folder Filed in Resensi
11 Buku Untuk Memahami Populisme Melayu UMNO-PAS
Buku-buku yang menjelaskan fenomena Politik Identiti
admin comment 0 Comments access_time 4 min read

Oleh Wan Ahmad Faysal

Kalau anda berminat dan ingin tahu lebih lanjut mengapa dan apa sebenarnya yang telah, sedang dan akan berlaku kepada politik Malaysia seputar Muafakat Nasional penyatuan politik dua parti gergasi Melayu UMNO dan PAS, berikut adalah beberapa rujukan ilmiah yang terdapat dalam perpustakaan peribadi saya yang berguna untuk ditelaah bagi memahami akar masalah dan trajektori arus politik atau fenomena yang dipanggil “Populisme Melayu”.

1. Identity oleh Francis Fukuyama

Karya terbaru dosen Stanford University ini antara karya ilmiah padat berhubung fenomena populism politik global di era Presiden Trump. Rukun-rukun asas kepada masalah ini dibincangkan secara filsafat dan berteraskan sains politik di mana konsep “thumos” yang membawa maksud sebagai daya dan semangat mempertahankan maruah dan identiti bangsa merupakan satu sifat primordial manusia yang hidup dalam kawanan politik. Biar pun politik liberal cuba meredamkannya, kini ianya kembali lantang dan hidup. Semacam kupasan moden ke atas konsep ‘asabiyyah’ Ibn Khaldun dan “elan vital” Malek Bennabi.

2. The Malays oleh Anthony Milner

Ini karya terbaik dalam Bahasa Inggeris yang menjelaskan phenomenology “Kemelayuan” zaman-berzaman. Kajian sosiologi dan antropologi serta sejarah oleh Profesor Milner benar-benar merumuskan citra sebenar “apa itu Melayu” yang sedikit sebanyak membenarkan tesis “clash of civilisation” oleh Samuel Huntington. Bagi Milner, Melayu itu adalah Peradaban – lebih besar daripada bangsa, kaum dan etnik.

3. Age of Anger: A History of the Present oleh Pankaj Mishra

Analisa tajam oleh Mishra yang terkenal dengan penulisan kritis tentang perbedaan Barat dan Timur kini di bawa ke dalam kajian politik semasa era Trump. Mengapa semua ini berlaku kalau mana arus globalisasi telah menatijahkan kezaliman ke atas budaya dan identiti.

4. World on Fire oleh Amy Chua

Buku lama Amy Chua ini memberi gambaran besar mengapa penentangan kelas (class struggle) yang berlaku di Malaysia antara Melayu dan Cina dek kerana kegagalan Melayu dan dasar memperkasakan ekonomi Bumiputera terus melebar di bawah pasaran terbuka. Paradoks dasar afirmatif yang menghasilkan kesan patronage ke atas Melayu dan pada masa yang sama meningkatkan “resilience” bangsa lain yang lebih bijak merebut peluang untuk kemajuan ekonomi dalam persaingan sengit globalisasi. Elok dibaca sekali dengan karya Dani Rodrik.

5. The Reactionary Mind: Conservatism from Edmund Burke to Donald Trump oleh Corey Robin

Kritikan terhadap kelemahan faham konservatisme di Barat yang memunculkan Trump, dan segala macam kumpulan “far right” di seluruh dunia. Buku ini perlu diseimbangkan dengan kupasan filsafat Roger Scruton.

6. Kerajaan: Malay Poltical Culture on the Eve of Colonial Rule oleh Anthony Milner

Karya klasik Prof. Milner yang melancarkan projek phenomenology Kemelayuan yang beliau telah hasilkan selama ini. Ianya mendapat pujian ramai dalam kalangan sarjana kerana berjaya mengupas sifat dan falsafah politik Melayu melalui faham “kerajaan”.

7. Neofeudal UMNO: Politik dan Pembangunan Luar Bandar oleh Mazli Bidu & Jamaie Hamil

Ingin tahu bagaimana UMNO mampu memerintah selama lebih separuh abad? Buku ini jelaskan sudut politik ekonomi UMNO ke atas orang Melayu.

8. Bangsa Melayu: Malay Consepts of Democracy and Community 1945-1950 oleh Ariffin Omar

Anak murid Prof Milner ini mengupas jalur pemikiran liberal Melayu pada awal kemerdekaan ketika mana kita bergulat dengan faham-faham politik Barat yang asing disamping menilai semula identiti bukan kebangsawanan Melayu.

9. The Invention of Politics in Colonial Malaya oleh Anthony Milner

Buku terkenal Milner yang mengisahkan tiga jalur politik Melayu: kerajaan, kebangsaan (UMNO) dan keumatan (PAS). Konsep politik moden adalah hasil perselingkuhan bangsa Melayu dalam menentang penjajah.

10. Melayu: The Politics, Poetics and Paradoxes of Malayness suntingan oleh Maznah Mohamad dan Syed Muhd Khairudin Aljunied

Kumpulan makalah yang agak teknikal yang diterbitkan oleh National University Singapore yang diketuai oleh Prof. Dr Maznah Mohammad dan Prof. Madya Dr Muhd Khairuddin Aljunied . Bacaan yang ‘advanced’.

11. On Populist Reason oleh Ernesto Laclau

Diterbitkan pada tahun 2005. Saya belek di Kinokuniya dan ketika itu belum terkenal pun konsep ‘populism’. Penting untuk faham sifat sebenar hal ini yang menatijahkan dan memungkinkan UMNO-PAS bersatu.

Wan Ahmad Faysal merupakan lulusan ijazah sarjana dari King’s College London dalam bidang Geopolitics, Territory and Security melalui zamalah Khazanah Nasional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment