folder Filed in Pencerahan
Kesyahidan Ismail Haniyyah & Masa Depan Palestin
admin comment 0 Comments access_time 3 min read

Kesyahidan Ismail Haniyyah menjadi antara titik penting di dalam serangan zionis ke atas Gaza yang memasuki hari ke-299 hari ini.1

Pemergian Ismail Haniyyah telah disambut dengan seruan-seruan yang dilaungkan oleh pihak penentang penjajahan di Palestin. Laungan untuk mengadakan mogok, ditambah lagi dengan berbalas serangan antara Hizbullah dan Israel menjadi titik-titik yang bakal mencetuskan sesuatu di kemudian hari.

Walaupun sehingga saat penulisan ini ditulis masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan Ismail Haniyyah di Tehran, tetapi seluruh dunia mula menunjuk kepada Israel.

Matlamat Netanyahu dan Israel

Apa yang cuba dicapai oleh Israel melalui pembunuhan Ismail Haniyyah? Netanyahu ketika awal serangan ke atas Gaza dilakukan mengatakan bahawa terdapat tiga objektif utama mereka menyerang Gaza.

i) Menghapuskan HAMAS,
ii) Mengembalikan semua warga Israel yang berada di dalam tahanan mujahidin dan,
iii) Memastikan selepas HAMAS lenyap, tidak akan ada lagi unsur pengganas yang boleh disebarluaskan dalam kalangan penduduk Gaza, seterusnya menjamin keamanan Israel.

Mereka mengira bahawa dengan membunuh para pemimpin, sesebuah gerakan itu akan mati; dalam konteks ini pergerakan penentang di Gaza. Sejarah panjang penentangan membuktikan, setiap kali pemimpin gerakan syahid, gerakan sentiasa akan menghasilkan pemimpin baharu untuk terus memimpin penentangan.

Genjatan Senjata dan Masa Hadapan Palestin

Apa implikasinya terhadap usaha untuk mencapai gencatan senjata di Gaza?

Usaha ke arah mencapai gencatan senjata di Gaza berjalan setiap masa. Keengganan pihak penentang untuk menerima syarat zionis bukanlah bermakna mereka sengaja melengah-lengahkan proses perdamaian, tetapi demi memastikan proses itu telus, tanpa menyembunyikan agenda tersendiri.

Pembunuhan Ismail Haniyyah ini jika benar dilakukan oleh Israel, ia menunjukkan keengganan Israel sendiri di dalam menjalankan gencatan senjata di Gaza. Ia bakal memarakkan api yang lebih besar, menggerakkan ketumbukan yang lebih gah di dalam menentang penjajahan dan bakal menjadikan rundingan menjadi lebih sulit untuk dijalankan.

Pengaruh Haniyyah di dalam fraksi politik dan gerakan penentangan di Palestin memainkan peranan yang penting di dalam soal mobilasi dan kesatuan gerak kerja. Mustahil tindakan musuh terhadap pemimpin gerakan penentangan ini hanya akan dibiarkan pergi bak angin lalu? Sudah pasti akan ada tindakan yang bakal menyusul kemudian.

HAMAS dan Palestin: Ke Mana Selepas Ini?

Jurucakap Briged Izzudin al-Qassam, Abu Ubaidah mencium dahi Shaykh Ismail Haniyyah, Ketua Biro Politik HAMAS

Apa yang boleh dijangkakan dalam masa terdekat?

Penganalisis politik mula memerhatikan berkenaan pengganti Haniyyah yang akan memimpin gerakan HAMAS. Sosok yang bakal menggantikan tokoh ini bukan sahaja membawa beban yang besar, tetapi kemungkinan besar perlu membuat keputusan berkenaan hala tuju gerakan dalam Tufan al-Aqsa iaitu sama ada meneruskan jalan ketenteraan seperti yang berlaku sekarang, atau memilih untuk menawarkan pendekatan politik; sesuatu yang kelihatan bukan sebagai pilihan utama.

Tambahan lagi, serangan yang berlaku di Tehran ini kemungkinan akan membawa kepada peningkatan serangan bukan sahaja di dalam Palestin, tetapi juga melibatkan negara-negara lain, termasuklah Iran dan Lubnan.

Usaha menuju ke arah gencatan senjata makin malap, kemungkinan untuk perang di rantau tersebut terus meningkat, semuanya demi memenuhi hasrat Netanyahu dalam memanjangkan hayat politiknya yang bakal mengheret Amerika Syarikat dan sekutunya ke arah lembah kebinasaan.

Antara bahan bacaan tambahan seputar hal ini:

1. Hamas mulakan proses rundingan pilih pengganti Haniyeh (https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2024/08/1280186/hamas-mulakan-proses-rundingan)

2. Why has America risked it all in Gaza? (https://www.aljazeera.com/opinions/2024/8/4/why-has-america-risked-it-all-in-gaza)

3. What’s next for Hamas after political leader Ismail Haniyeh’s assassination? (https://www.theguardian.com/world/article/2024/aug/01/whats-next-for-hamas-after-political-leader-ismail-haniyehs-assassination)

*Penulisan ini diambil daripada saluran telegram Introspeksi: Syahmi Afiq dengan sedikit olahan.

  1. Serangan Israel ke atas Gaza kini sudah memasuki hari ke-305. ↩︎


Previous Next

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment