folder Filed in Dunia Buku
9 Bacaan Terbaik Sempena Hari Kemerdekaan ke-62
admin comment 0 Comments access_time 9 min read

Bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62, editorial Halaman Buku kali ini menyediakan artikel 9 bacaan terbaik sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62. Supaya 31 Ogos tidak lagi hanya menjadi hari cuti biasa-biasa buat anda. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

1. Akar Bangsa: Budaya, Naratif dan Identiti (Dr Muhaimin Sulam)

Buku ini memfokuskan tentang bangsa Malaysia yang diilhamkan saat menjelang kemerdekaan negara. Buku ini ingin mengajak pembaca untuk memahami istilah kemerdekaan, bahasa, sejarah, seni, tradisi dan sebagainya dalam memahami makna bernegara. Asal penulisan buku ini adalah artikel-artikel yang diterbitkan di dalam kolum penulis di akhbar atas talian Malaysiakini dan akhbar Harakah sejak beberapa tahun lalu. Terdapat juga beberapa tulisan yang belum diterbitkan lagi. Oleh kerana ia suatu penulisan yang berperingkat-peringkat, mungkin terdapat lompangan dari satu artikel dengan artikel lain.

Buku ini mengandungi tiga bahagian. Bahagian pertama berkisar soal budaya, kebudayaan dan kelompok budayawan yang membentuk rupa wajah bangsa. Dari lirik lagu, novel, filem hingga puisi sang pujangga, penulis merakamkan peri pentingnya peranan sang budayawan dalam membina citra negara bangsa. Ia juga membicarakan persoalan hubungan kuasa dengan budaya, penguasa dengan budayawan dan politik dan acara kebudayaan.

Bahagian kedua adalah himpunan tulisan yang membincangkan rupa wajah jiwa bangsa dalam konteks kebudayaan. Meskipun persoalan kebudayaan tidak dibincangkan secara mendalam tetapi beberapa perbincangan dalam bahagian ini menyentuh pemikiran para karyawan dan budayawan dalam mengungkapkan realiti kehidupan melalui karya mereka. Ini termasuk karya dan cerita tentang Hamka, Seniman Agung, P. Ramlee, Kasim Ahmad, A. Samad Said dan sebagainya.

Bahagian tiga adalah tulisan berbentuk sejarah. Memulakan perbincangan dengan sejarah kewujudan nama negara merdeka ini sebagai Malaysia. Sejarah pemilihan nama negara merdeka mempunyai signifikan yang akrab pada falsafah negara itu terbentuk. Kejatuhan kerajaan Melayu Melaka dan bermulanya era penjajahan yang memakan lima ratus tahun adalah tragedi bangsa. Akar bangsa hampir tercabut, terlerai dari akar umbi yang terbenam secara bawah sedar. Pensejarahan nasional yang meminggirkan golongan kiri melalui sejarah Mat Indera adalah satu contoh yang dikemukakan.

2. Malaysia Pasca Rasisme (Dr Mujahid Yusof Rawa)

Rasisme atau perkauman sempit adalah barah kanser yang membunuh keharmonian masyarakat. Sikap rasisme yang penuh dengan prejudis dan kebencian adalah racun yang membinasakan harapan untuk hidup dengan kehormatan. Perkauman sempit menjadi mentera untuk menghalalkan kefasadan dan menindas kaum lain. Ia satu reaksi rantai yang berulang tanpa penghujung selagi mana masyarakat dibudayakan dengan perkauman sempit.

Buku ini adalah sebahagian dari himpunan pemberontakan Dr Mujahid Yusof Rawa secara kreatif terhadap unsur dan rangsangan rasisme di sepanjang keterlibatan beliau dalam politik kepartian. Sebahagain artikel adalah catatan terhadap isu-isu yang melambangkan permasalahan kebencian kaum dan agama dan sebahagian yang lain ialah ide dan lontaran pemikiran kepada pendekatan dan sikap yang dibuat melalui kenyataan akhbar dan lain-lain.

Judul buku ini Malaysia Pasca Rasisme menggambarkan ide-ide dalam penulisan Dr Mujahid Yusof Rawa yang menjadi suatu harapan kepada politik baru yang hanya akan muncul setelah tamatnya era perkauman sempit. Malaysia memerlukan masa yang panjang untuk dirawat bagi kemunculan politik baru ini walaupun usaha ke arah perubahan politik sudahpun menampakkan hasilnya bermula pilihan raya umum 2008 sebelum ini.

3. Memoir Ghazali Shafie: Penubuhan Malaysia (Tun Ghazali Shafie)

Tun Ghazali Shafie salah seorang ahli kabinet dari era Tunku Abdul Rahman sehingga Tun Dr Mahathir Mohamed. Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini adalah antara individu yang bertanggungjawab dalam merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Rancangan Malaysia Kedua (RMK2) 1970-1975. Beliau berkongsi cerita tentang peristiwa yang beliau terlibat secara langsung ketika Malaysia sedang membangun dari sebuah negara yang baru merdeka ke negara yang membangun.

Walaupun penceritaannya berbentuk santai, Tun Ghazali Shafie menulis mengikut kronologi pembentukan Malaysia yang sebenarnya. Di dalam buku ini memuatkan kisah peranan Tunku Abdul Rahman dalam membentuk negara dan rakyat Malaysia. Turut dimuatkan juga peranan Tun Abdul Razak dalam Inter-Govemental Committee (ICC) yang kemudiannya membuka jalan kepada pembentukan Malaysia gabungan di antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Memoir ini sesuai untuk dijadikan panduan yang berguna kepada pelajar sejarah dan diplomasi serta dijadikan teladan kepada generasi baru tentang perit getir usaha dan perjuangan dalam menjayakan pembentukan Malaysia.

4. Pergerakan Bersenjata Parti Komunis Malaya 1968-1989 Kebangkitan Semula dan Penumpasannya (Dr Ho Hui Ling)

Buku yang sangat sesuai kepada siapa yang mahukan sisi pandang berbeza mengenai KPM. Perbahasan secara menyeluruh mengenai perjuangan Parti Komunis Malaya. Penulis menyatakan secara jelas bahawa Malaysia bukan sahaja menghadapi ancaman komunis pada zaman darurat (1948-1960), tetapi masalah ancaman komunis masih berterusan selepas negara mencapai kemerdekaan.

Dalam terbitan kali ini juga, penulis secara terperinci menceritakan bahawa pada tahun 1968, Parti Komunis Malaya (PKM) mengambil keputusan untuk melancarkan semula usaha merampas kuasa di Semenanjung Tanah Melayu. Setelah menyusup masuk ke Semenanjung dari selatan Thailand, PKM melancarkan kebangkitan semula perjuangan bersenjata terhadap rakyat, anggota keselamatan dan kerajaan Malaysia.

Walau bagaimanapun, hasrat dan tindakan PKM itu sudah disedari oleh pihak kerajaan. Justeru, kerajaan mengatur dan menjalankan pelbagai langkah untuk menghapuskan gerakan komunis dan menangani bahaya ancaman komunis kepada keselamatan negara. Permasalahan komunis di Semenanjung Tanah Melayu berakhir apabila perjanjian perdamaian dimeterai di Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989 antara pihak kerajaan dengan PKM. Perjuangan PKM yang mengambil masa panjang itu merupakan suatu ancaman kepada keselamatan negara, namun masalah komunis akhirnya dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat, kerajaan serta pembangunan negara.

5. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan (Mohamed Salleh Lamry)

Suatu kejayaan yang besar kepada penulis apabila beliau mampu menterjemahkan perjuangan menuntut kemerdekaan bukan sahaja berlaku disebabkan aliran kanan semata-mata. Penulis dengan jelas mejelaskan bahawa aliran nasionalis kiri juga mempunyai peranan yang cukup besar dalam menuntut kemerdekaan.

Penulis dengan jelas menyatakan bahawa dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, gerakan nasionalisme Melayu terbahagi kepada aliran kiri dan aliran kanan. Aliran kiri dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM), diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). Aliran kanan pula dipelopori oleh persatuan Melayu negeri-negeri dan diteruskan oleh United Malays National Organisation (UMNO) dan Berjaya mencapai kemerdekaan.

Adakah aliran kiri yang sebenarnya memperjuangkan kemerdekaan? Semua ini telah dijelaskan secara Panjang lebar dalam buku ini.

6. Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api (Ahmad Boestamam)

Boestamam tersohor sebagai seorang tokoh nasionalis dan penulis yang disegani, tajam dan peka dengan keadaan di sekelilingnya. Pembentangan sejarah tanah air dan perjuangan Boestamam menentang penjajah sewaktu memperjuangkan Kemerdekaan dan dilihat dengan jelas menerusi Lambaian dari Puncak. Keterlibatannya dalam politik pula dapat dilihat dengan jelas menerusi Merintis Jalan ke Puncak.

Karya beliau lebih tertumpu kepada pergolakan dalam satu kehidupan yang sarat dengan perjuangan, pengorbanan dan penderitaan yang pernah ditanggungnya. Lewat naskhah Tujuh Tahun Malam Memanjang, Boestamam lebih memberikan tumpuan tentang kisah suka duka pengalaman silamnya yang berkali-kali ditahan dan merana dengan kehidupan hitam di sebalik tirai besi.

Edisi terbitan ini menghimpunkan ketiga-tiga karya Boestamam agar dapat dihayati oleh pembaca lain. Rentetan kehidupan beliau yang gemilang dan tragis dapat dikesan menerusi penulisannya. Justeru, dalam keadaan penerbitan yang segar begini diharapkan generasi muda patut menghayati dan menghargai nilai Kemerdekaan yang pernah diperjuangkan oleh Boestamam dan rakan-rakannya. Kekentalan semangat yang ditiup oleh Subhas Chandra Bose turut membakar jiwa Ruhi Hayat sehingga beliau sanggup mengabadikan nama popularnya sebagai Boestamam.

Satu lagi sumbangan besar Boestamam ialah menyusun Testament Politik API. Merdeka dengan darah yang menjadi tema dokumen tersebut begitu sinonim dengan perjuangan hidupnya yang selalu membara. Testament ini menerangkan tentang kebangkitan pergerakan tanpa mengira ras tenaga pemuda dan pemudi di Malaya dan di seluruh dunia. Bahan ini sesuai untuk bacaan masyarakat umum terutama mereka yang berminat dalam bidang sains politik.

7. Darurat: 1946-1960 Keadaan Sosial di Tanah Melayu (Dr Ho Hui Ling)

Bila berbicara soal kemerdekaan, satu tragedi yang terjadi sebelum hingga pasca-merdeka iaitu peristiwa darurat adalah satu cerita yang tidak dapat dipisahkan dari kisah kemenangan beroleh kemerdekaan negara kita. Buku ini menceritakan tentang keadaan masyarakat ketika itu dalam berhadapan dengan darurat. Aspek kajian yang merangkumi gaya hidup penduduk, hubungan antara kaum yang ada, soal pendidikan serta isu berkaitan infrastruktur menjadi tiang utama dalam penerbitan buku ini. Penulis, Dr. Ho Hui Ling adalah pakar dari sudut sejarah, menjadikan kupasan isu di dalam buku ini mudah untuk difahami dan memberikan kita gambaran jelas, keadaan negara sewaktu berhadapan dengan insiden darurat yang memberikan luka pada sejarah pembentukan negara ini. Buku ini diterbitkan oleh Penerbitan Universiti Malaya.

8. Berpisah Tiada (Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia)

Siapa tidak kenal, tokoh politik dari Sabah yang juga mantan Speaker Dewan Rakyat? Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia, menulis buku ini atas kesedaran mengingatkan generasi muda hari ini juga membetulkan semula pandangan berkenaan isu penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia sewaktu tahun 1963, dari sudut undang-undang dan tafsiran-tafsiran salah yang dipengaruhi oleh kecenderungan politik serta bersifat kenegerian. Melalui buku Berpisah Tiada ini, Tan Sri Pandikar Amin menghuraikan secara tuntas isu seputar Sabah dan Sarawak serta Persekutuan Malaysia dan mematahkan hujah-hujah yang ingin membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia dengan berpandukan pengalaman luas beliau dalam bidang perundangan. Buku Berpisah Tiada, bacaan wajib anda sempena kemerdekaan kali ini akan menjadikan erti kemerdekaan anda akan lebih berisi, berisi dengan jiwa penuh kecintaan terhadap bumi bertuah ini.

9. Dato’ Onn Ja’afar: Pengasas Kemerdekaan (Prof Datuk Dr Ramlah Adam)

Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini adalah tentang biografi seorang tokoh, Pengasas Kemerdekaan yang datangnya dari negeri Johor, Dato’ Onn Ja’afar. Mana mungkin dapat kita menafikan sumbangan Dato’ Onn Ja’afar di dalam perjalanan kemerdekaan Tanah Melayu sehingga kita dapat mengecapi pembangunan yang pesat hari ini. Melalui buku ini, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam mengupas mengenai susuk tubuh Dato’ Onn Ja’afar secara menyeluruh, hasil penyelidikan beliau yang luas dan teliti. Perjalanan politik Dato’ Onn bermula dengan kerjaya sebagai wartawan, menjadi pemimpin di Johor, menjadi ketua menentang Malayan Union, menubuhkan UMNO sehinggalah menentang UMNO yang ditubuhkannya, diulas dengan baik serta penggunaan laras bahasa yang mudah, menjadikan kita seolah termasuk dalam jalan cerita yang dipersembahkan kepada kita melalui buku ini. Karya ini adalah bahan bacaan wajib bagi anda, yang tercari-cari erti kemerdekaan dengan mengenang perjalanan orang dahulu untuk kesenangan masa kini. 

hari kemerdekaan ke-62 malaysia membaca Merdeka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment