folder Filed in Resensi
Datuk Bandar Petaling Jaya: Antara Rakyat dan Kerajaan
admin comment 0 Comments access_time 3 min read

Buku yang anda tatap ini Memoir Datuk Bandar: Bekerja Dengan Tiga Kerajaan merupakan sebuah catatan kerjaya seorang PTD yang bagus dan boleh dijadikan rujukan oleh para penjawat awam dan bakal penjawat awam. Buku ini mencatatkan pengalaman peribadi Dato’ Roslan Sakiman dalam menabur khidmat kepada tiga kerajaan – Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan – dan diselitkan sejarah serta perkembangan perkhidmatan dan agensi yang pernah penulis berkhidmat.

Menerusi buku ini, para pembaca dapat memahami peranan seorang PTD dan mengetahui selok belok cabaran yang dihadapi semasa dalam perkhidmatan. Majoriti mengetahui bahawa selain menteri, penjawat awam daripada skim PTD juga mempunyai pengaruh yang besarnya dalam menentukan kemajuan negara.

Ketika beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majis Bandaraya Petaling Jaya, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor ketika itu berbeza fahaman politik dengan Kerajaan Persekutuan. Ini menuntut kebijaksanaan penjawat awam untuk mengasingkan fahaman politik dengan tugas pentadbiran semasa bekerja. Dalam menyampaikan perkhidmatan, rakyat harus diletakkan sebagai keutamaan.

MBPJ merupakan salah satu PBT terbesar di Malaysia yang mempunyai isu komuniti dan pembangunan yang kompleks. Kepesatan urbanisasi dan ekosistem ekonomi yang maju telah menjadikan MBPJ berdepan dengan cabaran yang pelbagai untuk ditangani.

Salah satu isu yang tidak dapat saya lupakan adalah pendekatan yang digunapakai oleh pentadbiran Dato’ Roslan dalam menguruskan isu lesen perjudian. Saya melihat betapa rumitnya cabaran yang perlu dihadapi oleh penjawat awam Kerajaan Persekutuan yang dipinjamkan ke Kerajaan Negeri Selangor ketika itu untuk memenuhi kehendak dan kepentingan pelbagai pihak. Dalam menguruskan isu ini, Dato’ Roslan sentiasa berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan demi kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Di samping itu, Dato’ Roslan juga telah banyak membuat perubahan dasar yang berimpak tinggi ketika di MBPJ dan dasar-dasar tersebut telah dijadikan rujukan oleh PBT lain di Selangor dan seluruh Malaysia. Kesan dasar baharu yang diperkenalkan berserta pelaksanaan perancangan yang teratur semasa di bawah pentadbiran beliau, hasil papan iklan MBPJ pada tahun 2013 telah berjaya ditingkatkan daripada RM 700 ribu kepada RM 12 juta setahun.

Selain menekankan pembaharuan dan pendekatan MBPJ untuk merancakkan ekonomi, Dato’ Roslan juga memberi tumpuan kepada golongan miskin dan bependapatan rendah. Di bawah pentadbirannya program seperti Food Bank dan Hardcore Poor Relief telah dilaksanakan dan diperkenalkan.

Secara peribadinya, saya melihat Dato’ Roslan sebagai seorang penjawat awam yang boleh dijadikan contoh kerana sikap integriti, efisien dan wibawa yang ditonjolkan oleh beliau. Sebagai contoh, dalam isu kontroversi padang PKNS. Semasa mesyuarat penuh Ahli Majlis, saya telah membangkitkan isu rujukan dokumen yang berlainan di antara Perancang MBPJ dengan perancang Kerajaan Negeri Selangor.

Dato’ Roslan telah membuat keputusan yang berani. Beliau sebagai pengerusi mesyuarat dengan pantas memutuskan bahawa dokumen yang digunapakai oleh Perancang MBPJ adalah tidak sah kerana bercanggah dengan dokumen Perancang Kerajaan Negeri Selangor.

Satu lagi isu yang tidak akan saya lupa berkaitan dengan Dato’ Roslan ialah isu pertukaran mengejut beliau daripada MBPJ ke SUK Negeri Selangor atas arahan Kerajaan Persekutuan tanpa perbincangan dan persetujuan dengan pihak MBPJ dan Kerajaan Negeri Selangor. Pertukaran Roslan yang terlalu mendadak tanpa justifikasi yang jelas amat meragukan.

Ini kerana prestasi beliau amat cemerlang dan memenuhi ekspektasi warga dan kakitangan sepanjang perkhidmatannya di MBPJ. Hal ini telah membuktikan bahawa konflik arahan antara kerajaan kepada penjawat awam adalah satu isu kompleks dan mana-mana pihak yang tidak profesional boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran.

Susulan kes tersebut, saya telah mendedikasikan satu artikel khusus bertajuk “My Respect of Mayor” buat Dato’ Roslan. Saya berharap kes seperti ini dapat diwacanakan dan dijadikan sejarah yang perlu diperbaiki dalam perkhidmatan awam untuk kepentingan negara di masa hadapan.

Derek Fernandez, Ahli Majlis MBPJ

—-

*Dipetik dan disunting semula daripada buku Memoir Datuk Bandar: Bekerja Dengan Tiga Kerajaan karya Dato’ Roslan Sakiman. Buku ini boleh diperoleh di sini.

datuk bandar petaling jaya roslan sakiman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment