folder Filed in Pencerahan
Maqasid Shariah Itu Keadilan Bukan Kesamarataan
admin comment 0 Comments access_time 6 min read

Beberapa orang lelaki dan perempuan telah bertanya saya tentang cadangan pindaan akta undang-undang di Tunisia bagi membolehkan pembahagian sama rata kepada lelaki dan perempuan dalam pembahagian harta pusaka atau Faraid. Usaha ini dilakukan oleh pemerintah atas alasan bagi mencapai Maqasid (tujuan) Shariah.

Jawapan saya adalah kesamarataan bukanlah sebahagian daripada Maqasid Shariah dalam perbincangan mengenai pembahagian harta pusaka ini. Maqasid Shariah adalah bagi mencapai keadilan dan kesaksamaan. Benar, semua manusia diciptakan sama rata daripada seorang insan (Adam), mereka juga sama rata dalam konteks tiada orang Arab mempunyai darjat dan kemuliaan yang lebih tinggi daripada bukan Arab dan sebaliknya seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah.

Kesamaan hak ini berlaku dalam konteks kemuliaan manusia, kemampuan untuk melaksanakan suruhan Allah, peluang pahala dan dosa daripada Allah. Manusia juga semuanya sama dari sudut Shariah dan tiada perbezaan dari sudut hak dan tanggungjawab seperti solat, zakat, puasa, dan haji.

Walaubagaimanapun, dalam isu hak dan tanggungjawab perkara-perkara yang berkaitan dengan kewangan danperundangan, manusia tidak sama dalam perspektif Shariah. Ini kerana adanya perbezaan dalam hak dan tanggungjawab berdasarkan apa yang telah dipertanggungjawabkan oleh Shariah dan berdasarkan keadaan dan kemampuan masing-masing. Andainya kita menyamakan hak dan tanggungjawab setiap manusia, maka ini tidak adil walhal Shariah itu adalah keadilan.

Lelaki dan wanita tidak sama dalam konteks tanggungjawab urusan kewangan dalam Shariah. Contohnya, seorang suami wajib dan dipertanggungjawabkan untuk menanggung isteri dan keluarganya manakala sumbangan kewangan isteri secara sukarela dikira sebagai sedekah. Wanita pula mempunyai tugas utama dalam mendidik anak-anak terutamanya ketika mereka masih kecil. Allah berfirman mengenai tugas lelaki untuk menanggung keluarga:

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ ۖ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.” [Surah At-Talaq: 7]

Bagi tugas wanita, Allah berfirman:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan…” [Surah Al-Baqarah: 233]

Bagi tugas lelaki juga Allah berfirman seterusnya:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

“Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang sepatutnya…” [Surah Al-Baqarah: 233]

Dalam ayat yang lain, Allah juga berfirman mengenai hak isteri:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِنْ كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنْفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya…”[Surah At-Talaq: 6]

Bagi hak kedua ibubapa Allah berfirman:

وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ

“Hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya sampai berumur lanjut…” [Surah Al-Isra: 23]

Berdasarkan suruhan-suruhan di atas, pembahagian harta antara lelaki dan perempuan boleh berbeza berdasarkan perbezaan tangunggangan kewangan masing-masing. Contohnya, adanya perbezaan antara pembahagian harta kepada suami dan isteri, ibu dan bapa, abang dan kakak ketika berlakunya kematian salah seorang anggota keluarga. Jika seorang anak lelaki meninggal, si ibu akan mewarisi bahagian melebihi bahagian si ayah dalam majoriti keadaan kerana si ibu telah kehilangan salah satu daripada tempat bergantung kewangannya.

Jika si ayah yang meninggal, si anak lelaki akan mendapat bahagian yang lebih berbanding bahagian anak perempuan kerana menjadi tanggungjawab anak lelaki bagi menyara adik-beradik perempuannya dan ibunya setelah pemergian si ayah. Selain itu, dia juga mempunyai tanggungjawab terhadap isteri dan keluarganya sendiri. Tetapi sekiranya dalam keadaan ketiadaan anak lelaki, anak perempuan akan mendapat bahagian yang besar kerana tidak mempunyai tempat bergantung kewangan daripada adik beradik lelakinya.

Dalam situasi si suami meninggal dan dia ada anak lelaki, si isteri akan mendapat 1/8 daripada peninggalan hartanya. Manakala jika mereka tidak mempunyai anak, bahagian si isteri tadi menjadi 1/4 kerana ketiadaan tempat bergantung anak-anaknya. Inilah kaedah yang ditetapkan oleh Shariah dalam menetapkan hak kewangan berdasarkan tanggungjawab kewangan masing-masing.

Saya akui situasi zaman ini yang melanda sebahagian umat Islam dalam bab kekeluargaan di mana para wanita diperlakukan secara tidak adil. Dalam banyak keadaan, seorang wanita dibebankan dengan tanggungjawab keluarga yang melebihi tanggungjawabnya yang ditetapkan oleh Shariah. Inilah masalah utama. Peratusan tinggi wanita Muslim hari ini menjadi sumber pendapatan keluarganya malah menjadi sumber pendapatan kepada suaminya.

Lebih membimbangkan, wujud kelompok masyarakat yang menafikan hak wanita dalam pembahagian harta sebaliknya menyerahkan harta terus kepada saudara mara lelaki dengan alasan menjaga harta keluarga atau dengan alasan memastikan tanah warisan tidak dibahagikan dan banyak lagi sebab yang tidak berlandaskan Shariah. Kelompok masyarakat seperti ini berterusan wujud, mereka menafikan hak wanita yang telah diberikan oleh Allah.

Penyelesaian bagi isu penganiayaan wanita dalam masyarakat Muslim ini bukanlah dengan cara mencedok konsep kesamarataan Barat yang menganggap hak dan tanggungjawab setiap individu dalam sebuah keluarga itu sama. Konsep sama rata mutlak seperti itu bertentangan dengan struktur sosial Islam yang digagaskan berdasarkan perbezaan hak dan tanggungjawab lelaki dan wanita.

Solusi sebenar bagi negara majoriti Muslim adalah kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang sedia ada dan memastikan pembahagian hak dan tanggungjawab terlaksana berdasarkan konsep pembahagian harta dalam Shariah. Selain itu, undang-undang juga perlu digubal bagi memastikan lelaki menunaikan tanggungjawab mereka yang sepatutnya sepertimana undang-undang lain yang memastikan wanita melakukan tanggungjawab mereka sebagai isteri, ibu, dan penjaga. Hari ini sedihnya, masih wujud dalam undang-undang sesetengah negara yang menafikan hak wanita yang diperuntukkan oleh Shariah atas nama keluarga dan kabilah.

Walaubagaimanapun, wujud keadaan-keadaan tertentu di mana undang-undang Hibah (hadiah) atau wasiat boleh dilaksanakan bagi menjamin keadilan tercapai tetapi bukannya hak sama rata. Contohnya pemberian hadiah atau wasiat kepada anak perempuan, anak lelaki, isteri, suami, ibu bapa, atau mana-mana individu boleh diberikan sekiranya mereka layak menerimanya berdasarkan keadaan tertentu melebihi pembahagian yang telah ditetapkan oleh pembahagian Faraid. Firman Allah:

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ

“Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kerabatnya secara sepatutnya…” [Surah Al-Baqarah: 180]

Ayat ini tidak dimansuhkan sepertimana pandangan sesetengah ulama. Ia boleh dilaksanakan dan penting bagi memastikan keadilan dicapai berdasarkan keadaan-keadaan tertentu. Saya ada menulis tentang ayat-ayat mansuh ini. Adapun begitu, ayat ini memberi petunjuk bahawa hadiah boleh diberikan semasa seseorang masih hidup dan wasiat boleh dilaksanakan setelah kematian seseorang sebelum pembahagian harta berdasarkan Faraid. Ini dijelaskan dalam Surah An-Nisa ayat 12 berikut:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ

“Sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu…”

Walaupun di sana ada hadis-hadis seperti “لا وصية لوارث” yang bermaksud tidak ada wasiat bagi waris, ramai ulama mempertikaikan kesahihan Hadith ini. Sekiranya Hadis ini sahih sekalipun, bahagian seterusnya dalam Hadis ini menyebut “ الا ان يجيزها الورثة” yang bermaksud kecuali ia diizinkan oleh ahli waris yang lain. Secara tidak lansung memberikan flesibiliti dalam urusan pembahagian Faraid ini.

Fahaman menyeluruh sangat penting, hukum Shariah itu wajar dilaksanakan kerana itu yang diperintahkan oleh Allah bagi menjamin satu struktur sosial dan ekonomi yang seimbang dan adil. Salah sekiranya konsep kesamarataan manusia ciptaan manusia itu dipakaikan dengan pakaian Maqasid Shariah. Shariah mempunyai undang-undang dan ketetapan tersendiri, ia lengkap dan mampu mencapai kesan moral yang sangat baik sekiranya dilaksanakan sepenuhnya bukan secara pecahan-pecahan yang mengurangkan makna dan tujuan Shariah itu.

—-

Penulis ialah Prof Dr Jasser Audah yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kesatuan Ulama Islam Sedunia

*Dipetik daripada buku Politik Rahmah: Asas-Asas Politik Islam Kontemporari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment