LONDON, 31 Okt — Membesar dengan perpustakaan di rumah, minimum 80 buah buku, boleh membantu mencerdaskan anak-anak apabila dewasa, menurut satu hasil kajian terbaru.

Tinjauan terhadap 160,000 dewasa di 31 negara mendapati perpustakaan rumah memberi lepasan sekolah kemahiran yang setara dengan graduan yang tidak membaca, lapor The Guardian.

Remaja yang agak lemah di sekolah tetapi terdedah pada buku “lebih celik huruf, celik nombor dan pandai teknologi apabila dewasa dibanding graduan yang membesar tanpa buku di rumah”.

Diketuai Dr Joanna Sikora, dari Universiti Nasional Australia, kajian itu menganalisis data peserta Program Penilaian Antarabangsa untuk Kemahiran Dewasa antara 2011 hingga 2015.

“Pendedahan remaja kepada buku menjadi sebahagian amalan sosial yang memupuk kemahiran kognitif jangka panjang melibatkan celik huruf, celik nombor dan teknologi maklumat,” kata penyelidik.

“Membesar dengan perpustakaan di rumah meningkat kemahiran dewasa dalam  bidang-bidang ini melangkaui manfaat terkumpul daripada pendidikan ibu bapa atau diri sendiri atau pencapaian kerjaya.”

Purata saiz perpustakaan di rumah negara-negara itu berbeza-beza. Turki mempunyai purata 27 buah buku di rumah, sementara United Kingdom pula 143 buah dan Estonia 218 buah.

Kumpulan penyelidik itu mendapati remaja yang membesar tanpa, atau terlalu sedikit, buku di rumah mempunyai tingkat celik huruf dan celik nombor di bawah tahap purata.

Rumah yang mempunyai 80 buah buku boleh meningkatkan pengetahuan anak-anak ke tahap purata kecerdasan, kata kajian tersebut lagi.

Makalah hasil kajian itu “Scholarly Culture: How Books in Adolescence Enhance Adult Literacy, Numeracy and Technology Skills in 31 Societies” baru diterbit dalam jurnal Social Science Research.

  • Artikel asal di sini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment