folder Filed in Resensi
Mengkaji Semula Petunjuk Sepanjang Jalan – “Ma’ālim fi at-Tarïq”
admin comment 0 Comments access_time 8 min read

Ahmad Farouk Musa

Terjemahan oleh Ahmad Nabil Amir

“Umat manusia hari ini sedang berada di ambang kehancuran, bukan kerana ancaman penihilan yang tergantung di atas ubun-ubunnya – demikian ini hanyalah sekadar simtom dan bukan penyakitnya yang sebenar – tetapi kerana kemanusiaan sudah bangkrap dengan nilai vital yang mustahak bukan untuk penerusan pembangunannya sahaja tetapi bagi kemajuannya yang sebenar”.

Hal ini adalah pernyataan pertama yang ditulis oleh Sayyid Qutb dalam bukunya yang terakhir Ma’ālim fi at-Tarīq (Milestones / Petunjuk Sepanjang Jalan), karya yang diyakini oleh kebanyakan pencatat biografi Sayyid Qutb sebagai punca utama yang menyebabkannya disabitkan dengan hukuman gantung.

Bagi kebanyakan Muslim di seluruh dunia, Petunjuk Sepanjang Zaman dianggap sebagai sebuah ‘buku teks’ dakwah Islamiyyah. Ia boleh diungkapkan dengan yakin bahawa tidak ada seorang aktivis Islam yang telah melalui zaman kebangkitan Islam di negara kita dalam era selepas Revolusi Iran, yang tidak membaca Petunjuk Sepanjang Jalan.

Dan buku ini juga yang telah mengangkat reputasi penulisnya sebagai arkitek penting dalam mazhab militan Islam moden. Sama ada Qutb berhak dinobatkan dengan penghargaan sinis tersebut, atau sama ada kematiannya telah menterbalikkan Petunjuk Sepanjang Jalan sebagai “teks-ikon” kepada gerakan militan Islam masih terus diperdebatkan.

Artikel ini akan cuba menganalisis kesan daripada karyanya yang terakhir ini yang dibayangi oleh latar kesyahidannya.

Generasi Qur’an yang Unik

Premis keseluruhan daripada Petunjuk Sepanjang Jalan ditunjangi oleh dasar untuk mendidik dan memotivasi kader yang berpotensi untuk menggerakkan usaha Islamisasi. Buku ini ditulis untuk memugar semula fikrah Muslim dengan kebijakan yang dapat mengilhamkan kekuatannya untuk mengarahkan transformasi yang revolusioner dan kesedaran sebagaimana diilhamkan oleh al-Qur’an.

Berlatarkan penzahiran inilah telah diungkapkan bahawa prinsip yang digariskan oleh Hassan al-Banna – pengasas Ikhwan al-Muslimun – menjadi lebih jelas hanya setelah Sayyid Qutb menulis Ma’alim fi at-Tariq.

Seperti kebanyakan revivalis Islam kontemporari, Qutb merasa kecewa dengan keadaan masyarakat yang semakin terpisah daripada nilai Islam yang sebenar berdasarkan al-Qur’an. Beliau menekankan keperluan untuk membezakan ketinggian pada masyarakat Islam seperti yang terlihat pada generasi Islam pertama yang digelarnya al-jīl al-Qur’ān atau generasi al-Qur’an, dan kebanyakan masyarakat jahiliah (kejahilan) dalam dunia kontemporari.

Menurut Qutb, satu-satunya harapan yang tinggal adalah bagi gerakan Islam yang baru untuk menyelamatkan kemanusiaan daripada cengkaman jahiliyah. Qutb menzahirkan beberapa resipi yang utama dalam penciptaan generasi Qur’ani. Pertama dan yang terpenting, adalah mata air yang jernih yang telah diteguk oleh generasi pertama dari mana mereka melepaskan kehausannya.

Mata air yang diteguk oleh para sahabat Rasulullah hanyalah al-Qur’an, dan hanya al-Qur’an, kerana hadith Rasulullah adalah pancaran dari mata air ini. Al-Qur’an merupakan satu-satunya acuan yang telah mencorakkan kehidupan mereka.

Ia bersandarkan pada suatu rencana pemikiran yang terancang untuk menyediakan generasi yang bersih dhamirnya, luhur fikiran dan suci pemahamannya. Latihan mereka harus didasarkan kepada manhaj yang digariskan oleh Tuhan yang menurunkan al-Qur’an, yang suci daripada sebarang pengaruh yang muncul dari luar.

Ciri kedua daripada resipi ini menurut Qutb terangkum dalam pendekatan terhadap al-Qur’an. Generasi pertama menurutnya tidak mendekati al-Qur’an kerana menuntut faham budaya dan maklumat dan bukan untuk meraih ilmu atau untuk merungkai sebahagian permasalahan sains dan hukum. Mereka merujuk al-Qur’an untuk menggarap ketentuan yang dititipkan oleh Sang Pencipta yang Maha Agung terhadap mereka dan jama‘ah yang hidup bersama mereka. Mereka kemudian akan menjawab tuntutan ayat dengan pantas seperti pasukan tentera di medan perang yang akan melaksanakan arahan dengan spontan.

Menurut Qutb, pemahaman ini bahawa perintah adalah untuk dipraktikkan, telah membuka pintu bagi pencapaian rohaniah dan keilmuan. Kaedah bagi generasi kemudian adalah arahan untuk perdebatan akademik dan tanpa ragu, inilah faktor kedua yang menjadikan generasi kemudian berbeza dengan generasi unik yang pertama dalam Islam.

Ciri ketiga, dan ini adalah isu yang paling banyak diperdebatkan dalam analisis Qutb; terletak dalam pemisahan keislaman Muslim kini sebaik ia mendakap Islam dan menyingkirkan pengaruh jahiliyyahnya yang lepas.

Penyingkiran persekitaran jahili, adat dan tradisinya, idea dan konsep, menurut Qutb; berlaku dengan penggantian kekufuran dengan konsep keTauhidan Tuhan, daripada pandangan hidup jahili dan keduniaan dengan pandangan Islam.

Doktrin Lā ilāha illa Allāh – Tiada Tuhan Melainkan Allah

Daripada analisis Qutb, adalah jelas bahawa generasi Qur’ani bermula dari tempoh awal fasa Mekah di mana aqidah ditanam dengan revolusi kesedaran. Dalam pandangan Qutb, ummah yang sebenar telah luntur dalam abad yang panjang. Dan cabaran yang mendepani aqīdah jadīdah (akidah baru) yang menghadirkan dirinya di tengah-tengah permusuhan masyarakat jahiliyyah sejak kurun ke-7 telah muncul semula di era moden kita ini. Pembinaan semula masyarakat baru menuntut renungan semula terhadap perkembangan Islam tahap terawal di Mekah dengan komitmen yang segar terhadap aqidah yang asli dan hakiki.

Dikotomi dalam pandangan dunia antara nilai jahili moden dan Islam yang asli ini mungkin suatu contoh tentang apa yang diungkapkan oleh ahli mantik sebagai kekeliruan hitam dan putih. Hujahannya enggan membenarkan jalan tengah atau kawasan kelabu di antara dua pemisah ini. Sebahagian ulama’ Islam kontemporer telah mengkritik pandangan dikotomi ini dan mengingatkan ancaman salah tafsiran tentang pemisahan ini yang boleh memperkukuh hujah puak ekstremis dan jihadi yang menganjurkan keganasan untuk mencapai matlamat mereka.

Tanpa sangsi, Qutb menyeru perubahan struktural dalam sistem masyarakat kepada doktrin Islam yang mengumandangkan Lā ilāha illa Allāh, yang berusaha membebaskan manusia daripada cengkaman eksploitasi oleh sesama insan.

Doktrin Lā ilāha illa Allāh telah digagaskan sebagai doktrin asas dalam revolusi menentang sebarang autoriti atau sistem yang merampas Kekuasaan Tuhan sebagai satu-satunya kuasa yang hak dan mutlak.

Qutb ingin menzahirkan relevensi Islam sebagai suatu sistem alternatif, positif dan bersifat menyokong – manhaj takāful wa ijābi – berbeza daripada kaedah ortodoks yang bertahan dalam kapitalisme dan komunisme. Apa yang menjarakkan Islam daripada sistem yang lain adalah keprihatinannya yang ketara terhadap keadilan sosial.

Menurut Qutb, kalangan yang menghalang cita-cita Islam sedar pada setiap saat bahawa cara hidup Islam yang suci dan lurus bakal mengancam kepincangan kuasanya, kepentingan, kerobohan strukturnya, dan praktisnya yang sesat.

Inilah Jalannya

Manakala Qutb telah menzahirkan dengan jelas dalam Ma’alim fi at-Tariq-nya tentang aturan sosial yang baru berlandaskan sistem Islam yang sebenar, dan agama tidak hanya bersandar pada ungkapan lahiriah, sebaliknya berpaut pada tindakan, budaya, cara hidup, dan sistem yang mencorakkan hidup manusia; tidak wujud satu bukti untuk mencadangkan beliau menyeru pada keganasan bagi menegakkan sistem Islam. Qutb malah menjangkakan tekanan dan pendakwaan terhadap mana-mana kumpulan yang menerima peranan untuk memulakan proses yang akan membawa pada perobahan struktural seperti dicadangkan dalam bukunya.

Sekiranya penentangan ganas yang dihasratkannya, maka bab terakhir daripada bukunya akan memaparkan kisah yang berlainan sama sekali. Tetapi bab terakhir daripada buku ini berjudul Inilah Jalannya.

Al-Qur’an tidak sunyi daripada menjalin kisah konfrontasi antara kebenaran dan kepalsuan, antara baik dan jahat. Sekiranya Qutb cuba mengilhamkan keganasan dalam menggerakkan penentangan terhadap kerajaan despotik, maka kemungkinan kisah Talut melawan Jalut seperti dinyatakan dalam ayat 246-251 daripada surah kedua di dalam al-Qur’an adalah lebih sesuai dikemukakan:

“Berapa ramai kumpulan yang kecil dapat mengalahkan pasukan yang besar dengan izin Allah. Dan Allah bersama orang-orang yang bersabar” [2: 249]

Bagaimanapun, dalam bab terakhir daripada Ma’alim fi at-Tariq, Qutb memilih kisah al-Qur’an tentang al-ashāb al-ukhdūd (Penggali Parit) seperti yang dirakamkan di dalam surah al-Burūj (Gugusan Bintang-bintang); surah ke lapan puluh lima di dalam al-Qur’ān. Dalam kisah ini, al-Qur’an menyingkapkan kepada orang beriman jalan orang-orang yang sebelum mereka dan mempersiapkan mereka untuk berdepan dengan tabah apa jua rintangan yang menanti di hadapan, yang belum diketahui oleh mereka, dengan keizinan Tuhan yang Maha Bijaksana.

Hal ini adalah kisah tentang sekelompok manusia yang percaya kepada Tuhan dan menzahirkan keyakinan mereka secara terbuka. Mereka berhadapan dengan tindakan yang opresif daripada musuh yang berterusan menafikan hak manusia untuk beriman kepada Allah.

Kaum yang beriman telah didera oleh pemerintah yang zalim, dibakar hidup-hidup, yang menjadi hiburan kepada para penzalim dengan raungan kesakitan yang diderita mereka.

Qutb menegaskan bahawa walaupun seseorang Muslim gagal meraih kejayaan di dunia, dia masih mencapai kemenangan kerana kejayaan tertinggi adalah di dalam kemenangan mempertahankan keyakinan ke atas penyeksaan.

Keganasan dan Terorisme

Mungkin jauh daripada menganjurkan keganasan, Qutb sebenarnya merangka konsep falsafah perjuangan yang dirumuskan daripada teks al-Qur’an, suatu konsep perjuangan menuntut keadilan yang digerakkan dengan aman dan tanpa sebarang keganasan. Dan mungkin, konsep tanpa-keganasan dalam perjuangan menentang penindasan ini adalah cara yang lebih berkesan bagi kalangan yang lemah untuk melawan pemerintah tirani dan menumpaskan ketidakadilan.

Harus difahami bahawa dalam wacana tentang keganasan dan terorisme, kalangan yang berkuasa yang akan menentukan bahawa diskusi ini akan berpihak pada mereka. Manakala dunia teruja dengan aksi keganasan oleh sebahagian kelompok atau yang lainnya daripada dunia Islam bagi meraih sekelumit keadilan; terorisme yang diterajui oleh golongan penguasa dengan handalnya dilindungi oleh tirai moral, seolah merekalah pelopor kebebasan atau hak kemanusiaan dan demokrasi. Natijahnya, kebobrokan moral mereka tidak terserlah. Sesungguhnya Sayyid Qutb telah hidup dan mati kerana mempertahankan keyakinannya. Walaupun Ma’alim fi at-Tariq-nya mungkin disalah ertikan sebagai mengundang faham radikal yang tersasar, bacaan yang menyeluruh dan teliti akan menyediakan batu penanda yang agung yang akan membangkitkan ummah.

—-

Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa merupakan Pengarah di Islamic Renaissance Front (IRF), iaitu sebuah badan pemikir yang mengupayakan Islah dan Tajdid dalam pemikiran umat Islam serta pemerkasaan akal.

Sumber artikel diperolehi daripada laman web IRF.

Ma’ālim fi at-Tarïq Petunjuk Sepanjang Jalan Syed Qutb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment