folder Filed in Pencerahan
Islam dan Keamanan
admin comment 0 Comments access_time 8 min read

Berikut Merupakan Ucapan Oleh Syeikh Abdullah Bin Bayyah, Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu (UAE) & Presiden Forum Mempromosi Keamanan Sempena Penerimaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Malaysia 1441 H.

—————-

Menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,

Menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia,

Para tetamu kehormat, hadirin dan hadirat, dengan semua nama yang indah dan semua pangkat yang megah, saya ucapkan;

Assalamualaikum w.b.t

Ampun Tuanku,

1. Sebagai pendahuluan, izinkan patik mengirimkan salam hormat dan salam Maal Hijrah kepada Tuanku, daripada Yang Mulia Sheikh Khalifah Bin Zayed Al-Nahayan, Presiden Emiriah Arab Bersatu. Demikian juga patik sampaikan salam daripada rakan dan sahabat Tuanku, Yang Mulia Sheikh Muhammad Bin Zayed Al-Nahayan, Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu. Patik berdoa pada tahun baru hijrah ini agar Allah mengurniakan keberkatan, keamanan, dan kemajuan kepada kedua-dua negara, Malaysia dan UAE.

2. Patik juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Malaysia kerana sudi memilih patik sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini. Sambutan yang diadakan saban tahun ini merupakan suatu sambutan yang sangat bermakna kepada umat Islam kerana ia mengingatkan kita dengan suatu peristiwa besar dalam sejarah kemanusiaan, iaitu peristiwa hijrah junjungan Nabi Muhammad yang mulia. Nabi yang membawa kerahmatan, petunjuk, kasih sayang, ketenangan, dan keamanan buat manusia sejagat. Hijrah Nabi Muhammad mengajar kita untuk menyebarkan keamanan di serata pelosok dunia. Nabi Muhammad bersabda: “Kalian tidak akan masuk syurga selagi kalian tidak beriman. Iman kalian tidak akan sempurna selagi kalian tidak berkasih sayang. Oleh itu, sebarkanlah salam, nescaya kalian akan saling kasih mengasihi.”

3. Bumi Malaysia ini telah sekian lama sedar tentang hal ini dengan baik.Semenjak Islam datang bertapak di buminya, agama Islam telah mendidik kehidupan rakyat setempat dengan nilai rahmat dan kasih sayang. Dengan ajaran Islam, rakyatnya hidup dengan aman damai, saling bersaudara, dan saling berkasih sayang.

4. Bertitik tolak daripada nilai rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad, maka ucapan patik pada hari ini akan berkisar tentang nilai rahmat dan nilai keamanan. Di kesempatan ini juga, patik ingin berbicara tentang usaha dan gerak kerja kami di Forum Mempromosi Keamanan, yang pada anggapan patik merupakan sebab utama patik menerima anugerah ini.

Ampun Tuanku,

5. Pada setiap zaman, terdapat suatu kewajipan dan tuntutan tugas yang mesti dilaksanakan. Tugas tersebut ialah suatu cabaran besar kepada manusia yang hidup pada waktu tersebut. Kewajipan yang berbeza-beza sepanjang waktu ini, terhasil daripada realiti semasa yang sentiasa terikat dengan kemaslahatan dan kemudaratan.

6. Sehubungan itu,, kewajipan masa kini adalah kewajipan untuk memperjuangkan keamanan. Semua manusia pada ketika ini, lebih-lebih lagi dunia Islam, sangat memerlukan keamanan. Beberapa insiden hitam yang telah berlaku sejak kebelakangan ini, menuntut kita semua supaya bersama-sama mengembleng usaha dan tenaga demi memadamkan api peperangan yang sedang marak menyala, setelah itu membentuk ketenangan dalam hati dan jiwa manusia. Kewajipan masa kini ialah usaha membasmi ekstremisme dan terrorisme.

7. Demikianlah matlamat yang kami ingin capai, menerusi pelbagai idea dan inisiatif. Di mana sahaja kami berada, seruan kami hanyalah satu iaitu seruan kepada keamanan dan bukannya peperangan. Seruan kepada keharmonian dan bukannya kebencian. Seruan kepada kasih sayang dan bukannya pergaduhan. Kami mencari jalan-jalan keamanan, bukannya mencari sebab-sebab pergaduhan dan peperangan jahiliah. Mesej kami kepada seluruh manusia adalah keamanan, kasih sayang, dan persaudaraan. Slogan kami adalah “memerangi peperangan”, agar hasilnya menjadi aman atas keamanan. Demikianlah tuntutan agama dan tanggungjawab kemanusiaan ke atas kami.

8. Misi keamanan ini berdiri di atas dua dasar yang utama yang saling melengkapi:

1) Kami menjalankan kajian secara menyeluruh dengan menonjolkan semua teks-teks agama yang menekankan objektif keamanan. Hal ini dilakukan untuk membuktikan kepada orang ramai asas perjuangan kami, bahawa Islam adalah agama keamanan dan nilai tersebut merupakan eleman yang paling kuat untuk menjamin hak manusia serta memelihara lima fakulti utama syariat daripada kemusnahan.

Dalam konteks ini, fokus utama kami adalah untuk meluruskan kesalahfahaman masyarakat mengenai beberapa konsep. Hal ini sangat penting kerana kebanyakan krisis yang berlaku di dunia pada hari ini, asalnya berpunca daripada salah faham yang tersemat dalam minda masyarakat seperti konsep khilafah, konsep menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran, konsep jihad, dan konsep taat kepada pemerintah. Konsep-konsep ini pada asalnya merupakan manifestasi kehidupan dan instrumen kerahmatan. Tetapi tatkala ia ditanggap secara salah, maka sudah pasti perbuatan yang bakal lahir daripada salah faham tersebut adalah perbuatan yang bertentangan dengan objektif sebenar kepada konsep tersebut.

2) Setelah sempurna dasar pertama, iaitu usaha penilaian dan pengkajian, maka dasar yang kedua pula adalah dasar pelaksanaan menurut kesesuaian realiti semasa. Kita dapat menilai bagaimana ramai orang Islam pada hari ini gagal untuk memahami realiti semasa. Masih ramai orang hidup dalam keadaan mengabaikan secara total perubahan-perubahan yang berlaku di sekitarnya. Masih ada orang yang melihat dunia pada hari ini seperti zaman pertengahan atau zaman empayar lama. Hal ini adalah suatu pemisahan dan ketidakpedulian kepada realiti dan persekitaran. Zaman empayar telah tamat dan kini masyarakat Islam hidup dalam dunia yang berpegang dengan konsep kenegaraan yang baharu iaitu negara bangsa.


9. Pada era ini, kesetiaan seseorang individu menjadi lebih kompleks dan kesetiaan tersebut tidak hanya terhad kepada kesetiaannya kepada agama sahaja malah berlaku atas faktor yang pelbagai. Kini muncul idea individualisme yang lebih mementingkan diri sendiri berbanding unsur kemasyarakatan. Dalam konteks globalisasi pula, keadaan dunia telah berubah dan kini kepelbagaian agama, budaya, dan bangsa telah menjadi norma kehidupan di setiap negara.

10. Pada hari ini juga manusia berpegang dan berpandukan piagam-piagam antarabangsa dalam membentuk dan memlihara hubungan antara negara. Idea kebebasan menjadi faktor yang berpengaruh pada realiti semasa. Begitu juga seruan kepada hak asasi manusia menjadi instrumen penting bagi kelangsungan hidup golongan minoriti di sesebuah negara. Masyarakat kini sudah terikat dengan kontrak sosial dan sistem politik yang baru dalam meneruskan praktik kedaulatan tanah air, serta mengamalkan sistem perundangan yang bebas dan bersepadu.

11. Pada sudut ekonomi pula, berlaku jurang yang sangat luas antara nilai material dengan nilai keagamaan dan kemanusiaan. Manusia menjadi sangat materialistik, hanya mementingkan keuntungan buat dirinya sendiri. Tiada lagi nilai mulia, sifat pemurah, belas kasihan, dan solidariti pada golongan yang lemah. Manusia hanya berfikir tentang keuntungan dan kekayaan, dan mengabaikan nilai agama dan kemuliaan. Manusia tidak lagi berfikir tentang implikasi sesuatu tindakan kepada kemanusiaan, sebaliknya manusia hanya berfikir tentang implikasi keuntungan dan kekayaan diri sendiri.

12. Demikianlah realiti hari ini, suatu realiti yang menuntut kefahaman dan pelaksanaan yang baharu. Hal ini demikian kerana realiti semasa merupakan unsur penting dalam memahami teks agama dan melaksanakannya. Menyedari akan hakikat ini, maka pada Januari 2016 yang lalu, kami telah melancarkan Deklarasi Marrakesh bagi menonjolkan kembali nilai-nilai Islam yang menyokong prinsip hidup kebersamaan dengan penganut agama lain. Deklarasi tersebut telah menekankan aspek kewarganegaraan yang mampu menyatukan manusia daripada pelbagai identiti, berlandaskan kefahaman yang sahih menurut tradisi usul fiqh serta mengambil kira pengaruh pelbagai pembolehubah yang berlaku di dunia.

13. Deklarasi ini diilhamkan daripada semangat Piagam Madinah. Piagam tersebut adalah suatu dokumen asli, daripada tradisi Islam yang asli. Dalam piagam ini, Rasulullah telah mengumumkan hak dan tanggungjawab yang sama antara semua penduduk Madinah yang berbeza agama dan puak, sebagai satu perlembagaan dan kontrak sosial Madinah yang baru. Tiada istilah majoriti atau minoriti dalam piagam ini kerana undang-undang yang adil tidak mengenal erti majoriti atau minoriti. Bahkan semua rakyat dinilai sama pada hak, tanggungjawab, dan kemuliaan mereka.

14. Deklarasi ini juga bermatlamat untuk mengharmonikan antara identiti keagamaan dan kenegaraan. Hal ini demikian kerana ramai masih beranggapan bahawa kesetiaan kepada agama bercanggah dengan semangat kesetiaan kepada negara, secara khusus di negara-negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Deklarasi Marrakesh cuba untuk membetulkan kesalahfahaman ini agar kesetiaan kepada agama menjadi neutral dan tidak bercanggah dengan kewarganegaraan, hal ini demikian kerana agama bukanlah suatu elemen negatif dalam kehidupan bermasyarakat.

Ampun Tuanku,

15. Patik datang menghadap Tuanku dari Abu Dhabi, yang telah mengumumkan tahun 2019 ini sebagai Tahun Toleransi. Cogan kata ini telah dipilih oleh pemerintah negara, Yang Mulia Sheikh Khalifah Ben Zayed Al Nahayan. Setiap inisiatif dan keputusan pemerintahan, akan berkisarkan semangat tersebut. UAE telah melancarkan program pendidikan, kebudayaan, dan membuat keputusan pada peringkat pendidikan dan undang-undang untuk memperkasakan budaya toleransi dan persaudaraan serta menggalakkan keamanan di dunia.

16. Perbicaraan tentang nilai keamanan dan kasih sayang ini bukanlah suatu perkara baru. Negara Tuanku sendiri, Malaysia, sentiasa menjadi contoh kepada dunia tentang kecantikan agama Islam dan kehidupan masyarakat yang bertamadun, berdasarkan kontrak sosial negara Tuanku yang berdiri atas asas kebersamaan dan keharmonian. Hal ini telah membentuk keunikan negara Malaysia dan membawa kemajuan dan kestabilan buat negara ini.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,

17. Akhir kalam, patik menegaskan bahawa negara UAE berkongsi keyakinan dengan Malaysia bahawa tiada masa depan bagi manusia melainkan dengan keamanan dan keharmonian. Tiada pilihan lain bagi dunia ini melainkan dengan hidup bersama (coexistence). Hal ini boleh dibuktikan secara rasional, malah sejarah dan realiti semasa juga telah menjelaskan kebenaran hal ini kepada kita. Demikian jugalah anjuran agama Islam, Allah berfirman: “Allah menyeru manusia ke tempat yang aman, dan Dia memberi petunjuk kepada jalan yang benar,” (Yunus 10:25)

Assalamualaikum w.b.t

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment