folder Filed in Travel
Bertemu dengan Briged Al-Qassam
admin comment 0 Comments access_time 9 min read

Usaha untuk memasuki bumi Palestine di Gaza hanya tercapai pada bulan Oktober tahun 2012 setelah cubaan pertama tahun 2009 gagal. Kisah perjalanan saya ke bumi Palestine di Gaza amat menarik, pertama kerana Palestine adalah pusat kepada segala permasalahan politik dunia sejak sebelum era GWoT lagi dan kedua gelombang intifada (kebangkitan) telah menampilkan pertubuhan Hamas sebagai pejuang utama yang kini menguasai medan militari dan politik perjuangan rakyat Palestine menggantikan dominasi Palestine Liberation Organization (PLO) dan sayap militarinya Fatah sebelum ini. Saya sememangnya bercita-cita untuk ke sana atas misi bantuan kemanusiaan, apatah lagi dengan pemenjaraan Gaza dan Tebing Barat oleh Israel telah menghasilkan penderitaan terbesar dunia sejak sekian lama sebelum dunia mengenali penderitaan Syria dan Iraq.

Saya telah sebut beberapa kali dalam penulisan-penulisan saya bahawa isu Palestine adalah ibu kepada segala isu peperangan yang melanda dunia hari ini khususnya reaksi simpati yang diperolehinya di kalangan negara-negara Islam dan sebahagian negara Barat. Isu penjajahan Israel ke atas Palestine dan penyeksaan ke atas rakyatnya adalah punca utama kemarahan umat Islam dan sebahagian dunia Barat kepada polisi Amerika yang menjadi pelindung dan pembela negara Israel atas kepentingan dasar luarnya mengimbangi kuasa negara Arab disekelilingnya.

Misi saya ialah bersama dengan rombongan kemanusiaan Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang sememangnya mempunyai peruntukan 5 peratus pada kutipannya untuk Tabung Kemanusiaan bagi bantuan ke negara luar dan dalam negeri. Misi ZPP di bawah saya sebelumnya telah mengadakan bantuan ke Ayuthia, Thailand selepas banjir besar melibatkan bantuan masjid dan sekolah Islam di sana yang rosak. ZPP juga ada misi dan projek ke Kampuchea bagi tujuan membina sekolah di sana serta bantuan untuk Syria bagi tujuan kemanusiaan. Turut sama dalam misi ke Gaza ialah Cakno Palestine iaitu NGO berpusat di Kelantan yang membantu khusus misi kemanusiaan di Palestine.

Kami melalui Kaherah dan telah bertemu dengan Duta Besar supaya kami dapat akses masuk melalui sempadan Rafah. Saya selaku ketua misi turut berusaha berhubung dengan Kementerian Luar Mesir di bawah kerajaan Presiden Morsi ketika itu supaya kami diberi laluan masuk atas pas kemanusiaan. Kami terkandas di Kaherah buat beberapa lama kerana menurut sumber maklumat yang kami terima waktu itu ialah dekat dengan musim perayaan Eidul Adha dan kerana itu agak sibuk laluannya. Kami dinasihati untuk tunggu selepas musim perayaan. Setelah berbincang, kami membuat keputusan untuk masuk juga kerana kami kesuntukan masa dan bantuan perlu diberikan, khususunya dari kutipan orang ramai di Malaysia yang menyumbang.

Melalui hubungan kami di Gaza iaitu Al-I’Maar Charity Foundation kami meminta nasihat bagaimana kami harus masuk ke Gaza. Setelah mendapat panduan, kami bersetuju untuk masuk melalui jalan terowong rahsia yang menghubungkan antara Rafah dan Gaza, walaupun kami tahu risiko yang terpaksa kami lalui. Kami menaiki bas mini yang disewa khas dari Kaherah menuju Padang Pasir Sinai dan melintasi Terusan Suez untuk sampai ke Bandar Rafah yang terletak bersempadan dengan Gaza dan Israel. Kami disambut di Rafah oleh seorang lelaki yang menyediakan sebuah teksi panjang muat untuk 6 orang menuju ke destinasi ‘rahsia’ kami. Kami diminta masuk segera dan kerana kami lebih dari 6 orang, kami terpaksa berhimpit.

Perjalanan kami menyusuri jalan biasa dan kemudian membelok ke jalan padang pasir yang beralun bagai ombak untuk mengelak check-point polis Mesir. Setelah lebih setengah jam perjalanan melalui padang pasir, kami sampai di sebuah rumah di kampung sempadan dan kami diarahkan turun segera masuk ke dalam rumah tersebut. Tiada penghuni, yang ada ialah lubang besar bawah tanah dan kami diminta masuk untuk sampai ke Gaza sebelah sana.

Mulanya teragak-agak juga, namun sebagai ketua rombongan saya memulakan dulu masuk dan di bawah oleh seorang budak sedia menanti kami dan meminta kami mengikuti jejaknya tanpa berhenti. Kami sudahpun berada dalam terowong yang cukup-cukup muat badan dan di tempat tertentu kami terpaksa tunduk walaupun sepanjang 1km terowong itu senantiasa diterangi lampu di kiri kanannya. Adakalanya berbukit dan curam, kami diminta diam dan meneruskan perjalanan tanpa berhenti walaupun saya tercungap-cungap mengambil nafas dalam terowong sempit itu. Hampir 1km, kami berada di hujung dan kedengaran suara “Ahlan Wa Sahlan” sambil menyambut kedatangan kami. Kami terpaksa naik semacam lift lebih kurang 2 tingkat bangunan dari bawah ke atas. Sampai di atas kami berada semacam dalam khemah besar dan terpaksa tunggu di dalamnya sehingga diberi isyarat oleh pengiring kami dan terus masuk ke van yang disediakan.

Seterusnya kami dibawa ke Pejabat Keselamatan Pentadbiran Hamas untuk memaklumkan kehadiran kami dan mereka mengadakan sedikit temubual ringkas dengan saya bagi memastikan tujuan kami adalah sebagai jemputan kemanusiaan oleh Pertubuhan Al’Imar. Kami diberi laluan mudah di Gaza.

Pekan Gaza meriah dan berlampu kerana sehari dua lagi adalah hari raya Eidul Adha yang disambut lebih meriah dari Eidul Fitri. Ia sama seperti pekan lain di negara Arab yang saya pernah lawati, bezanya ialah bangunannya agak usang dan tidak kelihatan pusat membeli-belah atau dataran-dataran tempat melepak walaupun anak-anak muda Gaza sama seperti  anak muda lain, mereka ceria dan lepak di tepi kedai sepanjang pekan Gaza. Pekan Gaza kelihatan lebih islamik secara zahirnya, tiada kelihatan wanita muda berjalan tanpa aurat, kebanyakan wanita mudanya berhijab dengan pakaian hijab terkini. Gambar-gambar anak muda terpampang berhias, segak ditampal di dinding-dinding kedai sekeliling Pekan Gaza.

Rupanya mereka adalah para syahid yang korban menentang tentera Israel atau mati terbunuh kerana serangan-serangan yang dilakukan oleh regim Israel. Amat ketara sekali para syuhada ini diingati dan diagungkan sebagai wira-wira yang membanggakan rakyat Palestine setiap kali menatap gambar-gambar ini. Pekan Gaza seolah pekan yang dihidupkan oleh semangat para pejuang dan mereka yang mati syahid untuk mengingatkan yang hidup betapa besarnya pengorbanan mereka membela kemuliaan Palestine dan pembebasannya. Gambar Masjidil Aqsa ada di mana-mana sambil tertera tulisan Arab yang bermaksud, “Kami Akan Mara Kepada Mu”. Sememangnya Masjidil Aqsa adalah simbol penyatuan pejuang Palestine, ia menjadi titik epik yang memotivasikan semangat pembebasan Al-Aqsa yang merupakan kemuncak perjuangan rakyat Palestine.

Lawatan kami amat singkat kerana terpaksa kembali sehari sebelum Eidul Adha memandangkan semua aktiviti akan bercuti selama dua atau tiga hari, itu bermakna kami akan ada masalah untuk kembali ke Kaherah untuk mengejar jadual penerbangan kami balik ke tanah air. Semalaman kami bertemu dengan pihak yang bertanggungjawab termasuklah Timbalan Menteri Pendidikan Gaza dan beberapa Ahli Parlimen Hamas di dalam majlis makan malam untuk meraikan kami. Restoran tepi pantai ini dan kawasan sekitar dulunya adalah di bawah penjajahan Israel tetapi pejuang Palestine termasuk Hamas berjaya menghalau keluar penjajah Israel dan menguasai hampir keseluruhan Tebing Gaza yang terdiri daripada lima buah bandar iaitu Deir-Balah, Khan El Younis, Rafah, Utara Gaza dan Gaza. Kami bertukar-tukar pandangan tentang pentadbiran dan kerajaan mengikut pengalaman Malaysia dan Palestine. Malangnya Palestine bukanlah sebuah negara penuh, ia hanya berfungsi sebagai Pihak Berkuasa sahaja yang diberi kuasa mentadbir Tebing Gaza dan Tebing Barat. Namun sebagai perjuangan pembebasan yang lama berjuang untuk kemerdekaan, pencapaian ini dianggap bermakna untuk perjuangan kebebasan seterusnya.

Kami sempat juga meninjau ke sempadan Gaza antara penguasaan Israel dan Hamas sambil bertemu dengan pengawal-pengawal sempadan dari sayap militari Hamas iaitu Briged Al-Qassam yang kelihatan bermotivasi dan bersemangat dengan kedatangan kami. Tempat yang kami lawati agak jauh ke dalam dan kami terpaksa berjalan untuk bertemu dengan check point terakhir yang dikuasai oleh kerajaan Hamas. Kawasannya gelap, kami diminta tunggu di satu kawasan bawah pokok untuk menanti beberapa pejuang Al-Qassam lain berhimpun dengan senjata disandang. Saya diminta untuk memberi sedikit ucapan dalam gelap malam itu kepada pejuang Palestine Al-Qassam kerana mereka mahu mendengar berita dari saudara mereka di luar khususnya yang simpati dan prihatin di Malaysia. Saya berbicara ringkas dalam Bahasa Arab dan mereka kemudiannya bersurai sambil mengucap terima kasih dan kemudian menghilang dalam kegelapan malam itu entah ke mana. Bau harum terhidu di mana-mana sejak saya berdiri berucap ringkas di hadapan para pejuang, hingga hari ini bau harum kasturi itu menjadi misteri pada semua kami yang masing-masing mengakui terhidu bau harum yang sama ketika bersama dengan para pejuang tersebut.

Kami menginap di bandar Khan El Younis, iaitu sebuah Hospital Bulan Sabit Merah yang dijadikan sebahagian tingkatnya sebagai hotel untuk penginapan tetamu asing. Saya tidak berapa boleh lelapkan mata kerana sesekali kedengaran bunyi letupan dan dari tingkap bilik kami, kami dapat melihat cahaya percikan sesekali cermin tingkap bergegar. Ia bukan acara sambutan Eidul Adha tetapi beberapa operasi serangan rutin yang dilakukan oleh pejuang Hamas ke atas pusat ketenteraan Yahudi di sempadan dan serangan balas tentera Israel.

Esok pagi kami bersarapan dan bersiap untuk keluar melalui terowong kami masuk semalamnya. Dalam perjalanan van kami terpaksa berhenti kerana bunyi siren di tengah pekan Gaza menandakan kemungkinan serangan udara. Kami terdiam kerana pertama kali mendengar siren perang walaupun wajah pengiring dan pemandu kami tenang seolah ianya perkara rutin yang mereka terpaksa lalui setiap hari. Seluruh lalu lintas berhenti dan kelihatan ibu-ibu berlari membawa anak-anaknya balik dari sekolah kerana semua sekolah di arahkan tutup hari ini bimbangkan serangan akan berlaku. Setelah mendapat respon daripada walkie-talkie, kami dimaklumkan terowong yang kami datang semalam agak bahaya untuk digunakan lalu van kami bergerak ke terowong baru yang lebih selamat. Kami tak banyak berbicara malah sampai di terowong yang dijanjikan kami turun seberapa segera untuk kembali ke ‘terowong tikus’ menuju balik ke Rafah. Saya tidak akan lupa perjalanan kemanusiaan itu kerana ia bersempena dengan tarikh kelahiran saya tanggal 25 Oktober yang saya raikan bersama pejuang Palestine malah ia satu hadiah paling istimewa dalam hidup saya.

Esoknya adalah Eidul Adha, rombongan kami sampai malamnya dan awal pagi esoknya kami sudah bersiap sedia tunaikan solat di Madinah Al-Nasr bertakbir sayu jauh dari keluarga tercinta demi misi kemanusiaan.


Diambil sebahagian daripada buku Islam Bukan Agama Teroris karya Dr Mujahid Yusof Rawa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment