folder Filed in Pencerahan
Islam dan Terorisme: Kepelbagaian Naratif
admin comment 0 Comments access_time 13 min read

Prejudis yang kian memuncak di antara Barat dan Islam tidak menjanjikan banyak kewarasan dalam tindakan dari kedua-dua pihak. Pembantaian ke atas umat Islam di seantaro dunia, sikap talam dua muka Amerika dan tindakan ganas segelintir radikalisme Islam akhirnya mengakibatkan konflik ini berterusan. Justeru, hidup sebagai seorang Muslim dalam era mencabar adalah satu ujian keimanan bagi sebahagian besar umat Islam. Kepada bukan Islam, menerima hakikat bahawa keperluan hidup dalam kedamaian di celah kepelbagaian agama dan budaya kini tercabar. Dunia akan menjadi lebih harmoni dengan kepelbagaian sebagai temanya kerana kepelbagaian adalah ibarat not bunyi yang berbeza-beza tetapi berusaha untuk mencapai satu titik keseimbangan demi menghasilkan sebuah irama yang indah. Bayangkan dunia tanpa not-not bunyi yang pelbagai, tiadalah istilah irama dan tiadalah keharmonian bagi mencapai maksud ketenangan irama.

Jawapan kepada mengapa keganasan menjadi subur dan berkembang ialah usaha giat menafikan kepelbagaian dan mahu menjadikan dunia hanya tunduk untuk khidmat kepada kehendak seorang dua yang berasakan dirinya berkuasa. Tidak hairanlah jikalau itu menjadi falsafahnya maka keputusan yang hendak dicapai sudah barangkira pasti tidak mengendahkan orang lain. Dalam istilah politik dikatakan unilateralism untuk mencapai satu bentuk hegemoni. Tidak hairanlah irama yang diharapkan tidak kedengaran tetapi yang ada ialah irama sumbang perang bukan sahaja sakit telinga mendengarnya tetapi juga sakit hati dan sakit jiwa dibuatnya.

Ramai kita yang hidup dalam era GWoT seolah dipaksa menerima naratif keganasan atas kehendak set-minda Barat walaupun naratif kita sama sekali berbeza dalam memahami isu yang lebih mendasar seperti apakah puncanya, dan mengapa ia berkembang? Saat kita mula bertanya menyentuh persoalan yang lebih mendasar, saat itu kita mempunyai naratif yang lebih adil dan perspektif yang lebih meluas dan ketika itu tidak terelak kita mahu mencabar apa yang disogokkan selama ini sebagai naratif yang mutlak tentang keganasan.

Berbeda Alasan

Dalam beberapa siri konferensi peringkat parlimen negara-negara Islam yang saya hadiri, isu-isu maklumbalas kepada keganasan yang dikaitkan dengan nama Islam seringkali dijadikan perbahasan utama. Tiada negara Islam yang menerima naratif Barat terhadap keganasan khususnya apabila ia cuba dikaitkan dengan nama Islam, tetapi mereka yang berbicara dalam konferensi tersebut adalah di antara negara yang paling buruk rekod hak asasi manusianya dan suasana demokrasi pincang yang semua sudah sedia maklum. Pada waktu yang sama mereka menghentam Barat yang menyalahertikan keganasan, mereka juga menindas suara-suara yang menuntut kebebasan di negara mereka sendiri dan menggunakan undang-undang anti keganasan untuk mendiamkan suara-suara masyarakat sivil yang tiada kaitan dengan keganasan.

Di sinilah terletak masalahnya apabila punca berlakunya keganasan tidak diubati jikalau negara Islam mahukan naratifnya tersendiri. Keganasan bagi Amerika adalah penghalang kepada matlamat dasar luarnya tercapai maka keganasan diberikan tema sebagai musuh, manakala di negara Islam hakikatnya keganasan adalah alasan untuk mewajarkan kezaliman dan penindasan sang penguasa untuk terus bertahta. Kesannya ialah, perang ke atas keganasan di negara Islam hanya akan membuahkan lagi keganasan kerana kebebasan bersuara disekat manakala di negara Barat keganasan dilihat dari sudut ideologi dan dihadapi secara ketenteraan dalam skala besar asalkan dasar mencipta Timur Tengah Raya tercapai. Mangsa kedua-dua naratif ini adalah orang awam dan mereka yang mahu melihat isu ini dihadapi secara komprehensif dan tuntas.

Masalah Pelarian Konflik Perang Syria

Atas peperangan ini kemanusiaan tergadai, walaupun dari sudut moral, Barat lebih ke hadapan menangani kesan peperangan dengan menerima pelarian yang terlantar di perairannya. Apakah ini ‘menebus dosa’ dunia ke atas peperangan yang berlaku ataukah negara Eropah khususnya komited kepada perjanjian hak asasi manusia yang ia adalah antara penandatangannya. Memangnya ironi sekali difikirkan demikian namun itulah realitinya apabila negara Islam kecuali Turki yang benar-benar mengambil berat tentang status pelarian perang yang perlu diselamatkan.

Dalam salah satu pertemuan saya dengan Setiausaha 1 Kedutaan German di Malaysia, kami berbincang panjang kesan perang dari sudut pelarian yang terdampar di persisiran pantai Eropah dan beliau berpandangan isu ini akan membangkitkan sentimen nasionalis Eropah dalam kempen-kempen poltik mereka. Mr Van Thiel yang berpengalaman tentang politik Eropah mengandaikan puak kanan konservatif akan lebih berjaya meyakinkan kemarahan pengundi kepada kerajaan yang ada hari ini yang dilihat lebih liberal sikapnya kepada pelarian. Sentimen anti-Arab dan Islam akan menguasai retorik kempen politik dengan menjadikan isu pelarian sebagai taruhannya.

Van Thiel seterusnya menegaskan ia akan jadi satu keputusan yang sukar bagi pilihan poliitik namun dia yakin Eropah tak akan membelakangkan komitmennya terhadap kemanusiaan. Memang unik sikap negara Eropah berbanding negara Islam. Di Malaysia kerajaan ada menyebut secara janjinya di parlimen untuk menerima sebahagian pelarian Syria dari negara Eropah namun hingga kini, ianya hanya tinggal janji. Bagaimana Malaysia nak menerima pelarian dari luar jika pelarian yang terdampar di lautan pun dihantar balik atau diabaikan sehinggalah mendapat tekanan dari pembangkang dan NGO barulah bantuan diberikan.

Ideologi Keganasan

Saya masih ingat lagi dalam salah satu termuramah BBC dengan Dr Mahathir Mohamad ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ketika ditanya tentang ekstrimisme di kalangan umat Islam, Tun Mahathir menyatakan bahawa sejarah ekstrimisme dimulakan oleh Barat semasa Inquisition oleh Sepanyol yang telah mengalahkan tentera Islam di Andalusia dan Granada. Inquisition adalah gerakan mencari penduduk Islam untuk dibunuh atau dipaksa menganut agama Katolik. Beribu orang Islam dihapuskan dengan kaedah Spanish Inquisition malah ada yang berpura-pura masuk Kristian kerana mahu selamatkan nyawa mereka dari dibunuh atau dihalau dari bumi Andalusia. Saya mendengar temubual tersebut semasa saya masih menuntut di Mesir, walaupun saya bukanlah peminat Mahathir pada zaman pelajar saya tetapi kata-kata Mahathir ketika itu telah membuka mata saya kepada fakta sejarah tentang ekstrimisme yang sebenarmya sangat mendasar dalam sejarah agama Katolik dan hubungannya dengan agama lain.

Di India, pembunuhan ke atas umat Islam atas nama agama kerap berlaku sehingga Hindu juga tak terelak dari penyakit ekstrimisme. Buddha yang mengamalkan agama ketenangan jiwa dan kedamaian selalu membunuh umat Islam Rohingya atas nama agama dan bangsa. Yahudi membantai umat Islam Palestin juga berinspirasikan agama yang menyatakan mereka adalah umat terpilih untuk melakukan apa yang mereka mahu. Memalitkan hanya Islam sebagai agama pengganas adalah satu ketidakadilan kepada umat Islam, begitu juga menyatakan hanya tindakan beberapa kelompok yang menggunakan sentimen agama untuk menyalahkan keseluruhan agama tersebut amatlah tidak adil.

Apa yang harus ditentang ialah fahaman yang menyeleweng menafsir agama atas konsep kebenaran tuhan ke atasnya lalu mewajarkan keputusan-keputusan atas garis sedar bahawa agama lain dan penganutnya perlu dihapuskan atas nama tuhan yang telah memberikannya kebenaran! Ini dinamakan sebagai monopoli agama. Fahaman menyeleweng agama juga berdasarkan kepada campuran rasisme yang mendasari makna ketuanan kaum atau bangsa lalu diwajarkan dengan alasan keagamaan, ini dinamakan sebagai rasisme agama.

Semasa saya membentangkan kertas kerja saya di Persidangan Undang-Undang Kuala Lumpur pada 2013 anjuran Badan Peguam, saya menyeru dalam ucapan saya supaya semua pihak harus menentang ideologi ekstrimisme dan rasisme kerana ini dua penyakit yang menyebabkan negara terbantut dalam mencapai agenda nasionalnya. Saya juga menyebut tentang salah faham terhadap agama yang melihat perintah dari kitab suci secara tekstual tanpa melihat konteks dan perlaksanaannya. Peranan agama adalah untuk menjaminkan kedamaian hidup dan bukan mewajarkan kebencian sesama manusia hanya kerana keturunan dan kepercayaannya.

Saya mempromosikan Islam sebagai agama yang mementingkan hidup bersama secara damai dan sejarah peperangan dalam Islam adalah atas sebab memastikan kebebasan agama tercapai. Tidak ada dalam sejarah Islam di mana peperangan dilakukan untuk memaksa rakyat yang kalah menerima Islam dan kerana itu adanya konsep ahlul dzimmah demi memastikan kebebasan itu berlaku. Adapun jizyah yang sering dikaitkan dengan bayaran cukai kerana tidak memeluk Islam adalah salah kerana jizyah adalah pampasan kepada mereka bukan Islam yang tidak menyertai peperangan bersama kaum Muslimin dan kedua ianya merupakan perlindungan kepada harta dan maruah mereka. Orang Islam diwajibkan pembayaran zakat sama ada zakat fitrah, harta ataupun ternakan mereka. Ramai dari kalangan peserta luar negara bertemu dengan saya kemudiannya ingin bertanya lanjut beberapa perkara yang mereka belum mendengarnya tentang konsep kedamaian yang termaktub dalam intipati agama Islam.

Suara Menentang Keganasan

Saya pernah berucap dalam sesi parlimen 2015 tentang bahaya ekstrimisme kerana ia berpotensi untuk diterjemahkan kepada keganasan atas fahaman yang diyakini benar. Ekstrimisme sebagai ideologi melihat pandang dunianya daripada sudut “aku atas kebenaran vs kamu atas kesesatan”. Premis ini berpotensi untuk meradikalisasikan agama Islam dan atas asas ini mudah menjadi potensi pengrekruant kepada sarang dan sel-sel pengganas. Dalam ucapan saya, saya menyeru supaya Parlimen Malaysia mengambil serius hal ini jika mahu memerangi keganasan dari akar umbinya, malah saya bertemu dengan Tuan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memohon supaya ada inisiatif dibuat bagi menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Terrorisme dan saya menawarkan diri untuk membantu memulakan inisiatif tersebut kerana sehingga kini kita belum belum ada jawatankuasa khas melihat hal demikian itu lagi. Isu ini masih lagi dalam perhatian kamar Speaker.

“Penularan ekstrimisme menyuburkan aktiviti terrorisme…”, esoknya media telah mengambil perhatian kepada ucapan saya di Parlimen. Beberapa hari kemudian saya menganjurkan sidang media khas bersama Dato’ Raja Kamarul Bahrin Ahli Parlimen Kuala Terengganu di lobi Parlimen. Antara lain yang kami sebutkan dalam sidang media khas tersebut ialah tentang penularan esktrimisme melalui beberapa fahaman yang berbahaya berpotensi bertukar menjadi keganasan iaitu;

1. Menganggap kelompoknya sahaja yang betul manakala yang lain sesat, munafik dan sebagainya sehingga timbul budaya takfirisme yang menjadi asas kelompok pengganas seperti ISIS/ISIL dan Al-Qaeda meresap kepada fahaman ini.

2. Penafsiran ayat Al-Quran dan Hadis dikupas secara literal tanpa konteks dan menterjemahkan fahamannya secara terasing dari realiti undang-undang dan kenegeraan serta norma masyarakat yang ada. Ia melahirkan fahaman anti-establishment yang radikal atas nama agama.

3. Pembawaan Islam yang jalur keras dengan menekankan Islam dalam aspek perundangan hudud semata-mata tanpa menilai realiti perundangan serta halangan yang dibatasi oleh perlembagaan negara. Hilangnya Islam Rahmah yang mengambil kira keseluruhan isu perlaksanaan.

Dalam sidang media itu, kami mencadangkan langkah yang wajar diambil oleh pihak berkuasa antara lainnya ialah memantau kegiatan para pengkuliah agama yang membawa ideologi sedemikian dan membetulkan salah faham kefahaman Islam yang dibawa. Membentuk kefahaman realiti dan hukum supaya dijadikan panduan yang diterimapakai oleh semua pihak dan menghapuskan budaya takfirisme melalui agensi kerajaan, NGO dan individu.

Saya juga pernah menjadi salah seorang pendiskusi dalam persidangan meja bulat yang dianjurkan oleh GMM atau Global Moderate Movement di bawah pengarah eksekutifnya ketika itu, Dato’ Saifudin Abdullah. Tetamu yang menjadi pengucap utamanya ialah Baroness Sayeeda Warsi yang ketika itu menjadi Menteri yang bertanggungjawab dengan hal ehwal agama dan kemasyarakatan Britain. Meja bulat itu bertujuan berkongsi pengalaman kepada isu agama dan bagaimana peranan kerajaan dan masyarakat menanganinya antara lain ialah isu keganasan atas nama agama. Saya mencadangkan dalam perbincangan tersebut antara lainnya ialah pemunggahan semula fiqah dengan memberikan semangat baru kepada realiti yang berubah hari ini. Istilah harbi dan dzimmi dari segi strukturalnya perlu dirombak kepada makna kewarganegaraan dengan mengekalkan prinsip kebebasan dan keadilan sebagai intipati yang wajib dipertahankan oleh undang-undang negara.

Saya juga menyatakan bagaimana pengamal media menggunakan isu ekstrimisme ini untuk kepentingan dari segi ianya dapat menjual berita bagi dan bagi orang politik ia boleh menggunakannya untuk sentimen lantaran kejahilan sebahagian masyarakat. Masalahnya ialah arus kesederhanaan jarang mendapat tempat di hati ahli politik di Malaysia yang suka mencetuskan api perkauman dan keagamaan manakala media (bukan semua) mensensasikan berita-berita hubungan antara agama tanpa membantu meredakannya. Sayeeda Warsi berkongsi pengalaman Britain yang agak terkesan juga dalam masyarakat yang penduduk Islamnya semakin berkembang dalam sebuah negara majoritinya Kristian bermazhab Anglican.

Saya juga berkesempatan bertemu dengan Lord Ahmad yang menjawat jawatan Menteri yang bertangunggjawab menangani ekstrimisme Britain ketika dalam rangka lawatannya ke Malaysia. Saya dan beberapa rakan Ahli Parlimen lain dijemput oleh Kedutaan Britain atas kapasiti kami sebagai Ahli Parlimen untuk makan malam sambil berdiskusi tentang bagaimana menangani ekstrimisme.

Menarik dalam perbincangan kami ialah strategi Britain kini menumpu kepada punca masalah dan dengan melihat perspektif itu kata Lord Ahmad, mereka dapati bahawa takrif ekstrimisme bukan sahaja terhadap Islam tetapi pelbagai entiti lain yang masuk dalam pentakrifan mereka sebagai ekstrim. Strategi baru ini kata beliau turut melihat ucapan kebencian antara agama dan kaum sebagai berpotensi mengancam nilai yang membentuk sebuah masyarakat yang bebas dan demokratik. Ideologi ekstrimis tidak semestinya melakukan keganasan tetapi mereka mewajarkan keganasan yang dibuat oleh kelompok tertentu lantas menganggap ianya bukan satu kesalahan. Saya banyak mempelajari pengalaman di Britain dalam pertemuan makan malam tersebut dari sudut dasar dan tindakan sebuah pemerintah terhadap keganasan.

Keganasan Bukan Jawapan

Keganasan bukan sahaja mesti datang dari entiti bukan negara, tetapi ia boleh datang dari entiti sebuah negara. Menyerang dan menjajah sebuah negara dengan mengharapkan tidak ada pejuang yang mempertahankann negaranya daripada dijajah adalah satu mitos. Menjajah dengan meninggalkan negara yang dijajah dalam keadaan huru-hara dan kepimpinan yang lebih buruk akan membuka ruang kepada kelompok pengganas mengambil kesempatan dalam vakum ini. Lebih buruk ialah memberikan pengganas keperluan supaya suasana anarki berterusan lalu mewajarkan keberadaan berterusan tentera penjajah. Prinsip bahawa “keganasan melahirkan keganasan lain” adalah benar jika kita lihat apa yang berlaku di Iraq dan Syria di mana tiada penghujung kepada kitaran ini.

Oleh itu jalan kehadapan ialah dengan mengasaskan hubungan antara negara atas hormat-menghormati dan memperkukuhkan negara dengan memastikan kebebasan menentukan masa depan kedaulatannya. Untuk masyarakat awam, pendidikan kepada erti kehidupan yang pelbagai agama dan budaya serta kaum perlu kepada satu titik pertemuan kemanusiaan yang berkongsi nilai dan prinsip bersama. Pelbagai perjanjian yang dikemukakan oleh masyarakat antarabangsa sebenarnya menjuruskan kepada budaya keamanan dan kedamaian namun malangnya penguasaan kuasa besar dunia ke atas PBB, badan yang memayungi hubungan antara negara di peringkat antarabangsa telah mencacatkan perjalanannya. Sikap double standard ini telah menghampakan sebahagian besar warga dunia yang inginkan keamanan dan kedamaian. Penjajahan Israel ke atas bumi Palestine dan keganasan ke atas penduduknya seolah ditutup sebelah mata oleh badan tertinggi dunia, di manakah keadilan?

Saya tidak fikir jalan ke arah harapan dunia yang aman akan mendapat jalan yang mudah, namun kita harus yakin bahawa ianya bukan mustahil. Gabungan pencinta kedamaian di seluruh pelusuk dunia senantiasa berusaha walaupun sukar, mereka disatukan dengan harapan melalui sedikit usaha dan nilai kemanusiaan yang berbaki. Jawapannya ada dalam buku ini sebagai tapak permulaan memahami keadaan dan mengambil sikap optimistik bahawa Keganasan bukan jawapan, ada jalan lain yang lebih berkekalan iaitu Kedamaian, Kemanusiaan dan Kebaikan bersama.

—-

*Dipetik daripada sebahagian buku Islam Bukan Agama Teroris karya Dr Mujahid Yusof Rawa

Islam Rahmah Mujahid Yusof Rawa Terorisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment