Oleh: Nazmi Yaakub
Persoalan ‘apakah itu Melayu’ ada kalanya menimbulkan masalah untuk menakrifkan identiti terutama pada zaman mutakhir ini, apatah lagi ketika sebahagiannya mengalami krisis kekeliruan terhadap jati diri bangsa.
Ia menjadi lebih kompleks apabila turut dipengaruhi perubahan aliran pemikiran daripada modenisme kepada pascamodenisme dan kolonialisme kepada pascakolonialisme.
Malah, peristiwa besar yang berlaku sepanjang sejarah boleh mencetuskan tanda tanya baharu terhadap identiti sebenar dan sejauh mana ia dapat bertahan menghadapi gelombang yang mengejut.
Dalam konteks semasa, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi katalis atau pemangkin kepada penafsiran semula identiti Melayu dalam berdepan latar sosio-politik baharu termasuk daya tahan serta daya saingnya menghadapi pemikiran yang lebih liberal.
Justeru, buku Dekonstruksi Identiti Dalam Teks Melayu karya Hashim Ismail terbit pada latar masa tepat, sekali gus dapat menyumbang masukan berguna dalam wacana identiti Melayu.
Ini kerana teks baik yang bersifat karya agung seperti Bustan al-Salatin, Misa Melayu, Sejarah Melayu dan Hikayat Raja Pasai atau karya sastera moden umpamanya Sakura Mengorak Kelopak serta Panggil Aku Melaju boleh dijadikan antara dasar dalam membina semula identiti bangsa.
Dalam usaha sebahagian intelektual, pemikir, strategis dan kelompok cuba menafsir sejarah dengan menggunakan New Historicism atau Pensejarahan Baharu yang pastinya turut membentuk identiti Melayu yang baharu, pengarang buku ini menggunakan kaedah dekonstruksi serta intertekstualiti.
Hashim yang juga profesor madya di Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM), merungkai dan membina semula pemikiran neonostalgia, iaitu menggali semula keagungan dan kesejahteraan dalam sejarah bangsa.
Proses penggalian itu bertujuan supaya dapat dikemukakan sebagai pengetahuan penting kepada generasi kini yang dapat ditampilkan sebagai identiti lebih berdaya saing.
Neonostalgia bukan hanya merindukan masa silam dan membebelkannya kembali, tetapi menjadikan keagungan serta pencapaian nenek moyang lalu sebagai asas kepada kebangkitan baharu bangsa serumpun.
Pertemuan berbentuk sejarah budaya, bahasa dan sastera dianggap jalan terbaik dalam merangkumkan idea neonostalgia yang perlu dikongsi dengan lebih kerap.
Dengan berlandaskan teks klasik dan moden, pemikiran neonostalgia lebih tertumpu kepada proses pemikiran pengarang dan bagaimana proses kreativiti mengolah semula sumber sejarah, kebudayaan, tamadun Melayu dan Islam, tradisi lisan serta sumber moraliti kolektif bangsa Melayu ke dalam bentuk lebih berkesan hingga dapat menumbuhkan semangat baharu dalam kalangan generasi masa kini.
Sesuai dengan semangat baharu dalam kalangan masyarakat Melayu yang melihat semula kedudukan institusi raja dengan pandangan kepentingan sejarah dan politik, buku ini menyorot identiti kedaulatan raja dalam teks seperti Bustan al-Salatin dan Misa Melayu.
Kefahaman terhadap hakikat institusi raja dapat membantu pembaca dalam mempertahan, menghargai dan memartabatkannya pada kedudukan sebenar, sekali gus tidak hanya terperangkap dalam semangat tanpa ilmu semata-mata.
Ia juga dapat menjawab keraguan dan kekeliruan sebahagian segmen masyarakat yang mengecilkan kepentingan institusi itu kepada aspek material atau peribadi semata-mata hingga tidak mempedulikannya atau lebih bahaya, memusuhinya.
Buku ini sebenarnya memperlihatkan teks magnum opus dan karya sastera moden serta mutakhir masih belum banyak diteroka, sebaliknya dibiarkan di rak buku atau paling hebat pun dibincangkan di menara gading tanpa dibawa masuk ke wacana awam.
Justeru, sudah tiba masanya untuk kita membetulkan semula perbincangan identiti bangsa dengan memasukkan pengetahuan yang benar termasuk melalui karya berbobot itu.
INFO: Dekonstruksi Identiti Dalam Teks Melayu
Penulis: Hashim Ismail
Halaman: 211
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
Pautan artikel asal di sini.
Previous Next