folder Filed in Resensi
Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi
admin comment 0 Comments access_time 2 min read

Tidak dinafikan yang Nabi Muhammad SAW ada menyatakan bahawa ulama adalah pewaris Nabi. Namun, dengan gelaran itu, sudah ada pihak merasakan diri mereka mewarisi sifat kemaksuman Nabi sedangkan tindakan, cara berfikir dan akhlak  mereka tidak diwarisi daripada Nabi.

Lebih parah lagi, mereka melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Nabi itu dengan disulami nas dan wahyu dalam tafsiran yang boleh memberi kesan imej buruk di mata orang awam dan orang bukan Islam.

Imej buruk pada agama Islam ini, kadangkala melibatkan kepada sudut pandang agama yang lebih banyak terikat kepada soal bangsa dan perkauman. Isu perkauman Melayu yang diikatkan dengan agama Islam, melahirkan implikasi pada sudut tindakan sebilangan orang Melayu menggunakan alasan agama untuk membenci bangsa selain Melayu. Lebih teruk, apabila sentimen dan emosi yang dimainkan ini boleh membawa kepada permusuhan sesama rakyat Malaysia.

Apabila agama Islam sudah dilihat dalam kerangka sentimen dan emosi, menjadikan agama mudah diperalatkan. Lebih-lebih lagi, sudah kedengaran kempen seperti menafikan konsep berfikir, sehinggakan melahirkan satu tanggapan awam bahawa agama tidak boleh dikaitkan dengan berfikir. Projek pembodohan ini dikembangkan atas nama agama, sehinggakan agama yang berdiri atas hujah ini sudah tidak lagi kelihatan kehebatannya.

Kalangan yang berusaha mengembangkan kemandoman akal ini, sedihnya dilakukan oleh kalangan agamawan, mahupun mereka yang berada di badan-badan berkuasa agama. Kemampuan mereka hanya menghalang dan mengharamkan. Nilai intelektual yang menjadi perkara dasar dalam agama tidak diamalkan oleh mereka.

Bagi menjayakan projek pembodohan itu, maka dikeluarkan label-label yang disadurkan dengan persepsi negatif dan sesat, agar kalangan yang mampu berfikir dapat ditekan dan ditindas secara emosi daripada bangun mempersoalkan tindakan mereka.

Jadi, kehadiran buku ini sebagai kritikan terhadap beberapa pengamalan agama yang  telah terjadi di Malaysia, sama ada daripada sudut kekuasaan politik, budaya dan tradisi. Kehadirannya untuk memastikan bahawa agama bukan alat yang boleh dicandukan, sebaliknya agama punyai nilai yang tinggi dalam membina tamadun dan kemanusiaan.

Diambil daripada prakata penulis buku Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi karya Wan Ji Wan Hussin. Karya yang diharamkan oleh Kerajaan Malaysia pada 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment