folder Filed in Tokoh
Rashid Al-Ghannoushi: Intelektual-Reformasi Politikal Islam
admin comment 0 Comments access_time 8 min read

Rashid al-Ghannoushi dilahirkan pada tahun 1941 di perkampungan Hamma, Qabis, Selatan Tunisia. Beliau belajar di peringkat rendah di kampungnya kemudian ke bandar Qabis dan kemudiannya di ke ibu negara Tunisia untuk belajar di Universiti al-Zaytun sehingga tamat pada tahun 1962. Semasa kecil, beliau dibesarkan dalam didikan agama dan kasih sayang dari bapanya. Bapanya mempunyai dua orang isteri tetapi hidup dalam keadaan kasih sayang sehingga isteri kedua ayahnya juga dipanggil sebagai Ummi (ibu).

Kehidupan keluarganya adalah sederhana kerana ayahnya seorang petani. Mereka jarang memakan daging kecuali hanya beberapa kali setahun terutama semasa Hari Raya Qurban. Bapanya membeli dan membahagikan kepada jiran-jiran dan keluarga terdekat. Adalah menjadi kebiasaan di kampungnya, membeli daging dan memberi kepada jiran-jiran. Rumah keluarganya adalah besar kerana mereka tinggal bersama dengan bapa saudaranya dan hidup dalam kehidupan bekeluarga yang penuh mesra. Rumahnya memiliki keistimewaan kerana suasana keagamaan dan satu-satunya rumah di kampung itu yang memahami bacaan dan penulisan. Ayahnya adalah hafiz al-Quran, menjadi imam, pengajar al-Quran kepada kanak-kanak serta tempat bertanya kepada masyarakat sekeliling.

Semasa di Universiti al-Zaytun, al-Ghannoushi amat meminati subjek falsafah. Pada hakikatnya, apabila beliau tamat di al-Zaytun, ia tidak memberi satu kepuasaan dan ilmu Islam kepadanya kecuali perkara yang telah diajar oleh bapanya. Hal ini kerana sistem pembelajaran secara tradisional, jauh dari realiti masyarakat dan tidak menimbulkan keyakinan kepada Islam. Apabila belajar dalam halaqah ilmu fiqh, kita hanya sebagai pengkaji sejarah dan apabila keluar dalam dunia realiti, maka tidak ada hubungan antaranya dengan Islam. Tidak ada dalam pembelajaran tersebut hubungan dengan kehidupan semasa, malah tidak pernah syeikh-syeikh tersebut membicarakan mengenai ekonomi Islam, negara Islam, kesenian Islam atau Islam sebagai manhaj hidup.

Inilah gambaran yang diterima dalam aspek keagamaan kecuali didikan tegas dari ayahnya dan keluarga. Universiti al-Zaytun mempunyai pelajar seramai tiga ribu orang tetapi hanya tiga atau empat orang sahaja yang menunaikan solat. Inilah realiti dalam sistem pendidikan Islam di negara Arab pada masa itu. Oleh kerana minatnya dalam ilmu-ilmu falsafah, beliau telah belajar bahasa Jerman dan keinginan untuk terus belajar timbul apabila melihat dua abangnya telah berjaya seorang menjadi kadi dan seorang lagi menjadi peguam. Beliau berazam dengan mengumpulkan wang dan bertekad untuk ke Mesir.

Al-Ghannoushi kemudiannya memasuki Fakulti Pertanian di Universiti Kaherah pada tahun 1964. Peristiwa penyingkiran Tunisia dari Mesir disebabkan oleh pertikaian antara Jamal Abdul Nasser dan Habib Bourguiba yang berlaku telah membawa beliau ke Syria. Semasa di Mesir, beliau juga mengagumi Jamal Abdul Nasser dan keadaan ini berubah apabila ia belajar di Syria. Di sana, beliau mempelajari falsafah di Universiti Damsyik pada tahun 1968. Semasa di Damsyik, al-Ghannoushi menyertai Parti Sosialis kerana Syria dipengaruhi aliran sosialis khususnya Parti Baath. Tetapi pandangannya terkemudian lebih cenderung kepada agama. Pada asalnya, beliau hendak pergi belajar ke Jerman tetapi menukar untuk belajar falsafah di Universiti Damsyik. Kemungkinan besar kerana ramai pelajar Tunisia dan Morocco yang belajar di sana. Beliau berada di Damsyik dari tahun 1964 sehingga tahun 1968.

Di sini, beliau mengenali dengan Muhammad Said Ramadan al-Buti dan Wahbah al-Zuhaili dan sentiasa berdialog mengenai isu Palestin dan jalan untuk memerangi Zionis. Keadaan dunia Arab yang kucar kacir dengan perang tahun 1967, kejatuhan Bukit Golan dan al-Quds, perselisihan nasionalis Arab menjadi asas utama perubahan dalam dirinya kepada Islam. Kebanyakan pelajar di Universiti Damsyik mengikuti aliran kebangkitan Islam.

Nasionalisme Arab hanya berteraskan kepada bahasa dan sejarah serta menyeru kepada kesatuan Arab melalui dasar tersebut. Sementara Islam tidak mendapat tempat dalam ideologi tersebut. Perkara tersebut menjadi persoalan dalam hidupnya kerana semangat Arab yang diperolehi semasa kecil dan di utara Afrika tidak bertembung dengan ajaran Islam. Sementera nasionalis dan sosialis Arab melakukan pertembungan tersebut dan ia merupakan nasionalisme Arab yang telah hilang jiwanya dan mengimport dari ketamadunan Barat. Dari sini, beliau melakukan dialog dengan belia-belia Syria yang lain dalam mencari jalan penyelesaian dan menyelidiki aliran-aliran Islam seperti aliran Ikhwan Muslimin, jamaah Nasaruddin al-Albani dan syeikh-syeikh lain yang aktif dalam gerakan dakwah di Damsyik seperti Syeikh Habannakah.

Akhirnya, beliau mendapati kepincangan dalam manhaj nasionalisme dan semangat Arab yang dikenalinya bukan semangat Arab di perkampungan asalnya. Beliau bertambah yakin Islam adalah ganti kepada nasionalisme Arab dan pada yang sama timbul dihatinya bahawa Islam yang difahami selama ini bukan Islam yang sebenar. Islam yang mewarisi zaman kemunduran, tidak mempunyai fungsi dalam kehidupan serta bukan sebagai satu sistem hidup manusia. Islam yang hanya agama berbentuk tradisi peribadi dan untuk menuju kematian. Oleh itu, beliau menganggap beliau bukan seorang muslim yang sejati dan mengambil keputusan untuk memasuki “Islam” setelah selama ini hanya mengikut taklid, tradisi dan adat serta tidak membawa Islam sebagai syiar dan manhaj kehidupan dan ketamadunan.

Noktah perubahan dalam dirinya berlaku pada 15 Jun 1966 dengan doa dan pertolongan Allah untuk keluar dari alam yang selama ini kabur dan masuki ke alam baru. Malam itu, beliau masuk “Islam” dan meninggalkan perkauman sekular dan Islam tradisi serentak. Beliau memasuki fasa “Islam” yang berteraskan sumber yang asli iaitu wahyu dan al-Sunnah. Dengan baki dua tahun tinggal di Syria iaitu tahun 1966-1968, beliau menumpukan dalam aktiviti pemikiran falsafah dan membaca buku-buku Iqbal, Maududi, Sayyid Qutb, Hassan al-Banna, al-Siba’iy, al-Nadwi dan Malik Bennabi di samping pengajian tafsir, hadis dan fiqh.

Menurut al-Ghannoushi, adalah tidak tepat mengatakan beliau mula menyertai Ikhwan di Syria. Hal ini kerana beliau tidak menetap di sana. Namun, beliau mengenali semua gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwan, Hizbu al-Tahrir, jamaah Sufi dan jamaah Salafi. Beliau juga mengikuti halaqah yang diadakan oleh Nasaruddin al-Albani yang memberi kesan untuk beliau mengenali Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim dengan lebih dekat. Pada mulanya, beliau mengikut manhaj salafi tetapi apabila pulang ke negaranya, beliau mula melihat kembali manhaj ini secara keseluruhan terutama berdepan dengan masyarakat yang masih berpegang kuat dengan mazhab Maliki, penganut Asyaari, dan berbentuk tradisi dan sufi .

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran peringkat tinggi di Sorbonne, Perancis pada pertengahan tahun 1968. Semasa di Paris ini, beliau menyertai jamaah Tabligh untuk melakukan aktiviti dakwah dan sebagai membendung budaya Barat. Di sana, pelajar-pelajar Tunisia yang lain masih dengan kefahaman nasionalisme Arab. Semasa di Paris, al-Ghannoushi telah mengadakan halaqah setiap Sabtu yang dihadiri lebih kurang 15 orang pelajar yang disampaikan oleh Muhammad Hamidullah, seorang intelektual dan pengarang buku terkenal Perjanjian Politik dan Pentadbiran Pada Zaman Nabi. Beliau menetap di Perancis selama satu tahun setengah, kemudian pulang ke Tunisia dan singgah di Sepanyol serta menziarahi masjid di sana.

Beliau juga singgah di Algeria dan bertemu dengan Malik Bennabi. Pertemuan tersebut telah memberi kesan dalam jiwanya yang selama ini hanya membaca pemikiran melalui buku-bukunya. Kehebatan Malik Bennabi adalah analisisnya terhadap terhadap permasalahan masyarakat dan juga sejarah. Pada tahun berikutnya, al-Ghannoushi telah menghadiri persidangan pemikiran Islam dihadiri oleh Bennabi yang diadakan di rumahnya. Persidangan tersebut telah memberi kesan kepada gerakan Islam Tunisia dan banyak mengambil pengajaran dari warisan keilmuan Bennabi.

Sekembalinya ke Tunisia, beliau mengajar falsafah di peringkat sarjana muda di Fakulti Kesusasteraan dan telah menubuhkan sebuah organisasi pembaharuan Tunisia berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Beliau adalah merupakan pengasas kepada Hizb al-Nahḍah, Parti Pembaharuan Tunisia. Semasa di Sorbonne, beliau mula bergaul dengan dengan aktiviti dakwah dan jamaah Tabligh di kalangan orang Arab dan pekerja-pekerja dari Morroco. Semasa belajar di Eropah, beliau melawat negara-negara di sana seperti Jerman, Perancis, Belanda dan banyak membaca buku-buku berkaitan kritikan terhadap Barat. Pembacaan ini telah membentuk pemikiran Islam dalam dirinya yang sebelum ini amat kagum dengan nasionalisme Arab.

Di Tunisia, beliau membawa slogan-slogan pembaharuan Islam, di samping itu memasuki kuliah Syariah dan berjaya dalam sijil kelayakan penyelidikan yang bertajuk Konsep Qadar menurut Ibn Taimiyyah dan tidak sempat mengemukakan tesis yang bertajuk Kebebasan dalam Negara Islam disebabkan keadaan politik di sana.

Apabila ruang politik semakin luas yang diberikan oleh Bourguiba pada tahun 1981, al-Ghannoushi mengasaskan Al-Ittijah Al-Islami atau ‘Kecenderungan Pergerakan Islam’ yang kemudian dikenali sebagai Hizb al-Nadhah. Jamaah ini asalnya sebuah pertubuhan Islam tetapi menukar statusnya menjadi sebuah parti poltik. Namun, kerajaan Tunisia tidak membenarkannya dan menghukum al-Ghannoushi serta pengikutnya. Gerakan ini berakar umbi kepada Islam sederhana, tidak menaja keganasan dan menekankan pembinaan semula kehidupan ekonomi yang lebih saksama, penerimaan pluralisme politik dan demokrasi. Beliau mula melakukan aktiviti dakwahnya di kalangan para pelajar di sekolah dan universiti, masjid-masjid dan kelab-kelab kepada orang awam. Menjelang akhir bulan Julai 1981, al-Ghannoushi dan pengikut-pengikutnya telah ditangkap, dihukum penjara 11 tahun di penjara Bizerte dan diseksa. Komuniti agama dan sekular, termasuk pertubuhan-pertubuhan politik sekular menyokong beliau. Beliau dibebaskan pada tahun 1984, tetapi kembali ke penjara pada tahun 1987, dihukum penjara seumur hidup. Sekali lagi dibebaskan pada tahun 1988. Beliau pindah ke Eropah sebagai pelarian politik sehingga kemenangan parti Islam pada tahun 2011.


Dipetik sebahagian daripada tulisan Mohd Rumaizuddin Ghazali melalui artikel Biografi Intelektual-Reformis Politikal Islam dalam buku Rashid Al-Ghannoushi: Intelektual-Reformasi Politikal Islam suntingan Zulkifli Hasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment