folder Filed in Sastera
Mala Fide - Bab 1
admin comment 0 Comments access_time 4 min read

BAB 1

Nama aku Rahimi. Nama sebenar aku Muhammad Rahimi bin Abdul Jamil. Aku dibesarkan tanpa ayah dan ibu sejak kecil. Kakakku, Nurul Huda binti Abdul Jamil mengambil tugas mereka untuk membesarkanku sehingga ke hari ini. Pengorbanannya cukup besar; beliau memilih untuk tidak berpacaran atau bersuami dan membiarkan kejelitaan usia mudanya dimamah waktu begitu sahaja. Semuanya dilakukan untuk memastikan satu-satunya darah daging beliau mencapai cita-cita yang diingini sejak kecil- menjadi seorang peguam.

Hari ini, impian tersebut itu akan termakbul kerana aku baru sahaja berjaya menamatkan tempoh sembilan bulan chambering atau dalam bahasa ibunda dipanggil sebagai Latihan Dalam Kamar. Di negara ini, mana-mana pelajar undang-undang yang ingin menjadi peguam wajib melalui proses tersebut di mana mereka perlu melaksanakannya dengan mana-mana firma guaman yang peguamnya telah bekerja sebagai peguam untuk tempoh masa minimum 7 tahun. Peguam yang mempunyai Pelatih Dalam Kamar juga dikenali sebagai Master dan bertanggungjawab memastikan “anak muridnya” mendapat pendedahan yang secukupnya  tentang asam garam kehidupan seorang peguam selama tempoh 9 bulan tersebut.

Usai tempoh sembilan bulan itu, satu proses rasmi yang dikenali sebagai long call di Mahkamah Tinggi akan dijalankan untuk Pelatih Dalam Kamar diterima masuk secara sah sebagai peguambela dan peguamcara. Pelatih Dalam Kamar itu perlu mendapatkan seorang peguam yang berpengalaman selama 7 tahun untuk move the long call.

Setelah tamat tempoh chambering di firma Tetuan Mohd Zin & Associates, Master aku, Razif, telah pun meminta kawan rapat beliau, Arumugam untuk move long call. Berbeza dengan masterku, Arumugam merupakan seorang peguam litigasi yang aktif menjalankan perbicaraan di mahkamah, baik kes sivil atau jenayah dan mempunyai firma guaman sendiri. Sementara Razif pula, kali terakhir beliau menjejaki kaki ke mahkamah ialah ketika proses long call beliau kira-kira 20 tahun yang lalu. Menurutnya, dia sendiri tidak mempunyai niat untuk menjadi peguam litigasi kerana pendapatan peguam litigasi tidaklah begitu menguntungkan dan hakikat ini perlu kuakui seratus peratus.

“Ni kenapa minum sambil berdiri ni? Cuba duduk betul-betul mimum tu. Mee siam yang akak masak pun adik tak makan lagi. Tu, karipap kesukaan adik pun akak ada beli tadi,’’ ujar kakak mematikan lamunan.

“Tak apalah kak. Hari ini saya minum je sebab dah lambat ni,” jawabku ringkas. “Akak jangan lupa datang. Hari ini hari besar saya kak,” sambungku.

“Kalau iyapun, makanlah sikit. Penat akak beli karipap kesukaan adik tu, nanti kempunan susah pulak,”  balas kakak dengan teori kempunannya.

Walaupun sudah lama tinggal di bandaraya, kakak masih lagi percaya akan perkara-perkara tahyul seperti teori kempunan itu. Orang Melayu percaya, jika kita ingin makan sesuatu makanan, kita mesti merasai makanan itu walaupun sedikit. Jika tidak, ada kemungkinan ditimpa celaka atau malapetaka. Perkara ini adalah sesuatu yang tidak pernah kusetujui meskipun tidak pernah kuzahirkan kepadanya.

Akhirnya, aku mengalah kerana tidak mahu teori kempunan itu menjadi kenyataan dan sudah tentu, aku mahu menjaga hati seorang wanita yang telah membesarkanku sehingga aku tinggal selangkah sahaja lagi untuk mencapai cita-cita yang diidamkan sejak kecil.

Selepas menjamah karipap tersebut, aku segera mengambil fail di atas sofa dan telah menjadi satu peraturan tidak bertulis bahawa aku akan bersalam mencium tangan kakak sebelum keluar rumah sementara kakak pula akan mengusap kepalaku dengan penuh kasih sayang.

Memandangkan aku belum memiliki kenderaan sendiri hatta sebuah motorsikal, maka bas adalah pengangkutan yang akan membawaku ke mana-mana khususnya setiap kali hendak ke bandar. Barangkali kerana aku dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan, maka tidak pernah aku merasa malu untuk menaiki bas meskipun akan ada beberapa orang makcik yang akan menyapa dan menyangka bahawa aku adalah ejen insurans.

Jarak antara rumah dan perhentian bas hanya kira-kira 7 minit sahaja dan seperti telah dirancang, sebuah bas telah tiba sewaktu aku sampai di perhentian bas dan memandangkan hari ini adalah cuti sekolah maka aku tidak perlu berebut untuk mendapatkan kerusi kosong bahkan aku juga tidak perlu rasa bersalah apabila meletakkan fail, jaket dan jubah hitam yang dibawa di kerusi sebelah yang juga tidak berpenghuni.

Aku merenung jubah hitam yang diberi oleh Razif sebagai hadiah menamatkan Latihan Dalam Kamar dan ia merupakan satu hadiah yang sangat bermakna memandangkan jubah tersebut dipakai dalam long call dan perbicaraan-perbicaraan di mahkamah terbuka di mahkamah tinggi nanti jika aku telah menjadi seorang peguam. Pada masa yang sama, aku juga memeriksa semula dokumen-dokumen berkaitan dengan long call  memastikannya dalam keadaan teratur. Apa yang penting dalam majlis bersejarah pagi ini, surat-surat daripada Majlis Peguam, Pejabat Peguam Negara dan Majlis Peguam Negeri Johor yang menyatakan bahawa mereka tidak ada bantahan ke agar aku diterima masuk sebagai peguam dan aku percaya itulah soalan pertama yang akan ditanya oleh Arumugam apabila aku berjumpa dengannya sebentar lagi.

Diambil daripada Bab 1, Mala Fide sebuah novel-perundangan karya Mohamed Hanipa Maidin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment