folder Filed in Dunia Buku
Membaca Api dan Cahaya di Malaysia
admin comment 0 Comments access_time 13 min read

Oleh Khairul Anam, Penterjemah Api dan Cahaya

It is written, “In the beginning was the Word.”

How soon I’m stopped! Who’ll help me to go on?

I cannot concede that words have such high worth

and must, if properly inspired,

translate the term some other way.

It is written: “In the beginning was the Mind.”

Reflect with care upon this first line,

and do not let your pen be hasty!

Can it be mind that makes all operate?

I’d better write: “In the beginning was the Power!”

Yet, even as I write this down,

something warns me not to keep it.

My spirit prompts me, now I see a solution

and boldly write: “In the beginning was the Act.”

(Goethe, Faust, Pt. I, 1224-37)[1]

Ini bukan resensi buku. Tetapi tentang suatu prinsip umum dalam politik. Dengan prinsip ini mungkin kita dapat membaca dan meneliti dengan lebih baik sejarah, karya, idea, teori, projek, dan realiti politik. Contohnya, dalam membaca buku Api dan Cahaya terbitan terbaru IKD (2016), dan dalam meneliti kemelut dan realiti politik Malaysia waktu ini.

Kita mulai dengan Api dan Cahaya. Buku ini bercerita tentang kelahiran falsafah Pencerahan dan pergelutan panjang kaum Pencerah dan Reformis (filasuf, pemikir, negarawan, ahli politik, aktivis dsbg.) dalam ikhtiar mereka mendirikan politik demokrasi di Britain, Perancis, dan Amerika Syarikat.

Buku setebal hampir 600 halaman ini sarat dengan cerita dan analisa tentang kehidupan politik. Dan semua itu, saya fikir, tersimpul dalam empat belas baris kata-kata Faust (Goethe) di atas. Kerana padanya tersimpan kebenaran terpenting tentang kehidupan dan realiti politik: “Pada mulanya adalah Tindakan.”[2]

Sedar atau tidak sedar, faham atau tidak faham, terpaksa atau rela, atas perbagai sebab atau kepentingan, manusia membentuk masyarakat politik—kerana itu memang sifat mereka sebagai haiwan politik.

Realiti politik pada dasarnya dibentuk oleh keadaan sejarahnya. Keadaan ini bukan lahir daripada pemikiran kita sendiri, tetapi daripada segala tindakan manusia—sama ada baik ataupun buruk. Malah semua tindakan itulah yang memungkinkan pemikiran dan memberi makna politik kepada pemikiran kita. Lebih tepat: tindakan manusia adalah titik mula idea atau pemikiran politik. Atau, dalam prinsip lebih umum, pemikiran tidak lahir dalam ruang kosong, tetapi ia muncul dan bermakna dalam latar sejarah.

Maka yang memungkinkan kemunculan pemikiran Pencerahan, seperti yang diceritakan dalam dua bab pertama Api dan Cahaya, adalah tindakan penguasa politik (dan agama) yang menginjak maruah dan kemuliaan insan—hingga nyaris tiada beza lagi di antara manusia dan haiwan.

Di tengah-tengah realiti politik itu, muncul beberapa orang pemikir atau filasuf yang merenung tentang segala tindakan dan amalan hidup dalam masyarakat dan zaman mereka, tentang sifat, keinginan dan hasrat manusia, kemudian menawarkan beberapa teori politik agar dengannya manusia dapat menikmati kebahagiaan dan menyempurnakan sifat serta daya mereka dalam hidup di dunia ini.

Kalangan pemikir politik adalah manusia realis. Paling utama dalam dua pengertian berikut. Pertama, mereka secara sedar hidup di tengah realiti politik dan merenung segenap sisi realiti tersebut. Kedua, daripada perenungan mereka menggarap idea-idea yang mereka percaya berupaya mengubah atau mengolah realiti yang ada. Tetapi, bagaimana idea-idea mereka dapat menyentuh realiti itu?

Berbeza daripada sesetengah idea dan teori lain, idea dan teori politik umumnya mempunyai dua sasaran: khalayak dan pendukung.[3]Hubungan ini, bagaimanapun, bukan sesuatu bersifat selapis, tetapi ia rencam dan bertumpang tindih.

Sesebuah karya politik boleh sahaja bercakap kepada khalayak—warga dan rakyat biasa—dari pelbagai latar belakang dan dari tempat dan zaman berbeza. Lebih tepat: kepada seluruh manusia. Kita sedia maklum terdapat karya-karya politik agung yang kepentingannya kekal sepanjang zaman. Antaranya, Republik karya Plato, dan Makalah Tentang Kerajaan karya Locke. Karya-karya ini terus kekal kerana ia mengandungi persoalan dan pesan sejagat tentang politik: keadilan, kezaliman, kekuasaan, hak manusia, sifat dan keunggulan manusia, akhlak dsbg.

Kepentingan dan makna sesuatu teori politik pada setiap tempat dan zaman bergantung pada realiti politik pada tempat dan zaman itu. Ia harus berupaya menyentuh kehidupan khalayak dalam realiti politik yang rumit dan kadangkala tidak berupaya mereka sedari dan fahami. Hanya dengan bercakap kepada khalayaknya dalam realiti politik merekalah maka sesebuah karya politik memperoleh kepentingan dan maknanya dalam fikiran khalayak. Dan dengan itu dapat membangkitkan kesedaran dan kefahaman mereka tentang realiti politik yang ada lalu mendorong menimbulkan pertanyaan apakah wajar atau tidak untuk mereka terus hidup dalam realiti sedemikian rupa.

Selain daripada ditujukan kepada khalayak pembaca secara umum, sesebuah karya politik juga dikarang untuk orang yang diharapkan akan membaca dan dipengaruhi oleh karya itu lalu mendukung penerapan segala ideanya bagi mengubah realiti politik yang ada. Mereka terdiri daripada orang yang mempunyai kuasa dan pengaruh, negarawan, ahli politik, penggubal undang-undang, aktivis, warga yang giat dan prihatin, intelektual, dan teoretikus. Golongan pendukung ini tidak semestinya sudah sedia ada, kerana kalangan pembaca lain (warga dan rakyat biasa) juga suatu masa nanti boleh memainkan peranan sebagai pendukung.

Kalangan teoretikus dan intelektual yang mendukung idea-idea ini lazimnya mengambil peranan memperjelas, memperhalusi dan menyebarkannya ke tengah masyarakat—dalam bermacam bentuk penulisan, kumpulan-kumpulan diskusi dan di meja-meja kopi.

Sementara kalangan pendukung yang berkuasa dan berpengaruh (negarawan, ahli politik, penggubal undang-undang, aktivis politik) pula berusaha menerapkan semua idea ini menerusi projek politik untuk mengubah tindakan, pemikiran, dan aturan politik yang ada.

Kedua-dua ikhtiar ini dapat ditemui di celah-celah halaman Api dan Cahaya. Bagaimana idea-idea politik Pencerahan, terutamanya idea-idea Locke, cuba dikembang dan dilaksanakan di England bermula daripada Revolusi Gemilang sehingga pelbagai ikhtiar reformasi Parlimen dan akta-aktanya yang berterusan–kadangkala berjaya, seringkali juga gagal–hingga ke abad kesembilan belas. Bagaimana idea-idea politik ini kemudiannya terbang menyeberangi lautan Atlantik lalu membangkitkan kesedaran dan mempengaruhi pemikiran penduduk tanah jajahan hingga tercetusnya Revolusi Amerika. Semua idea ini, terutamanya idea-idea Locke, menjadi prinsip utama dalam Perisytiharan Merdeka yang dikarang oleh Jefferson, dalam penggubalan perlembagaan, dan dalam pembentukan sistem pemerintahan Amerika Syarikat. Dan semua idea itu terus diperhalusi dan diperdalami berdasarkan realiti politik bangsa Amerika oleh kalangan teoretikus politik seperti James Madison dalam Kertas Federalist-nya.

Api dan Cahaya tidak kurang jelas juga menunjukkan sebahagian idea sebilangan filasuf Pencerahan awal saling berkontradiksi. Dan tidak ketinggalan juga kalangan intelektual dan aktivis yang idealis.

Bahkan lebih jelas, dan penting, lagi ia memaparkan ikhtiar reformasi politik menerusi penerapan idea-idea politik Pencerahan bukan kerja mudah dan lurus. Ia menuntut perjuangan yang panjang malahan penuh dengan liku, kontradiksi, muslihat, dan kompromi. Ditambah pula lagi dengan sikap tidak teguh pendirian, separuh hati, pembelotan, dan pengkhianatan sesetengah pendukungnya.

Sekali lagi, ini semua menunjukkan kebenaran yang terkandung dalam kata-kata Goethe tadi: “Pada mulanya adalah Tindakan.” Kerana tiada projek atau teori politik yang dapat menentukan penerapannya sendiri. Dan tiada keadaan sempurna untuk penerapan sebuah projek politik dapat ditemui pada bila-bila atau di mana-mana pun. Apatah pula lagi, projek itu sendiri pun terdorong oleh realiti politik yang terlalu jauh daripada sempurna.

Tatkala turun ke dunia realiti ia berdepan dengan pelbagai keadaan sejarah yang meliputi dan mempengaruhi penerapannya. Semua keadaan ini, seperti sudah disebutkan awal tadi, lahir daripada segala macam tindakan dan kuasa politik orang lain—yang mempunyai kepentingan, keinginan, cita-cita, dan kepercayaan yang berbeza.

Semua ini, sudah tentu, akan berlaga lalu mencetuskan persaingan, yang kita panggil, politik. Dan kita memang tahu realiti persaingan politik tidak melibatkan idea-idea mujarad. Sebaliknya, ia bertumpu pada tindakan dan apa yang perlu dilakukan. Dan untuk berjaya itu menuntut kehandalan, kebijaksanaan, sikap realis dan pragmatis dalam mengatur gerak dan tindakan. Semua tindakan ini dilakukan oleh orang yang terlibat secara langsung dalam politik. Dan jarang-jarang sekali dilakukan oleh kalangan intelektual atau pemikir (melainkan mereka terlibat secara langsung dalam politik).

Sekarang sampai masanya untuk beralih pada realiti politik tanah air waktu ini. Ikhtiar reformasi politik Malaysia belum berusia 20 tahun. Tetapi—dengan realiti politik dan masyarakat dan kesedaran warga—ia menikmati pencapaian yang agak baik dalam masa 10 tahun, sekalipun hanya berupaya mengambil alih pentadbiran beberapa buah negeri. Dengan komitmen barisan pemimpin yang diberikan kepercayaan menerajui pentadbiran negeri dan desakan sebahagian besar anggota parti, beberapa tindakan dan dasar penting dalam ikhtiar reformasi politik sudah dijalankan.

Tetapi jalan masih panjang. Banyak yang belum dicapai. Terutamanya pada peringkat pemerintahan pusat. Parti-parti Pakatan dan rakyat berdepan dengan segala macam tindakan kerajaan pusat dan parti pemerintah untuk mematahkan ikhtiar reformasi.

Umno dan parti-parti komponen BN akan melakukan apa sahaja untuk menyekat ikhtiar reformasi politik. Perkiraannya terlalu mudah: demi menjaga kepentingan, kedudukan, dan kuasa masing-masing dan juga kebimbangan akan menghadapi hukuman undang-undang akibat segala salah-laku dan penyelewengan dalam mempertahankan hal-hal tadi.

Ramai orang sudah tahu tentang ini. Tetapi berapa ramai yang benar-benar sedar betapa besar cabaran yang menanti ikhtiar reformasi? Apakah ada jalan, strategi, langkah yang unggul dalam menghadapi cabaran itu untuk mencapai perubahan?

Yang unggul, yang sempurna mungkin sukar untuk ditemui—hatta pilihanraya sekalipun tidak memberi jaminan penuh. Maka cara yang terbaik adalah memanfaatkan atau meneroka apa sahaja kesempatan atau kemungkinan politik yang difikirkan wajar. Orang yang terlibat secara langsung dalam politik lebih tajam dalam menghidu kesempatan yang timbul—berbanding orang-orang yang bermain dengan idea dan kata-kata.

Antara kesempatan itu, saya fikir, adalah Deklarasi Rakyat. Ramai orang—di dalam atau di luar negeri—tahu Najib sudah tidak layak untuk memimpin negara. Tetapi Najib jenis orang yang sungguh tidak tahu malu. Malah dia dalam keadaan sangat terdesak. Dia sudah dan pasti akan terus memporak-peranda dan menunggang habis-habisan seluruh institusi negara demi menyelamatkan dirinya.

Deklarasi Rakyat adalah keputusan politik. Dengan kesedaran sebahagian pemimpin politik dan NGO yang terlibat tentang kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dengan perkiraan dan andaian tentang apa yang bakal berlaku jika mereka mengambil atau tidak mengambil apa-apa tindakan sekarang.

Mahathir sudah berusaha sendirian. Kerana pengaruhnya yang kuat pada fikiran mereka, sebahagian pegawai tinggi kerajaan dan anggota Umno yang sebelum ini beria-ia mempertahankan Najib diam-diam mula bertukar pendirian. Namun ini tidak cukup untuk menyingkirkan Najib.

Parti-parti Pakatan juga sudah cuba melakukannya baik di dalam mahupun di luar Parlimen. Semuanya telah menemui jalan buntu. Tetapi politik pantang dengan kesunyian. Setelah gagal untuk memikirkan langkah atau tindakan besar bagi menyingkirkan Najib dan konco-konconya, segelintir pemimpin parti-parti Pakatan mula mengatur helah dan muslihat untuk menyerang dan melemahkan sesama sendiri.

Tiba-tiba terbit dari mulut Mahathir kemungkinan untuk bekerjasama dengan semua parti politik dan NGO yang berhasrat untuk menyingkirkan Najib. Cadangan ini segera mereka sambut. Akhbar melaporkan Lim Kit Siang adalah pemimpin politik Pakatan yang paling awal bertemu dengan Mahathir untuk membincangkan tentang isu perpaduan negara.

Selepas itu muncul Deklarasi Rakyat dengan empat tuntutan utama:

(1) Penyingkiran Najib Razak sebagai Perdana Menteri menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.

(2) Penyingkiran semua orang yang bersekongkol dengannya.

(3) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baharu yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih.

(4) Pemulihan intergriti institusi yang dilemahkan seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC.

Saya tidak tahu siapa yang terlibat dalam perbincangan dan mengarang Deklarasi ini. Semua yang hadir pada hari itu sudah tentu bersepakat dalam tuntutan (1) dan (2). Sementara tuntutan (3) dan (4) pula boleh jadi sengaja dimasukkan untuk menarik sokongan parti-parti politik dan NGO-NGO, atau mungkin juga hasil daripada desakan mereka dalam perbincangan—jikalau ada perbincangan.

Semua tuntutan ini adalah matlamat yang hendak dicapai. Untuk mencapainya memerlukan banyak lagi tindakan atau kerja baik secara terbuka mahupun di balik tabir. Dan, setakat ini, tiada sesiapa pun yang tahu bahawa usaha ini akan berjaya atau semua tuntutan itu akan menjadi kenyataan. Mungkin ia akan dilupakan dalam sekelip mata.

Andaikata tuntutan (1) dan (2) berhasil, itu tidak bermakna Najib dan konco-konconya akan diseret ke muka pengadilan. Sekiranya tuntutan (1) dan (2) berjaya, itu belum tentu tuntutan (3) dan (4) sekaligus akan menjadi kenyataan. Mahathir mungkin sahaja mengkhianati kerjasama ini sebaik sahaja tuntutan (1) dan (2) tercapai. Dan, walau bagaimana sekalipun, Umno akan terus berkuasa.

Semua andaian ini menggusarkan ramai orang—termasuk anggota-anggota semua parti dan NGO yang terlibat. Yang paling gusar dan bimbang antara semua adalah orang-orang yang bermain dengan idea, seni, dan sastera.

Mereka mengecam semua ahli-ahli politik yang bekerjasama dengan Mahathir dengan bermacam kecaman. Mereka menyusun hujah dan kata-kata akhlak bagi menunjukkan betapa lemahnya akhlak pemimpin-pemimpin politik.

Tetapi mereka gagal melihat kesanggupan kalangan pemimpin itu untuk bekerjasama dengan Mahathir sebagai bukti komitmen mereka pada perubahan dan ikhtiar reformasi. Pegangan akhlak mereka yang murni itu telah membuatkan mereka memandang rendah pada keteguhan akhlak kalangan pemimpin politik tadi yang, meskipun sedar bahawa Umno terus akan berkuasa jika usaha ini berjaya, tetap bersedia untuk memainkan peranan dan mendesak ke arah reformasi akta parlimen dan pemulihan institusi negara secara meluas.

Mungkin ada yang akan meningkah bahawa saya terlampau percaya dan terlalu bersangka baik pada ahli-ahli politik itu dalam hal ini, hingga menghendaki mereka supaya menyokong Deklarasi Rakyat. Bukan begitu maksud saya.

Kita berhak bersetuju dan tidak bersetuju dengan usaha itu. Jika tidak bersetuju, tidak usahlah berlebih-lebih mengeji. Jika kita punya idea politik lebih bagus dan pengikut yang besar untuk menyingkirkan Najib dan melakukan perubahan politik besar-besaran, maka gerakkanlah usaha masing-masing. Jika kita percaya pada usaha mendidik dan membangkitkan kesedaran orang ramai maka jadilah pencerah yang berpijak di bumi nyata.

Sekiranya kita punya idea lebih hebat dan akhlak lebih mulia daripada semua ahli politik yang ada, maka wajib ke atas kita untuk turun melibatkan diri dalam politik dan mengambil tanggungjawab kepemimpinan. Jikalau tidak kita sendiri yang akan menanggung celakanya. Dan celaka yang paling besar adalah dipimpin atau dikuasai oleh orang bodoh lagi tidak berakhlak.

Khairul Anam, sedang menyiapkan ijazah kedoktoran daalam bidang falsafah di UK. Beliau juga adalah penterjemah buku Api dan Cahaya yang diterbitkan oleh IKD.

Nota Hujung

[1]^ Karya ini sudah diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Abdul Latiff Mohidin (ITBM, 2013). Terjemahan saya pada baris akhir (1237) berbeza dengan terjemahan beliau:

Tertulis di situ: “Pada mulanya adalah Kata!” / Usahaku tergendala. Siapa dapat membantu aku? / Kata itu tak seharusnya kunilai begitu tinggi! / Akan kubuat terjemahan, dalam bentuk yang lain, / Jika aku ini benar-benar dilimpahi cahaya ilham. / Akan tertulis di situ: “Pada mulanya adalah Minda” / Fikirkanlah dulu dalam-dalam ayat pertama ini, / Supaya penamu tak terlalu tergesa-gesa menulis / Adakah Minda yang menggerak-cipta segala? / Seharusnya tertulis: “Pada mulanya adalah Kuasa” / Ada sesuatu datang memberi amaran, di saat pena / Kupegang. Terjemahanku ini harus ditukar lagi. / Kini, roh itu menolong aku! Dalam kepastian, / Maka kutulis: “Pada mulanya adalah Amalan.

[2]^ Setakat pembacaan saya, Bernard Williams adalah filasuf pertama yang menganggap kata-kata ini sebagai kebenaran utama dalam realiti politik dan asas bagi membangun dan memahami teori politik. Sila lihat, “In the Beginning Was the Deed” dalam Deliberative Democracy and Human Rights, ed. Harold Hongju Koh dan Ronald C. Slye (New Haven: Yale University Press, 1999) hal. 49-60.

[3]^ Untuk bacaan lanjut tentang teori politik dan sasarannya, lihat Bernard Williams, “The Liberalism of Fear,” dalam In the Beginning was the Deed (New Jersey: Princeton University Press, 2005), hal. 52-61.

Sumber: http://jalantelawi.com/2016/03/membaca-api-dan-cah…

Api Dan Cahaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment