folder Filed in Sastera
Lelako Jongos
admin comment 0 Comments access_time 4 min read

Pendakwaraya: Sila perkenalkan nama tuan kepada mahkamah

Agaknya Malaikat tanya macam tu tak kepada manusia yang berada di kandang pesalah, menunggu hukuman yang sudahpun diputuskan oleh satu-satunya hakim Yang Maha Mengingati?

Berapa lama proses pengadilan itu berlaku? Adakah ia juga melibatkan orang-orang lain yang membuat kesalahan kepada diri kita? Orang-orang yang kita ancam dengan ucapan “kita jumpa di mahkamah Allah kelak!” padahal kita lupa akan kejahatan yang dilakukan terhadap orang lain. Ah, tipikal manusia yang Maha Pelupa!

Atau kita akan bertukar-tukar peranan di Mahkamah Allah nanti? Hari ini kita menjadi saksi, esok kita menjadi pesalah lusa menjadi saksi balik dan berulang-ulang senario tersebut entah sampai bila!

Pendakwaraya: Tuan?

Monologku terhenti. Kacau daun betul lah dia ni, dahla tak hensem, kutuk hatiku. Apabila aku melihat pemilik suara itu, satu lagi soalan terbentuk di dalam kepala: Adakah malaikat yang akan mendakwa di akhirat nanti ada baju spesial macam ni? Sut hitam, baju kemeja putih, kasut hitam dan bezanya malaikat nanti ada sepasang sayap warna putih. Stail jugak tu, lamunku lagi.

Pendakwaraya: Boleh beritahu nama tuan kepada mahkamah?

Soalan itu benar-benar menjengkelkanku. Seolah-olah dia tidak mengenali orang yang dia letakkan di atas kerusi sambil dikelilingi kayu-kayu yang memagari tubuhku ketika ini. Konon tak tahu nama aku, ejek hatiku. Barangkali ini juga hal yang sama akan kulakukan jika Malaikat bertanyakan soalan tersebut di akhirat kelak.

Dan kenapa aku harus memperkenalkan namaku kepada mahkamah? Apakah orang-orang di sini yang memenuhi tempat ini, yang kebanyakannya telah menamakan diriku sebagai “mangsa” tidak mengetahui aku lagi? Bahkan lelaki di hadapanku yang masih tercegat berdiri menanti jawapanku juga memberikan nama yang sama untuk diriku. Beberapa hari lepas sebelum hari pertama bicara, dia sudah memberitahu para jurnalis,

‘’ Kes kali ini bukan sahaja untuk mencari siapa yang benar atau salah tetapi memberi keadilan kepada mangsa orde Gomenbaru! ‘’

Hah! Keadilan kepala bapak dia! Marahku saat mendengar kata-kata itu. “Dia sendiri awal-awal dah cop aku sebagai mangsa sekarang nak cerita pasal keadilan. Pergi matilah kau!”

Keadilan. Full of crap, jerit suara hatiku lagi.

Aku masih diam. Merenung jauh lantai yang bersinar dibasahi lampu-lampu putih di dalam bilik bicara ini. Termangu menunggu lelaki itu menyapaku buat sekian kalinya.

Pendakwaraya: Tuan?  

Aku masih membatu, menimbang-nimbang pilihan yang aku ada.

Kalau aku jawab aku tidak ingat, pasti mereka akan ketawa. Masakan nama sendiri pun tak ingat, mereka akan menyindir secara terbuka atau di dalam hati. Terus aku membayangkan tajuk utama yang ditulis oleh para jurnalis yang ada di dalam Mahkamah ini lebih kurang seperti ini,

“MANGSA TIDAK INGAT NAMA SENDIRI- SIDANG BICARA DIBATALKAN”

Aku menarik nafas dalam dan menutupkan mata. Sekali lagi suara tersebut menggendang telingaku.

Pendakwaraya: Tuan?

Aku menatap wajahnya yang sedang menahan kemarahan sebab kena tanya banyak kali untuk satu benda yang mudah: Perkenalkan diri.

 ‘’Sembilan tiga enam’’

Mahkamah yang tadinya hening sudah ditembusi dengan suaraku yang separa kuat dan penuh dengan gementar. Lelaki itu melihat semula buku nota berkertas kuning yang dipegangnya sejak tadi dan kembali menatapku, gementar.

Pendakwaraya: Tuan, saya ulang kembali soalan saya. Boleh tuan beritahu nama sebenar tuan?

Aku terus merenung kasutnya tanpa kedip. Kali ini, kerongkongku terasa sedikit luas dan mataku entah bagaimana, ia punya kekuatan untuk membalas renungan lelaki yang kini aku panggil sebagai lelaki jongos (hampir kesemua gigi atasnya terkeluar dan tidak boleh ditutup dengan mulut walaupun dia tidak bercakap).

‘’Sembilan tiga enam’’

Wajahnya meriak cemas. Dia memandang semula nota tersebut dan termenung sebentar; bingung kerana mendapat jawapan yang tidak diingini. Tetapi dia tidak putus asa; tangannya pantas menyelak kertas-kertas kuning itu untuk mendapatkan kepastian kalau-kalau memang itu jawapannya.

Pendakwaraya: Tuan, itu…

Aku tahu apa yang akan lelaki jongos ini katakan dan aku menunggu dia menghabiskan ayatnya itu sementara fikiranku sedang meligat, memulas semula memori-memori lama yang membawa aku ke sini, sebelum semuanya bermula dengan suara si jongos itu yang meminta aku memperkenalkan diri sebentar tadi.


Bab pertama dalam Edan novel psiko-thriller karya Z. Zainuddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment