folder Filed in Dunia Buku
Apa Sumbangan Korporat Untuk Kempen Membaca?
admin comment 0 Comments access_time 6 min read

KETIKA industri buku merudum teruk bermula 2017 dengan kemerosotan hampir 15% jumlah terbitan judul tahun berbanding 2016, ia isyarat serius mengenai krisis pembangunan sahsiah negara melalui budaya membaca.

Pada 2016 total judul cetakan ialah 19,592 berbanding 17,123 judul pada 2017. Kemuncupan 2,379 judul satu kebimbangan ketara.

Silang rujukan mudah bagi melihat krisis ini ialah faktor kuasa beli. Indikasi paling dramatik ialah merujuk rekod penurunan bajet Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Sebelum krisis kemeruduman pasaran berlaku, PNM membelanjakan RM40 juta setahun bagi pembelian buku pada 2014. Namun, angka ini jatuh secara drastik kepada RM5 juta pada 2015 dan RM2 juta pada 2016 dan 2017.

Jadi, apa inisiatif yang ada dan dapat dilaksanakan secara segera tetapi potensinya memiliki daya saing jangka panjang? Malah, mampu menyelamatkan ekosistem perbukuan negara yang sedang mengalami krisis daya beli yang kritikal?

Pada 2016, apabila skim baucar pelajar universiti dipindah ke aplikasi kad debit, perbelanjaan membeli buku terjejas teruk. Walaupun skim ini menyediakan bajet RM300 juta, hanya 2% digunakan membeli buku.

Krisis mutakhir industri buku dalam tiga tahun ini semakin kronik. Tafsiran mudah ialah lebih RM100 juta nilai buku kini terperap di dalam gudang. Penerbit kehilangan modal pusingan dan gagal menerbitkan judul baharu. Ini satu krisis yang mencetuskan teori domino ketepuan industri buku.

Tanpa menyelesaikan krisis stok buku dalam stor, penerbit ketiadaan modal pusingan. Malah, turut berdepan masalah beban hutang dan mungkin berakhir dengan tindakan memohon perlindungan muflis.

Angka lambakan stok buku ini bukan fakta semberono. Ia anggaran konservatif dengan menggunakan tiga data perniagaan yang diperoleh. Syarikat gergasi perbukuan di Taman Shamelin kini berusaha keras mencari jalan menjual stok RM14 juta buku dalam stor.

Manakala agensi penerbitan buku kerajaan mengalami krisis menjual stok lambakan bernilai RM12 juta yang tersadai dalam gudang. Sebuah syarikat kecil penerbitan indie pula memaklumkan, stok buku bernilai RM700,000 masih tersadai dalam simpanan.

Malah, syarikat kecil ini antara senarai penerbit indie yang berdepan krisis kegagalan penyelesaian pinjaman modal dan bakal berakhir dengan status muflis.

Ini data yang impresif berdasarkan teknik semak silang. Sekiranya tiga data ini memberi gambaran terdapat RM26.7 juta nilai buku milik penerbit gergasi dan indie, adalah tidak mustahil anggaran RM100 juta stok buku tersadai kini berada di stor milik pelbagai entiti penerbitan lain.

Bayangkan, kita ada lebih 100 penerbit yang aktif dalam sedekad terakhir ini. Angka anggaran RM500 juta nilai stok lambakan buku dalam stor boleh menjadi kebenaran sekiranya diaudit secara terperinci.

Secara relatif, sama ada penerbit buku berkelas elit atau indie, bisnes perbukuan kini sedang menuju era gulung tikar.

Dekad Membaca dan Sumbangan Korporat

Menurut Pengerusi CSR Malaysia R. Rajendran lebih 70% daripada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia memiliki dana bagi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pada masa ini 897 syarikat tersenarai dengan 32 jenama gergasi yang dianggap pengukur utama indek Bursa Malaysia. Antaranya termasuk 21 syarikat GLC.

Penjelasan Rajendran membuktikan, terdapat lebih 600 syarikat tersenarai memiliki dana CSR dengan kesedaran untuk menyumbang kepada masyarakat.

CIMB Group membelanjakan RM120 juta bagi tempoh 10 tahun untuk projek CSR. Bukan saja di Malaysia, malah merentas Asean.

Pada 2017, CIMB Group meningkatkan sumbangan CSR mencecah RM23 juta. Pada tahun lalu, kumpulan perbankan ini menyasarkan perbelanjaan antara RM65 juta hingga RM75 juta sebagai bajet CSR.

Sasaran utama GLC ini ialah meningkatkan gandaan manfaat kepada masyarakat berbanding 700,000 penerima pada 10 tahun pertama (2007-2016).

Berdasarkan rekod purata dana CSR yang dibelanjakan CIMB Group serta reputasi sekuriti 32 syarikat gergasi di Bursa Malaysia, total dana CSR yang wujud setiap tahun tidak mungkin lebih rendah daripada RM500 juta.

Sekiranya diaudit dengan 600 lebih syarikat senaraian di Bursa Malaysia dan hanya 10% saja daripada 400,000 syarikat berdaftar di negara ini, dana CSR yang bergerak di pasaran pasti menjangkau hampir RM2 bilion.

Ini angka yang mapan bagi aspirasi mewujudkan dana CSR untuk membantu industri buku pada era Dekad Malaysia Membaca (DMM) 2021-2030. Ia bukan sesuatu yang aneh.

Apa semangat utama CSR di negara ini? Kita balik semula kepada falsafah yang dinyatakan Rajendran:

“Aspek ‘sustainability corporate sustainability and social responsibility’ (tanggungjawab kemampanan dan sosial korporat) sebenarnya satu kaedah pembangunan kemapanan yang berupaya mengekalkan sesuatu sumber dengan menyelaraskan dengan keperluan kehidupan manusia.”

Dalam krisis industri perbukuan yang meruncing serta kedudukan buku sebagai antara teras budaya ilmu, adalah tidak mustahil bagi penganjur DMM berkolaborasi dengan sektor korporat.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada September tahun lalu menyatakan hasrat kerajaan untuk komited dengan sasaran menerbitkan 31,700 judul buku. Jumlah ini bagi memenuhi piawaian Unesco dan mampu meletakkan Malaysia dalam senarai 20 negara utama perbukuan.

Bagi menjayakan sasaran ini, kerajaan memerlukan rakan strategik. Ekosistem pasaran perbukuan sekarang tidak mampu mencapai matlamat Maszlee.

Malah, ada kemungkinan, persekitaran ekonomi yang perlahan dan kuasa beli yang monotonous akan menyebabkan angka penerbitan judul buku akan menjunam lagi pada tahun ini dan tahun depan.

Kerajaan memang memerlukan rakan strategik. Industri buku pula memerlukan ekosistem cetak biru yang baharu berikutan kemeruduman pasaran.

Pada masa ini, tiada sebarang usaha dibuat untuk merangsang kembali pasaran buku. Kerajaan pula tidak mungkin mensubsidi dana perbukuan secara berterusan.

Justeru, kerjasama antara Dana CSR Korporat dan DMM mampu membina cetak biru baharu. Sekali gus memangkinkan ekosistem industri perbukuan yang sedang mengalami zaman sukar.

Asas kerjasama ini mampu menyelesaikan krisis kekurangan dana penerbitan, promosi buku, pembangunan kandungan kreatif dan membina kelompok pembaca baharu.

Sekiranya hanya 2% hingga 3% dana CSR dialihkan ke perbukuan dengan kolaborasi selama sedekad, bukanlah mustahil suntikan modal penerbitan buku boleh dijana antara RM25 hingga RM50 juta setahun.

Peranan Dana CSR DMM mesti bersifat membina ekosistem industri buku masa depan. Dana ini akan disalurkan semula kepada pemain industri penerbitan buku.

Selain mengejar nilai komersil, dana ini mesti memenuhi terma CSR dengan jualan disubsidikan 50% kepada pelajar. Signifikan lain ialah edaran percuma sebagai akses ilmu isi rumah B40.

Cetak biru ini akan menghasilkan dua langkah utama yang penting. Pertama, membina semula kumpulan pembaca remaja sebagai aset jangka panjang.

Manakala capaian kedua ialah akses buku percuma kepada lebih 3 juta isi rumah B40. Ini formula untuk meningkatkan kadar membaca di peringkat nasional.

Pada masa ini, purata daya membaca rakyat negara ini hanya 1.7 muka surat sehari. Angka yang tidak dinamik dan meletakkan Malaysia di kedudukan ke-53 dalam ranking minat membaca dunia.

Selain itu, projek Dana CSR DMM akan membantu aspirasi Maszlee untuk mencapai standard purata 1% judul per kapita penduduk.

Ratio ini juga berupaya merealisasikan indikasi menerbitkan 31,700 judul buku pada 2020 sejajar dengan status Kuala Lumpur Kota Buku Dunia Unesco. – 2 Oktober, 2019.

  • Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera

Petikan asal diambil dari portal Malaysian Insight.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment