folder Filed in Resensi
Fiqh Siasah: Ke Arah Era Malaysia Baru 
admin comment 0 Comments access_time 4 min read

Tokoh ilmuwan Islam dari abad kelima, Imam Al-Shahrastānī, di dalam pendahuluan kepada adikarya beliau, Al-Milal wa al-Niḥal telah menyenaraikan sepuluh perselisihan utama yang berlaku dalam umat Islam. Menurut beliau, perdebatan dan perselisihan tentang masalah kepemimpinan politik menjadi perselisihan umat Islam yang terbesar. Tidak pernah sebilah pedang terhunus sebagaimana dahsyatnya ia terhunus dalam isu kepemimpinan politik pada setiap zaman. Penelitian ini justeru menggambarkan betapa pentingnya permasalahan kepemimpinan politik ini untuk ditanggapi, dirawat serta dicari jalan keluar dari permasalahan yang sangat penting ini.

Pasca era kepemimpinan Khulafā’ Rāshidīn yang empat, umat Islam mula berhadapan dengan masalah kediktatoran dalam kepemimpinan politik. Dalam suasana tersebut, muncul salah seorang tokoh pemimpin ulung dalam sejarah umat Islam, Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Sewaktu dilantik menjadi Gabenor Madinah, beliau segera memanggil sepuluh orang tokoh ilmuwan Madinah, lalu berkata kepada mereka, “Aku tidak akan memutuskan sesuatu urusan (politik) melainkan dengan pandangan kalian.” Kata-kata dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini menggambarkan jiwa beliau yang meyakini pentingnya perintah wahyu berkenaan shūrā dan mushāwarah serta menjalankan fungsinya dengan penuh tanggungjawab. 

Para ilmuwan silam, sewaktu membahaskan soal kepemimpinan politik Islam, pasti tidak dapat lari dari turut membincangkan persoalan shūrā. Sudah pasti ramai dari kalangan para pembaca karya-karya politik Islam cenderung untuk berpandangan bahawa penulisan tentang shūrā sudah begitu banyak sehinggakan seolah-olah tiada lagi ruang yang perlu dikaji dan dianalisis semula dalam topik tersebut.

Namun begitu, Dr. Muḥammad bin Al-Mukhtār Al-Shinqītī, seorang tokoh pemikir kontemporari yang berasal dari Mauritania, berjaya membuktikan sebaliknya. Menerusi risalah ini, beliau cuba untuk membuktikan bahawa masih terdapat beberapa ruang dalam persoalan shūrā yang perlu untuk dicermati dan dilihat dari perspektif yang lebih segar, khususnya dari perspektif mencegah kediktatoran para penguasa, tanpa mengabaikan disiplin dan metodologi tradisi keilmuan Islam.

Risalah ini sekalipun kecil dan ringkas, telah menanggapi beberapa persoalan penting disamping menambah nilai kepada wacana politik Islam dengan huraian yang tuntas serta turut mencetuskan perspektif baru dalam perbahasan berkaitan shūrā.

Al-Shinqītī memulakan penghujahan beliau dengan membahaskan tasawwur Islam terhadap hubungan pemimpin dan rakyat berdasarkan konsep ‘al-amīr ajīr’ (pemimpin adalah pekerja upahan). Kemudian, dalam menanggapi permasalahan ketidakseimbangan sifat amanah dan quwwah dalam diri seorang pemimpin, penulis telah mengemukakan prinsip muwā’amah (penyesuaian) dan takāmul (saling menyempurnakan).

Turut menarik perhatian saya juga adalah inti utama yang ingin dipersembahkan oleh Al-Shinqītī di dalam analisis beliau iaitu berkenaan sudut perbezaan yang signifikan diantara konsep shūrā dan mushāwarah yang jarang diteliti oleh para ilmuwan terdahulu. Menurut penelitian beliau, mekanisme perlantikan pemimpin berdasarkan perintah wahyu berkenaan shūrā itu perlu dibezakan dengan mekanisme proses membuat keputusan dalam perlaksanaan kuasa pemerintahan yang berteraskan perintah wahyu berkenaan mushāwarah. Beliau turut mengemukakan pandangan bahawa terdapat perbezaan diantara legitimasi politik para Nabi a.s di mana perlantikan mereka adalah langsung dari Allah s.w.t, berbanding legitimasi politik individu selain mereka, dimana perlantikan dan pemilihan mereka bersumberkan kuasa rakyat.

Di samping itu, penulis turut menghuraikan persoalan keberkesanan shūrā dan mushāwarah sebagai pencegah kediktatoran terkait isu sama ada keputusan yang diperolehi itu bersifat ilzām (mengikat) atau i‘lām (sekadar makluman) serta perinciannya berdasarkan tabiat sesuatu keadaan. Justeru keputusan yang mengikat para penguasa akan dapat mewujudkan ‘listening government’, iaitu suatu pemerintahan yang mendengar dan tidak mengabaikan suara rakyat.

Secara peribadi, buku terjemahan ini muncul tepat pada waktunya, kerana perbincangan politik dari perspektif fiqh sangat diperlukan pada masa kini. Apatah lagi penulis merupakan anak silsilah emas Imam Al-Qaraḍāwī di mana beliau telah memuji penulis sebagai seorang pengkaji muda yang mempunyai ilmu yang mantap, sebagaimana yang beliau catatkan dalam pendahuluan buku penulis, Al-Khilāfāt al-Siyāsiyyah Bayn al-Ṣaḥābah, iaitu sebuah buku berkenaan konflik politik antara para Sahabat Nabi s.a.w. Menerusi buku tersebut, penulis juga telah berjaya mengumpulkan beberapa kaedah baru di dalam membaca sejarah Islam.

Akhir kalam, usaha dalam memperkenalkan dan menterjemah karya-karya Dr. Muḥammad Al-Mukhtār Al-Shinqītī ini diberkati Allah s.w.t serta justeru dapat menjadi pemangkin kepada usaha untuk mendidik umat Islam dan masyarakat di era Malaysia Baru ini.

—-

Ustaz Fauwaz Fadzil merupakan Penasihat Syariah Telaga Biru, sebuah syarikat penerbitan yang menghasilkan karya agama yang berkualiti di Malaysia. Dalam masa yang sama beliau turut dilantik sebagai penasihat syariah dalam beberapa institusi kewangan di Malysia. Beliau adalah anak kepada Allahyarham Dato’ Fadzil Noor, bekas Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) dan bekas Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

*Artikel ini merupakan kata pengantar bagi buku Fiqh Siasah Dari Persepktif Legitimasi dan Kekuasaan Politik karya Dr. Mohamed El-Moctar El-Shinqiti yang telah diterjemahkan oleh Syah Nazrin.

El-Moctar El-Shinqiti Fauwaz Fadzil Fiqh Siasah Kekuasaan Politik Politik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment