folder Filed in Dunia Buku
Kitab Faysal dan Pesan-Pesan al-Ghazali Yang Terpinggir
admin comment 0 Comments access_time 6 min read

HINGGA kini, setiap agama berusaha mempamerkan risalah rahmatan lil alamin. Sejarah juga menyaksikan korban darah yang terjadi atas nama agama. Sikap cuba melaga-lagakan kebencian antara kaum, menanam prejudis atas nama agama kian berkembang. Kemunculan kelompok tegar yang membela atas dasar ketaksuban berhimpun di atas jalan ‘kebenaran’ — ada kalanya hingga mendakwa keputusan Allah datang daripada mereka.

Fenomena itu membimbangkan lantaran ia menyuburkan radikalisme sebagai percikan kepada lahirnya terorisme. Mungkin inilah cabaran besar yang menanti menteri agama Dr Mujahid Yusof iaitu menjelaskan tafsiran rahmatan lil alamin. Bukan hanya itu, ungkapan tersebut harus diertikan dengan keluasan rahmat Allah untuk semua manusia; bahkan mengakui tradisi agama lain juga sebagai jalan Ilahi menuju syurga.

Ketika ini, buku karangan Imam al-Ghazali seperti Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah yang terjemahannya diterbitkan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) wajib dibaca — sebuah buku yang menolak “kebenaran hanya milik kami”.

Malah, buku itu harus menjadi sandaran penting di tengah-tengah pergolakan pemikiran masyarakat Melayu Islam, khususnya di Malaysia yang liat mengiktiraf pandangan yang tidak sealiran pemikiran.

Tentu, tidak mudah untuk meminggir sumbangan Abu Hamid Muhammad al-Ghazali atau dikenali Imam al-Ghazali (505/1111M), tokoh ilmuwan Islam yang paling berpengaruh. Sumbangan kesarjanaannya sangat luas dalam dunia Islam dan Barat. Mereka yang cermat mengkaji al-Ghazali, akan menemui pola perubahan pemikiran dalam karyanya.

Apapun, pandangan al-Ghazali seringkali berubah dan berkembang pada suatu masa kepada pembaca yang berbeza, seiring pergolakan di dalam dirinya yang ‘lemas’ mencari kebenaran. Perubahan jelas terpancar dalam karyanya seperti Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah berbanding karya-karyanya yang lain.

Contohnya, dalam Ihya Ulumiddin, beliau menyatakan azab “sudah pasti” pada ayat:“Tidak seorang pun darimu yang tidak mendekati neraka”(19;71). Sebaliknya dalam Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah, beliau menyebut: “Satu dari seribu orang menikmati perlindungan dari perbuatan dosa sama sekali.”

(halaman 125, Terjemahan Jackson dalam On The Boundaries of Theological Tolerance in Islam)

Karya tersebut sepatutnya dianggap penting kerana ia adalah pemikiran terkemudian, pada hujung hayatnya. Tidak lama selepas kewafatannya, muncul pula pemikir muslim pada abad pertengahan seperti Ibnu Rusyd (595H/1198M) dan Ibn Tufail (581H/1185M).

Walaupun karya seperti Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah sangat meluas di dunia Islam dan Barat, ironinya ia kurang meluas di Nusantara, yang lebih berpengaruh karya tasawuf beliau seperti Ihya Ulumiddin.

Zahid M. Naser, penyunting buku Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah terjemahan IBDE, ada menulis pada halaman kata pengantar:

“Terjemahan Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah ini memberi peluang dan ruang kepada pembaca untuk meneliti satu perbahasan yang penting, lebih-lebih lagi di zaman munculnya beberapa kelompok Islam baru yang mendakwa kebenaran hanya milik mereka dan lebih melampau ada di antara mereka yang menghalalkan darah orang Islam”

Menolak Takfiri

Pada awal pengenalan karya Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah, al-Ghazali menulis perihal kelompok taksub (dengan puak dan mazhab masing-masing). Beliau terganggu dengan kritikan terhadap pandangan yang bertentangan dengan doktrin Mutaqaddimin dan Mutakallimun, dan penyimpangan daripada mazhab al-Asy’ari. Walau hanya sejengkal, kelompok yang menentang mazhab al-Asy’ari dianggap kafir. Imam al-Ghazali menasihati kelompok itu, dengan menyebut di dalam Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah:

Pertama: “Tetapi aku nasihatkan kamu wahai saudaraku dan teman yang taksub, bertenanglah dan jangan menjadi terganggu. Kawal emosi kamu, bersabar dengan apa yang mereka katakan dan berpisahlah dengan mereka secara sopan.” (mukadimah)

Kedua: “Jika dia mendakwa bahawa pengertian kufur adalah apa yang bersinggung dan bertentangan dengan mazhab Asya’irah, Muktazilah, Hanabilah, atau mana-mana mazhab lain, maka ketahuilah bahawa dia telah tertipu dengan kebodohan dan dibelenggu taklid. Bahkan lebih buta daripada si buta.” (halaman fasal 1)

Ketiga: “Barangkali teman kamu lebih cenderung kepada mazhab Asya’irah berbanding mazhab-mazhab lain dan dia mendakwa menyalahi mazhabnya, pada setiap perincian adalah kufur yang nyata, Maka tanyakan bagaimana dia boleh memonopoli kebenaran sehingga dia boleh mengkafirkan al-Baqillani kerana menyalahi pandangan al-Asy;ari dalam persoalan sifat baqa’ bagi Allah” (halaman 20)

Jadi, menurut pandangan al-Ghazali, adalah kafir jika menolak salah satu daripada tiga ketauhidan asas iaitu beriman kepada Tuhan yang esa, Rasululah dan hari kiamat.

Berdasarkan kesimpulan ini, kelompok di luar Asya’irah seperti Syiah Dua belas, Muktazilah, Khawarij, kaum rasionalis tetap dianggap muslim yang sejati walaupun terdapat perbezaan pandangan.

Di sini, muslim dilarang sama sekali untuk mengkafirkan dan menyesatkan antara satu sama lain. Maka, tindakan mengkafirkan adalah berbahaya. Al-Ghazali menyebut perkara usul adalah beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan hari kiamat. Selain daripada tiga tersebut disebut perkara cabang. Beliau menyatakan tidak ada takfir pada perkara cabang, kecuali hanya kesilapan manusia dalam hukum fikah termasuk urusan imamah yang berlaku antara para sahabat.

Luasnya Rahmat Allah

Risalah inklusif al-Ghazali begitu jelas pada fasal-fasal yang terakhir. Selain mengkritik kelompok taksub dan takfiri, al-Ghazali menyatakan pengampunan Tuhan diberikan kepada semua orang dan bersikap optimis tentang nasib dan keselamatan non-muslim yang beriman dengan lewat kasih-sayang-Nya. Beliau memberikan contoh kriteria yang relatif bagi keselamatan non-muslim tanpa terikat pada kitab suci dan teologi awal. Hukum berubah bila keadaan waktu dan tempat berbeza. Justeru, kriteria tersebut tidak kaku.

Perbahasan panjang kriteria itu tersimpul kemas di dalam karya Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah. Sudah pasti, al-Ghazali tidak bersikap seperti muslim hari ini, lancang menempatkan neraka untuk non-muslim. Sedangkan hanya Tuhan yang menentukan nasib semua manusia.

Al-Ghazali mengajarkan bahawa rahmat Tuhan dan keadilan kepada semua manusia tanpa mengira dari kelompok, bangsa dan agama. Kasih sayang Tuhan, mengalahkan murka-Nya. Tetapi hari ini, manusia mengambil kerja Tuhan, malah menyebar kebencian.

Demikian dalam memahami tauhid sebagai satu kemanusiaan. Islam adalah ajaran menyatukan kesemua manusia dalam ketauhidan kepada Allah. Kelahiran radikalisme atau terorisme kerana wujud ego sektarian. Ajaran tauhid tidak pernah mengeksklusifkan agama, malah menolak nilai rasisme, fanatisme. Bahkan Islam menentang sebarang penindasan atas nama agama. Perang keagamaan hingga korban darah berlaku kerana terdapat kelompok mengajarkan ego sektarian.

Musuh Islam bukan orang-orang Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu. Sebaliknya ditentang semua agama ialah para pelanggar kemanusiaan. Semoga kita tidak menjadi sebahagian manusia, bersemangat agama melampau batas kemanusiaan

Jelas, kitab Faysal al-Tafriqah al-Islam wa al-Zandaqah mengajarkan umat untuk tidak bermudah-mudah menyesatkan dan mengkafirkan pandangan atau takwil yang berbeza. Jauh sekali melahirkan bibit radikalisme beragama. Padahal, slogan rahmatan lil alamain, bukan sahaja melahirkan masyarakat yang dapat bertoleransi dalam hal sosial tetapi juga bertoleransi dalam hal agama.–

Mohd Syazreen Abdullah , 2 Ogos 2018.

Dipetik daripada sini.

Untuk dapatkan buku ini, sila ke link ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment