mengatakan suam-suam kuku. Ada juga pihak optimis, ianya berkembang tetapi dalam kadar yang perlahan. Apa pun yang dikatakan orang, industri buku di Malaysia berada pada kelasnya yang tersendiri. Rumah penerbitan buku sentiasa berusaha menerbitkan buku terbaik, para penulis yang giat melimpahkan ide dan pemikiran di lembaran, untuk misi pencerahan dan pencerdasan kepada masyarakat.

Meskipun terdapat laporan berlaku penguncupan pasaran buku di kedai-kedai buku fizikal, namun sebaliknya berlaku di kedai buku di atas talian atau ‘online’ di mana ianya terus mendapat sambutan oleh para pembaca untuk mendapatkan buku-buku pilihan mereka. Kali ini, Halaman Buku membawakan “20 Kedai Buku Online Paling Popular di Malaysia”. Senarai kedai buku online ini adalah berasaskan kepada mereka yang beroperasi di Malaysia sahaja.

Berikut ialah 20 buah buku kedai buku online yang paling popular di Malaysia.

1. MPH Onlinehttps://www.mphonline.com

MPH Online adalah salah satu rangkaian kedai buku terbesar di Malaysia yang menawarkan pelbagai tajuk buku untuk bacaan segmen pelanggannya yang tersendiri. Dengan memiliki 27 buah kedai buku fizikal seluruh negara serta penumpuan lokasi yang strategik, maka tidak hairanlah laman web MPH Online berada di tangga teratas dalam senarai kali ini.

2. Popular Online https://www.popularonline.com.my

Kedai buku Popular adalah kedai buku terkenal dan mempunyai cawangan yang terbesar di Malaysia. Popular terkenal dengan buku-buku fiksyen dan kanak-kanak ini banyak menumpukan kepada pasaran buku bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

3. Kinokuniya Bookstoreshttps://malaysia.kinokuniya.com

Kinokuniya Bookstores, kedai buku yang tidak asing lagi dalam kalangan pembaca buku di Malaysia. Kedai yang berasal dari Jepun ini uniknya hanya mempunyai sebuah kedai fizikal di Malaysia yang terletak di kawasan segi emas, Suria KLCC namun memiliki antara ruang jualan buku yang terbesar di Malaysia. Dengan reputasi mereka sebagai antara kedai buku terbaik dan berkualiti tinggi, Kinokuniya adalah syurga buat peminat buku tegar dan para ekspatriat.

4. Dewan Bahasa dan Pustakahttps://dbpniaga.my

Seterusnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menduduki tempat keempat di dalam senarai kedai buku online paling digemari di Malaysia. Tidak perlu diperkenalkan lagi, DBP banyak menerbitkan buku pelbagai genre di dalam bahasa Melayu dan menjadi pusat rujukan bagi bahasa Melayu di dalam negara kita.

5. BookXcess Onlinehttps://www.bookxcessonline.com

BookXcess yang bermula pada 2006, kini adalah peneraju kepada penjualan buku-buku murah bahasa Inggeris di Malaysia dan Asia Tenggara. Mereka turut menganjurkan Big Bad Wolf, salah satu acara jualan buku terbesar di dunia. BookXcess juga memiliki tujuh buah buku fizikal bertempat di Petaling Jaya, Subang Jaya, Kuala Lumpur, Penang, Ipoh dan Cyberjaya. BookXcess terkenal dengan buku-buku fiksyen dan buku-buku kanak-kanak yang diimport daripada luar negeri.

6. Bookcafe  – https://bookcafe.com.my

Bookcafe, salah satu daripada anak syarikat PTS Media Group Sdn Bhd ini adalah antara laman web yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pembaca. Menawarkan genre buku yang pelbagai terutama dalam Bahasa Melayu, Bookcafe adalah laman web yang perlu anda kunjungi. Bookcafe turut memiliki sebuah kedai buku fizikal iaitu Kedai Buku PTS yang bertempat di Selayang.

7. Karangkraf Mallhttps://www.karangkrafmall.com

Siapa tidak kenal akan Ramlee Awang Murshid, novelis thriler terbaik di Malaysia. Kebanyakan novel beliau diterbitkan oleh Karangkraf. Karangkraf Mall, laman web pembelian buku utama bagi semua produk Kumpulan Media Karangkraf, Alaf21, Buku Prima serta Karya Bestari. Karangkarf Mall berpusat di Shah Alam.

8. Telaga Biruhttp://www.telagabiru.com.my

Bermula pada 1997, Telaga Biru adalah antara syarikat penerbitan media cetak dan media elektronik berasaskan agama yang terkenal di negara kita. Dengan panel penulis yang diperakui keilmuan mereka, tidak mengejutkan mereka berada dalam kalangan senarai kedai buku online paling digemari di Malaysia

9. Imanshoppehttps://www.imanshoppe.com

Imanshoppe yang bermula pada 2012, kini sudah memiliki syarikat penerbitan sendiri iaitu Iman Publication. Buku terbitan syarikat ini kini menjadi antara yang dicari oleh milenial Muslim, dengan menawarkan pelbagai genre terutama genre dakwah kontemporari.

10. MySyababhttps://mysyabab.com

MySyabab merupakan sebuah kedai online yang dimiliki oleh One Syabab Sdn Bhd yang berpusat di Bandar Baru Bangi. Mereka mempunyai dua buku buku fizikal iaitu di PKNS Bangi dan satu lagi di Sri Iskandar, Perak dengan nama Galeri Buku Syabab. Mereka turut membekalkan  buku-buku rujukan untuk pelajar seperti buku teks sekolah, buku ilmiah, buku dan rujukan Islamik serta membekalkan alatan tulis.

11. BBOhttps://belibukuonline.com.my

Beli Buku Online atau lebih dikenali sebagai BBO merupakan kedai buku online yang ditubuhkan pada tahun 2010 dan dimiliki oleh Adli Rich Networks BBO terkenal dengan pelbagai buku terutama buku-buku novel bahasa Melayu yang kini sukar diperolehi di kedai buku fizikal.

12. ITBMhttp://itbm.com.my

Institut Terjemahan & Buku Malaysia atau singkatannya ITBM ditubuhkan oleh pada 14 September 1993 kerajaan Malaysia untuk mengangkat bidang terjemahan dalam negara, mengendali hal ehwal berkaitan terjemahan, kejurubahasaan dan pemindahan ilmu pada semua peringkat, kebangsaan mahupun antarabangsa. ITBM juga bertanggungjawab memperkasa dan memperbanyak penerbitan karya asli penulis tempatan bagi merancakkan industri perbukuan negara.

13. Bookurvehttps://www.bookurve.com

Bookurve.com, satu platform jualan buku membolehkan anda mencari buku, yang mana dicadangkan oleh pembaca buku sebelumnya. Bermula pada 2012, Bookurve kini menjadi antara laman web terkenal di dalam kalangan pembaca buku bergenre fiksyen terutamanya buku berbahasa Inggeris.

14. Kafilah Bukuhttps://www.kafilahbuku.com

Kafilah Buku adalah kedai buku online yang dimiliki dan diuruskan oleh Pelita Dhihin. Kedai buku ini menawarkan tajuk-tajuk buku yang bertemakan pembinaan tamadun seperti teologi, falsafah, pemikiran, sejarah dan pendidikan. Ditubuhkan sejak 2013, mereka juga memiliki sebuah kedai buku fizikal yang berpusat di Seksyen 6, Petaling Jaya.

15. ILHAM BOOKShttps://www.ilhambooks.com

Ditubuhkan sejak 2013, kedai buku online ini diuruskan oleh IB Media PLT iaitu merupakan sebuah rumah penerbitan dan pengedaran yang mengfokuskan kepada buku-buku ilmiah-popular, progresif dan kritikal meliputi bidang politik, pemikiran, falsafah, biografi dan memoir, sejarah, sosial dan pendidikan. ILHAM Books turut memiliki sebuah kedai buku fizikal iaitu Balai ILHAM di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. ILHAM Books percaya dalam membangun negara Malaysia yang lebih baik, masyarakat perlu diperkasakan melalui bahan-bahan bacaan yang berkualiti dan kritis.

16. Galeri Ilmuhttp://galeriilmu.com.my

Galeri Ilmu ialah sebuah kedai buku online yang dimiliki oleh syarikat penerbitan buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd yang berpusat di Kota Damansara. Mereka menawarkan pelbagai tajuk buku-buku bergenre agama, motivasi, kanak-kanak dan kekeluargaan. Mereka turut menerbitkan Majalah Asuh yang terkenal di kalangan anak-anak dan remaja.

17. SMO Bookstoreswww.smobookstores.com

SMO Bookstores adalah sebuah rangkaian kedai buku dan alat tulis lengkap yang dimiliki sepenuhnya oleh Syarikat Muda Osman Sdn. Bhd. yang berpusat di Kota Bharu. Kedai Buku SMO mempunyai 24 cawangan dan hampir 400 pekerja dan kini beroperasi di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

18. FIXIhttps://fixi.com.my

Buku Fixi Sdn. Bhd merupakan sebuah syarikat penerbit buku-buku fiksyen yang digemari oleh remaja dan golongan urban di Malaysia. Mereka mula beroperasi pada tahun 2011 dan turut memiliki sebuah kedai buku fizikal iaitu Kedai Buku Fixi di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur.

19. BORDERS https://www.borders.net.my

Diuruskan oleh Berjaya Books Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Berjaya Corporation, kedai BORDERS pertama di Malaysia membuka pintu pada tahun 2005 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Hari ini, terdapat tujuh kedai BORDERS Malaysia yang terletak di pelbagai lokasi terutama di Lembah Kelang.

20. Bookjannah https://www.bookjannah.com

Bookjannah.com, merupakan sebuah kedai buku online yang dimiliki oleh Alhira Resources. Mereka menjual dan mengedar pelbagai pilihan buku umum, buku ilmiah Islam serta kitab Al-Quran kepada sekolah, pejabat dan kedai buku di seluruh Malaysia.

—-

Sumber data: Alexa

industribuku kedaibukuonline onlinebookstores toponlinebookstores

Leave a Reply to admin Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment

  1. Sedikit pembetulan bagi makluman orang lain mahupun pengarang.. BookExcess mempunyai beberapa kedai fizikal dan bukan hanya dua(mungkin ini dinyatakan kerana tidak mahu berbahas panjang2) antara contoh tmpt2 lain yang mempunyai kedai BookExcess adalah

    -BookExcess Gurney Paragon, penang
    -BookExcess Starling mall,damansara
    -BookExcess Ipoh, sekeping kongheng

    fakta2 ini hanyalah dari memori dan pengalaman sendiri