oleh Mohd Azizi Jaeh
Sosok Anwar Ibrahim dikenali sebagai pemimpin intelektual yang menyanjung tradisi berfikir dan tidak centric terhadap satu-satu aliran pemikiran atau school of thoughts yang berbeza. Umumnya, intelektual boleh didefinisikan sebagai individu yang berpengetahuan luas, berfikiran kritikal dan ejen perubahan berkesan dalam masyarakat. Tidak seperti ahli akademik dan kumpulan pemikir yang bersikap non-partisan, pemimpin yang berpewatakan intelektual mempunyai kedudukan strategik dalam merencanakan gagasan reformis atau islah merentasi ideologi, mempengaruhi perubahan orde politik untuk menarik perhatian besar golongan massa – misalnya gerakan Reformasi 1998. Komitmen Anwar terhadap peranan intelektual yang melingkunginya bagi membantu menaikkan imejnya sebagai pemimpin demokrat di Asia. Ini antara kelebihan yang tidak dimiliki oleh ahli politik lain di Malaysia.
Pada satu segi, Anwar sering dirujuk sebagai pengkritik sosial dan berfikir anti-establishment dengan sejarahnya yang terdidik dalam pelbagai jalur pemikiran termasuk dari sumber pembacaannya dari intelektual Barat. Reputasi Anwar yang dianggap sebagai intelektual Muslim universal berikutan tarikan pesona dan penghayatannya terhadap kata-kata pengarang besar Barat yang sering dijadikan petikan dalam pengucapan dan penulisannya. Malah dalam membincangkan wawasan pendidikan dan keintelektualan, Anwar dipengaruhi dengan bahan pembacaan bersifat anti-establishment dan kekirian. Analisis Ivan IIich berhubung (Deschooling Society) terhadap institusi pendidikan sekolah yang menjadi alat kawalan pemerintah, diikuti konsep pendidikan sebagai proses pembebasan yang dikemukakan oleh Paolo Freire dalam (Pedagogy of the Oppressed). Malah semasa menjadi Menteri Pendidikan, Anwar pernah mewajibkan buku tulisan Allan Bloom (The Closing of American Mind) untuk dibaca para ahli akademik di universiti bagi menanggapi krisis intelektual dan kemerosotan mutu pendidikan yang berlaku di AS.
Pembacaan Anwar tidak terbatas dalam lingkungan sarjana dan pemikir Barat, tetapi Anwar turut dipengaruhi dan terdidik dengan pendekatan De-Westernisation of Knowledge yang tersohor daripada mentornya iaitu Syed Naquib Al-Attas. Maka tidak hairanlah, keterhubungan Anwar bersama Syed Naquib untuk mengembangkan projek ‘pengislaman pengetahuan’ selain mempromosikan konsep ‘masyarakat madani’ di peringkat domestik dan antarabangsa dalam seminar akademik, forum dan siri pengucapan awam.
Institute of Islamic Thought and Civilization atau (ISTAC) salah satu pembikinan beberapa institusi penyelidikan yang diasaskan Syed Naquib yang berada dalam lingkungan terdekat Anwar dalam menyuburkan perkembangan Islam modenis di Malaysia. Anwar ketika itu menyandang jawatan Menteri Pendidikan (1986-1991) dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Selain Syed Naquib, Anwar juga dikelilingi oleh bulatan (circle) pemikir Islam tempatan yang terkemuka seperti Osman Bakar dan Siddiq Fadzil. Tidak terkecuali John L. Esposito yang merupakan profesor agama yang mengkhususkan pengkajian tentang Islam dari Georgetown University AS banyak membincangkan hubungan dunia Islam dan demokrasi Barat antara jaringan intelektual yang dipertauti Anwar. Selain itu, penyelidikan Ismail Faruqi seorang sarjana Islam Amerika berhubung Islamisasi di Malaysia begitu menyentuh dan mengesankan Anwar semasa zaman mudanya sebagai aktivis yang memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Bahkan Ismail Faruqi, Taha Jabir al-Alwani dan Anwar merupakan antara pengasas Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) pada 1980 yang mencadangkan cendiakawan Muslim dari seluruh dunia Islam memajukan projek pengislaman ilmu pengetahuan (Islamization of knowledge) dalam pelbagai disiplin akademik.
Meskipun Anwar merupakan golongan elit politik, kepekaan intelektualnya telah meletakkan dirinya sebagai ‘tokoh pembaca’ pada 1988 apabila dianugerahkan oleh Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK). Secara tidak langsung mengarahkan pandangan masyarakat berhubung kepentingan membudayakan ilmu pengetahuan, diikuti keupayaan Anwar mempengaruhi golongan pemikir untuk lebih aktif dengan kerja-kerja intelektual serta mendedahkan masyarakat kepada khazanah pemikiran agung terdiri daripada pelbagai tradisi dan budaya tamadun-tamadun besar lain.
Kemuncak daripada kecintaannya terhadap khazanah buku, Anwar telah mengarang buku ‘The Asian Renaissance’ pada akhir 1996 dan diterjemahkan kemudiannya ke dalam bahasa Melayu pada 1997 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam karya tersebut, Anwar memetik penulisan karya-karya besar dari ahli falsafah, sarjana dan pemikir terkenal yang merentasi konteks alam Melayu, Barat serta dunia Islam. Nama-nama pemikir Nusantara yang dibariskan dalam bukunya seperti Syed Hussein Alatas, Sutan Takdir Alisyahbana, Pramoedya Ananta Toer, Hamka, Goenawan Mohamad dan W.S Rendra; sementara sarjana Islam seperti Seyyed Hosein Nasr, Muhammad Iqbal, Fazlur Rahman dan Muhammad Asad. Dalam pada itu, Anwar lebih banyak menekankan dan memetik nama ahli fasafah dan sarjana Barat seperti Edmund Burke, Edward Said, T.S Elliot, Milton Friedman, John Rawls, Noam Chomsky, Friedrich Hayek, Eric Hobsbawn, Paul Krugman, John Locke, John Stuart Mill, Karl Popper, Alexis de Tocqueville, Adam Smith dan William Shakespeare. Kebanyakan nama-nama besar dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan yang terdiri pelbagai aliran pemikiran tidak terlepas daripada kupasan dan ulasannya semasa berucap dalam forum dan dialog bersama pemikir, pensyarah dalam dan luar negara serta mahasiswa di universiti sejak dahulu hingga sekarang. Tidak sekadar itu, karya-karya besar khususnya daripada pemikir liberal moden dan klasik serta intelektual Islam moden menjadi tumpuan bagi projek penerbitan dan terjemahan buku yang dijalankan Institut Kajian Dasar (IKD) dan kumpulan pemikir Anwar.
Sebagai pengasas Institut Kajian Dasar (IKD) yang ditubuhkan pada 1985, kesungguhan Anwar dalam memperluaskan konsep masyarakat madani dalam memastikan alternatif pembangunan masyarakat berasaskan prinsip keadilan sejagat turut dibincangkan dalam Gelombang Kebangkitan Asia. Perubahan satu generasi baru dalam politik yang disertai Anwar serta intelektual yang mengelilinginya telah menyaksikan elemen non-elit untuk diterapkan dalam mainstream untuk membawa satu perubahan daripada kapitalis yang bersifat populis kepada pembangunan manusia yang lebih bersifat manusiawi. Dalam erti kata lain, mencari kekayaan bagi setiap individu adalah dibenarkan, tanpa meninggalkan tanggungjawab sosial kepada masyarakat terpinggir dengan pemerataan sumber kekayaan.
Golongan kapitalis yang tidak mementingkan sikap kemanusiaan menurut Anwar akan menyebabkan “yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.” Komitmennya berhubung masalah kemiskinan dan pemerkasaan golongan terpinggir bukan setakat mencakupi penulisan ataupun intellectual exercise, tetapi diterjemahkan dalam konteks tindakan. Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, Anwar antara pemimpin di rantau Asia yang telah menjadikan misi peribadinya untuk memujuk entiti korporat agar bergiat cergas dalam perjuangan awam. Untuk itu, mendapatkan sumbangan dan tabungan daripada badan korporat untuk Anwar mengukuhkan projek kebajikan rakyat khususnya perumahan kos rendah untuk golongan peneroka bandar.
Tulisan Anwar dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia mungkin mengambil kira situasi ekonomi politik Asia (khususnya kebangkitan negara Harimau Asia dan negara industri baru) pada awal dan pertengahan 90-an yang mengalami satu kitaran ‘boom’ yang bermaksud ekonomi pasaran yang memberikan pulangan lumayan dari segi pendapatan dan pertumbuhan sehingga 10 peratus. Lagi pula, situasi ketika itu menyaksikan kegagalan sistem ekonomi sosialis di Blok Timur apabila keruntuhan Soviet Union akhir 90-an. Hubungan ini menurut Anwar menyebabkan aktiviti perdagangan bebas, persaingan dan kembalinya pasaran disanjung tinggi di negara industri. Maka tidak hairanlah Anwar membuktikan Marxisme gagal meskipun tarikannya terhadap negara membangun tidak dinafikan kerana retorik anti imperialisme yang menjanjikan pembebasan daripada penindasan. Bahkan masih banyak bentuk kemiskinan kekal di kebanyakan negara kapitalis. Oleh yang demikian, Anwar mencadangkan ‘jalan tengah’ yang terdiri daripada nilai yang bukan sahaja diambil daripada Islam malah tradisi, etika dan falsafah lain seperti chun tzu (manusia sempurna dan jujur), shu (tidak melakukan kepada orang lain apa yang diri tidak suka) dalam ajaran Konfusianisme.
Suatu yang ditekankan Anwar di sini ialah pembangunan ekonomi yang tidak dilihat terlalu materialistik, sebaliknya nilai budaya dan agama mampu menciptakan satu keseimbangan antara material dan spiritual masyarakat. Berbeza dengan pengalaman sejarah Barat, konteks Asia amnya dan konteks Malaysia khasnya, agama dan kekayaan tradisi adalah sumber kekuatan dan elemen penting untuk menghalang kemerosotan moral dan sosial. Untuk itu, tanggungjawab kepada Tuhan, pengukuhan institusi kekeluargaan, hubungan sesama manusia tanpa mengira warna kulit dan penjagaan alam sekitar diberikan penekanan untuk melaksanakan kebaikan dan tidak terlalu centric mengejar kebendaan.
Untuk itu, konsep masyarakat madani yang diungkapkan Anwar dalam buku tersebut boleh disimpulkan sebagai sebuah masyarakat dengan “sistem sosial yang subur yang berasaskan prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dengan kestabilan masyarakat; masyarakat yang mendorong daya usaha serta inisiatif individu baik dari segi pemikiran, ilmu, ekonomi, peradaban, sains teknologi, sistem politik yang cekap dan saksama serta pelaksanaan pemerintahan mengikut prinsip undang-undang. Demokrasi bukan sahaja semata-mata matlamat untuk masyarakat Asia, tetapi cara yang boleh memastikan pemerintahan yang berperikemanusiaan. Cuma perlu diingatkan, istilah masyarakat madani yang ditonjolkan Anwar ini untuk menyampaikan maksud masyarakat sivil (civil society) dalam konteks Malaysia yang berbeza dengan pemikir Barat.
Buku ini boleh dirumuskan bagaimana sepatutnya Asia itu boleh ‘dijadikan’ oleh seorang individu yang mungkin berada dalam sebuah posisi yang akan membentuk masa hadapan. Namun begitu, Anwar bukanlah seorang reformis biasa, memandangkan kronologi sejarahnya yang panjang dan berwarna-warni membawa pelbagai suara dengan pernah menyandang status quo dalam kerajaan, menjadi pembangkang, dan kini berada semula di koridor kekuasaan. Tidak kira apa juga pandangan awam terhadap pengayaan (stylization) politik Anwar, renaissance-man kelahiran Seberang Prai Pulau Pinang ini berbeza daripada pemimpin lain di Malaysia dalam menarik audiens dan khalayak semasa berpidato khususnya bagi golongan intelektual reformis. Perjuangan golongan reformis merupakan satu perjalanan yang tiada noktah, tapi sering kali diganggu dengan tanda koma.
Rujukan dan bacaan lanjut:
- Allers, C. 2014. Anwar Ibrahim: evolution of a Muslim democrat. Singapore: Monsoon Books.
- Anwar Ibrahim. 1989. Menangani perubahan. Kuala Lumpur: Berita Publishing.
- Anwar Ibrahim. 1993. Keuntungan dengan tanggungjawab sosial. Kuala Lumpur: Institut Kajian Strategik Malaysia.
- Anwar Ibrahim. 1994. The need for civilizational dialogue. Dlm. Intellectual Discourse, 2(2): 101-106.
- Anwar Ibrahim.1996. The Asian Renaissance. Singapore: Times Book International.
- Chandra Muzaffar. 1997. Review work(s): The Asian Renaissance by Anwar Ibrahim. Dlm. Pacific Affairs, 70(2): 253-254.
- Chandra Muzaffar. 2002. Rights, religion and reform: enhancing human dignity through spiritual and moral transformation. London: Routledge.
- Derichs, C. 2003. Competing politicians, competing visions: Mahathir Mohamad’s Wawasan 2020 and Anwar Ibrahim Asian Renaissance’. Dlm. H. K Leong & J, Chin (pnyt). Mahathir’s administration: performance and crisis in governance, hlm. 188-213. Singapore: Times Books International.
- Funston, N. J. 1998. Political careers of Mahathir Mohamad and Anwar Ibrahim parallel, intersecting and conflicting lives. Kertas Kerja Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, no. 15 (July 1998): 1- 32.
- Johnson, D. 2007. Intellectual statesmanship in the Mahathir Era. Dlm. Phua Kai Lit (pnyt.). Malaysia public policy marginalised groups, hlm. 143-163. Kajang: Persatuan Sains Sosial Malaysia.
- Omar Altalib. 1997. The Asian Renaissance, by Anwar Ibrahim. Reviewer. Dlm. Intellectual Discourse, 5(1): 69-71.
- Rustam A. Sani. 1988. Anwar Ibrahim: Tokoh Pembaca. Dlm. Dewan Masyarakat (September 1988).
- Siddiq Fadzil, 2017. Pendidikan keinsanan: menyorot wawasan kependidikan Anwar Ibrahim. Dlm. Dinsman et.al. (pnyt.) Dua dekad dia dizalimi, hlm. 32-36. Shah Alam: IDE.
- Su-ming Khoo. 1998. Thinks tanks and intellectual participation in Malaysia discourses of development. Dlm. Stone, D, Denham, A. & Garnett, M (pnyt.). Thinks tanks across nations: a comparative approach, hlm 166-187. Manchester: Manchester University.
- Weiss, M.L. 2008. Anwar Ibrahim: semi-dissidents, semi-democrat. Dlm. Kane, J, Patapan, H & Wong, B (pnyt.). Dissident democrats the challenge of democratic leadership in Asia, hlm. 85-104. New York: Palgrave Macmillan.
*Mohd Azizi Jaeh merupakan pelajar Ph.D Sains Politik UKM
*Kredit kepada artikel asal di sini.
*Buku Anwar Ibrahim, Gelombang Kebangkitan Asia boleh didapati di sini.
Previous Next