folder Filed in Resensi
Ibn ‘Ashur: Tokoh Ilmuwan Ensiklopedik
admin comment 0 Comments access_time 4 min read

Ibn ‘Ashur adalah tokoh yang belum dimartabatkan dengan selayaknya sebagai ilmuwan besar. Mudah-mudahan sejarah akan berlaku adil dalam meletakkan beliau di tempatnya yang hak sebagai ilmuwan ulung dan pejuang islah abad ke-20. Justeru, sumbangan keilmuannya memang cukup fenomenal, khususnya dalam bidang pemikiran islah, maqasid al-shari‘ah dan tafsir kontemporari.

Karya tulisnya tentang maqasid al-shari‘ah rasanya sudah agak banyak dibicarakan. Mungkin kerana kepeloporannya dalam kebangkitan kesedaran baharu tentang maqasid al-shari‘ah (al-sahwah al-maqasidiyyah), tetapi karya-karya tulisnya yang lain belum banyak mendapat sorotan, termasuk tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir. Tafsir ini memiliki ciri-ciri tersendiri yang istimewa. Ia tidak hanya besar dari segi jumlah jilidnya (12 jilid), tetapi juga dari segi keluasan daerah ilmu liputannya.

Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir bertolak dari sepuluh muqaddimah yang menjadi premis dasar penafsirannya terhadap keseluruhan ayat-ayat al-Qur’an. Dalam tradisi keilmuan Islam muqaddimah sesebuah karya tulis adalah kata pembuka yang sangat penting sebagai asas pijakan wacana. Ia mengandungi huraian tentang metodologi, pendekatan dan prinsip-prinsip dasar keilmuan yang dianut penulisnya.

Muqaddimah dalam pengertian tersebut tidak hanya terdapat pada Muqaddimah Ibn Khaldun yang sangat terkenal itu, tetapi terdapat juga pada karya-karya besar lain seperti kitab al-Muwafaqat oleh Shaykh al-Maqasid Abu Ishaq Ibrahim al-Shatibi yang diawali dengan pengungkapan tiga belas muqaddimah. Bagi para ilmuwan dan pengkaji yang serius, muqaddimah adalah bahagian penting yang tidak boleh diabaikan. Demikian pulalah hendaknya kita menyikapi sepuluh muqaddimah tafsir Ibn ‘Ashur ini.

Khazanah keilmuan Islam memang kaya dengan karya pelbagai genre. Antara yang terpentingnya adalah karya tafsir al-Qur’an dari pelbagai aliran dan orientasi pemikiran. Setiap karya tafsir memang memiliki keistimewaan, kekuatan dan ciri khasnya sendiri-sendiri. Demikian jugalah halnya dengan tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir yang menyerlahkan pelbagai keistimewaan. Ia bukan sekadar pengulangan kepada kandungan tafsir yang terdahulu, tetapi memperlihatkan ciri-ciri keaslian dan pembaharuan.

Antara yang cukup jelas ialah pendekatan kritis-evaluatif terhadap pelbagai tafsiran dalam karya-karya terdahulu. Ibn ‘Ashur berusaha membuat penilaian yang adil terhadap kepelbagaian pendapat para mufassirin, lalu membuat pendiriannya sendiri. Pendekatan sedemikian membuktikan bahawa beliau telah membebaskan diri daripada keterikatan dengan mana-mana aliran dan tokoh. Kemandirian intelektual itulah yang memungkinkannya bersikap objektif, menerima atau menolak sesuatu pendapat.

Suatu keistimewaan yang cukup menyerlah dalam tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir ialah keupayaan Ibn ‘Ashur memperlihatkan kesepaduan surah-surah al-Qur’an. Beliau berusaha menyerlahkan kaitan erat suatu surah dengan surah yang sebelum dan sesudahnya. Dengan demikian keseluruhan surah-surah al-Qur’an, dari al-Fatihah hingga al-Nas terasa seolah-olah hanya satu surah. Tanggapan semerta bahawa al-Qur’an seolah-olah sebuah kitab yang kandungannya terputus-putus kerana kepelbagaian nama surahnya, dapat diubah setelah terbukti kesatuan dan kesepaduannya.

Ternyata Ibn ‘Ashur adalah seorang ilmuwan ensiklopedik yang daerah penguasaan ilmunya meliputi bidang-bidang yang pelbagai, termasuk bidang bahasa dan sastera Arab. Ini menjadi salah satu ciri khas tafsirnya yang memberikan pemaknaan yang teliti dan tuntas tentang sesuatu kata yang dianggapnya penting. Ketelitiannya dalam memberikan makna suatu kata kadang-kadang terasa mengatasi ketelitian sebuah kamus. Mungkin ini dilakukanya demi menepati ungkapan yang menjadi judul tafsirnya “Tahrir al-Ma‘na al-Sadid…,” iaitu pengungkapan makna yang tepat.

Memang kata-kata al-Qur’an harus dimaknai setepat mungkin. Ciri lain yang turut menjadikan tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir ini istimewa ialah sorotannya terhadap aspek ketinggian balaghah al-Qur’an. Nilai stailistik dan gaya pengungkapan al-Qur’an yang sangat mengagumkan itu memang seharusnya diserlahkan sebagai salah satu i‘jaz al-Qur’an.

Sebagai pelopor pembangkit kesedaran baru tentang peri pentingnya ilmu maqasid al-shari‘ah (objektif tertinggi syari‘at), Ibn ‘Ashur memberikan penekanan khusus pada penafsiran maqasidi terhadap ayat-ayat yang berkaitan. Siapa sahaja yang menelaah tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir pasti akan menemukan nuansa maqasidi yang kental. Memang Ibn ‘Ashur telah berusaha memfungsikan maqasid al-shari‘ah dengan sebaik-baiknya dalam memperjelas makna dan mesej teks-teks suci al-Qur’an.

Al-Tahrir wa al-Tanwir sebenarnya adalah judul yang telah diringkaskan. Judul lengkap aslinya ialah Tahrir al-Ma‘na al-Sadid wa Tanwir al-‘Aql al-Jadid min Tafsir al-Kitab al-Majid. Pemilihan kata tahrir dan tanwir memang sangat mengesankan. Kedua-dua kata tersebut terasa cukup bertenaga untuk membangkitkan ghairah membaca dan menghirup semangat pembaharuan dan pencerahan yang termuat di dalamnya.

—-

Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil merupakan seorang tokoh intelektual tanah air. Beliau kini berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia dan Pengerusi Institut Darul Ehsan. Beliau pernah ditugaskan untuk memimpin Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Angkatan Belia Islam Malysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Antara karya hasil buah fikirnya ialah Pembinaan Bangsa Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan dan Hijrah Ke Malaysia Baharu: Mencari Makna di Balik Kata.

*Artikel ini merupakan kata pengantar bagi buku Tadabbur Wahyu: Ringkasan dan Ulasan Kitab Al-Tahrir Wa Al-Tanwir sebuah karya Ibn ‘Ashur yang telah diterjemahkan oleh Dr Rosli Mokhtar.

Al-Tahrir Wa Al-Tanwir Ibn Ahsur Maqasid Shariah Rosli Mokhtar Siddiq Fadzil Tafsir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment