folder Filed in Pencerahan
Agama Bukan Daerah Terlarang Untuk Berfikir
admin comment 0 Comments access_time 4 min read

Ada agamawan tertentu berkata, mereka sahaja layak menafsirkan agama. Saya cuba memaksa untuk menerima kenyataan itu tetapi saya agak tidak dapat menjawab beberapa persoalan yang bermain dalam minda saya setelah menerima kenyataan ini.

Persoalan-persoalan itu adalah seperti berikut:

Pertama jika benar mereka sahaja layak menafsirkan agama, sudah pasti tafsiran mereka tidak akan salah. Mengatakan agamawan tidak salah amat berbeda dengan sifat agama Islam itu sendiri. Ini disebabkan oleh, Islam mengajar bahawa manusia pasti akan buat kesalahan dan yang tidak akan melakukan kesalahan hanyalah Tuhan.

Jika agamawan memungkinkan salah, maka begitu juga manusia lain. Jika manusia lain juga memungkinkan salah, mengapa perlu mengatakan larangan terhadap bukan agamawan untuk menafsirkan agama.

Kedua, jika dibaca dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan disahihkan oleh Syeikh Albani. Dipamerkan kisah seorang sahabat bernama Amru bin al-As yang telah terlibat dalam satu peperangan yang dikenali Zat al-Salasil. Setelah perang, Amru bin al-As dan rakan-rakan lain berehat di suatu kawasan ketika dalam perjalanan pulang dan mereka bermalam di situ.

Ketika tidur, Amru bin al-As telah bermimpi. Bermimpi yang mewajibkan mandi wajib. Apabila sampai waktu untuk mandi wajib, suasana yang begitu sejuk menjadikan Amru tidak mandi wajib. Beliau sekadar bertayammum sahaja dan terus menjadi imam solat bersama sahabat.

Apabila pulang, sahabat bertanya keadaan itu kepada Nabi. Ekoran itu, Amru bin al-As dipanggil oleh baginda. Apabila sampai Amru kepada Nabi, baginda bertanya tentang apa yang dilakukan. Nabi bertanya tentang beliau menjadi imam solat dalam keadaan  berjunub. Beliau tidak mandi wajib tetapi sekadar bertayammum sahaja.

Amru menerangkan kepada baginda. Beliau menyatakan bahawa malam begitu sejuk. Jika beliau mandi wajib juga pada pagi itu, sudah pasti akan memudaratkan dirinya. Amru mengukuhkan perkataannya dengan menyatakan satu firman Allah yang bermaksud; “Jangan kamu bunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah amat sayang terhadap kamu (Riwayat Abu Daud).

Ayat tersebut tidak menceritakan secara khusus tentang mandi wajib ketika keadaan begitu sejuk. Namun, mandi wajib juga dalam keadaan sejuk, sudah pasti akan membinasakan diri.

Walaupun ayat itu menyebut tentang membunuh diri, tetapi ia ditafsirkan oleh Amru sebagai membinasakan diri. Di akhir hadith, dipamerkan bahawa Nabi ketawa tanpa mengatakan apa-apa komen pun pada apa yang diperkatakan oleh Amru bin al-As tersebut.

Daripada kisah hadith ini, kelihatan bahawa tindakan Amru bin al-As itu kelihatan tidak dipersetujui oleh Nabi Muhammad SAW. Namun, dengan tafsiran terhadap al-Quran yang dilakukan oleh Amru menjadikan ia disetujui oleh baginda. Amat kelihatan, bagaimana keberadaan baginda, tafsiran terhadap wahyu itu sudah berlaku.

Ia tidak dilarang oleh baginda, sebaliknya ia dihormati oleh baginda. Ia merupakan satu sunnah taqririyyah atau perbuatan nabi yang diakui bahawa ia tidak menjadi satu kesalahan.

Dengan dua persoalan ini, hati kecil saya agak tidak dapat menjawab terhadap dakwaan bahawa hanya agamawan sahaja layak menafsirkan agama. Mungkin juga anggapan bahawa agamawan itu lebih memahami tentang agama kerana kefahaman mereka terhadap al-Quran dan al-Hadith itu amat banyak. Mereka juga mengetahui disiplin dalam memahami al-Quran dan al-Hadith.

Saya berpendapat, soal menafsirkan agama dengan soal menfatwakan agama kepada orang ramai adalah dua perkara berbeda. Saya kira, semua manusia punyai penafsiran masing-masing terhadap agama Islam yang mereka anuti. Ekoran itu, saya lihat dengan budaya wacana dan debat yang sihat, tafsiran agama yang benar itu boleh berlaku.

Agamawan yang punyai disiplin ilmu pun, kadang-kala boleh terjebak kepada kesalahan. Namun, dengan disiplin ilmu yang mereka ada, tidak bermakna mereka mesti benar. Cumanya kemungkinan kesalahan mereka agak kurang berlaku berbanding orang biasa.

Oleh itu, apabila kehadiran orang biasa yang terjebak sama dalam wacana dan debat yang sihat tentang agama, akan wujud pertembungan tafsiran. Pertembungan tafsiran itu akan dibahas. Dari situ, bukan tafsiran yang terbaik terhadap agama sahaja boleh terlahir, malahan daya intelektual menerusi agama juga boleh terbina.

Saya kira, agama tidak pernah menjumudkan orang awam dari berfikir dan menafsir sebaliknya agama telah menyediakan ruang yang begitu luas untuk manusia terus berfikir dan berbincang dalam mencapai kebenaran.

Dipetik sebahagian daripada buku Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi karya Wan Ji Wan Hussin. Karya yang diharamkan oleh Kerajaan Malaysia pada 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment