Pengulas/Penulis: Mohd Azizi Jaeh
Anthony Giddens (1938-) yang mengarang buku The Third Way: the Renewal of Social Democracy merupakan antara sarjana dan ahli sosiologi British yang pernah bertugas di London School Economy (LSE). Giddens adalah intelektual yang diminati oleh bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair (1997-2007). Ini berikutan cubaannya untuk keluar dan mendamaikan dua kutub ideologi yang sering bermusuhan dengan menawarkan “Jalan Ketiga” sebagai alternatif dan pilihan. Dalam erti kata lain “Jalan Ketiga’’ yang dikemukakan Giddens sebagai pembaharuan dan penyegaran semula ideologi demokrasi sosial. Giddens yang juga popular dengan karya Beyond Left and Right the Future of Radical Politics yang disifatkan saling bersentuhan dan berhubungan dengan karya “Jalan Ketiga.”
Pada 21 September 1998, Giddens besama Tony Blair tiba di New York bagi menghadiri seminar bersama Presiden Bill Clinton (1993-2000) mengenai konsep “Jalan Ketiga.” Bahkan buku Third Way ditulis dan diterbitkan selepas sahaja kemenangan Parti Buruh Baru atau New Labour Party pimpinan Tony Blair. Dalam buku “Jalan Ketiga,” Giddens menulis sebanyak lima bab dengan menekankan contoh dan membuat perbandingan demokrasi sosial klasik (kiri lama) dengan neoliberalisme (kanan) khususnya era bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher (1979-1990) sebagai cara mengkukuhkan hujah berhubung Jalan Ketiga yang ditawarkannya. Sekaligus dapat menyumbang korpus baru yang bersangkut paut dengan ideologi di peringkat politik internal (dalaman).
Berbeza dengan politik antarabangsa yang mencirikan Perang Dingin telah mengakhiri ideologi sosialisme dan komunisme ditandai dengan keruntuhan Tembok Berlin. Bagaimanapun, analisis Giddens tidak menumpukan persoalan sistem politk antarabangsa yang mempengaruhi secara dekat ke atas politik internal di Britain dan AS. Di sinilah ketelitian Giddens mengesan trend atau corak yang berbeza dari sudut dinamika kebangkitan dan kejatuahan ideologi kiri dan kanan. Giddens membuktikan kejatuhan kiri bermula pada 1979 dengan bangkitnya golongan kanan dan orde neoliberal yang diketuai Thatcher (1979-1990) dan diteruskan John Mayor (1990-1997). Sementara di AS Presiden Ronald Reagan (1981-1989) dan kemudiannya disusuli Presiden Bush Sr. (1989-1993) daripada Parti Republican telah mewarnai orde neoliberal. Kejatuhan kanan pula disifatkan sebagai peralihan daripada orde neoliberal kepada orde demokrasi sosial. Di AS, Bill Clinton (1993-2000) mempopularkan liberal kiri apabila meletakkan golongan demokrat sebagai centre-left. Seterusnya Tony Blair (turning point penting dalam karya Giddens) pula mengembangkan projek ‘new labour’ dalam kempen pilihan raya pada 1997.
Dapat dirumuskan bahawa ‘pertembungan ideologi’ serta ‘kebangkitan dan kejatuhan kiri-kanan’ antara politik internal dan politik antarabangsa adalah berbeza. Ia berikutan pembaharuan demokrasi sosial lebih terpakai dalam konteks perbincangan ideologi yang dianuti pemimpin sesebuah negara dan parti politik yang bersifat dalaman. Secara asasnya Parti Konservatif di Britain dan Parti Republican di AS dilihat lebih pro kepada jalur pasaran bebas, sementara Parti Demokrat umumnya memeluk jalur liberal bersifat kiri dan Parti Buruh Baru merupakan golongan demokrasi sosial yang dikaitkan dengan proses reformasi. Berbeza dengan politik antarabangsa yang lebih berpusat kepada perbahasan ‘state by state’ tentang pertembungan demokrasi kapitalisme di pihak AS dan komunisme yang diwakili Soviet Union (SU).
Penulis berpandangan sesebuah karya besar sebenarnya telah memberikan impak kepada situasi politik yang telah berlaku dan dianggap sebagai lanjutan sejarah yang terjadi pada masa kini. Sebenarnya “Jalan Ketiga” yang diungkapkan Giddens bukanlah satu istilah baru, tetapi perubahan yang disesuaikan dengan keadaan yang berlaku di Britain khususnya kemenangan bersejarah Parti Buruh yang dipimpin Tony Blair. Cumanya dalam konteks “Jalan Ketiga,” ia boleh disifatkan sebagai berakhirnya zaman ideologi yang ekstrem. Ekstrem di sini merujuk kepada ideologi yang tidak terikat dengan pegangan yang terlalu kiri dan kanan. Politik kiri dalam hubungan ini bermaksud sosialisme yang berpaksikan egalitarian, sementara politik kanan selalu dikaitkan dengan liberalisme memberatkan pemilikan individu. Jurang perbezaan tajam antara kiri dan kanan sebelum ini telah memecahkan kumpulan pemimpin, wujudnya perpuakan dan blok yang saling bermusuhan.
Malah demokrasi sosial bentuk lama yang dihujahkan Giddens sebelum ini lebih menekankan bentuk ekonomi campuran, negara yang mendominasi masyarakat sivil dan model negara berkebajikan (welfare state). Manakala neoliberal pula berpegang kepada konsep pasaran bebas, penerimaan ketidaksamaan sosial, mementingkan hak-hak individu, masyarakat sivil yang mempunyai autonomi dan pelaksanaan jaringan keselamatan sosial. Kedua-duanya menyatakan mereka adalah pilihan yang terbaik untuk diikuti. Bagi Giddens, “Jalan Ketiga” yang ditawarkannya berusaha menawarkan konsep baru dengan menggabungkan ekonomi campuran, negara demokrasi yang dapat menyeimbangkan tuntutan individu dan kolektivisme dalam masyarakat dan negara.
Dalam erti kata, tesis yang dikemukakan Giddens tidak condong atau terlalu berorientasi kiri dan kanan atau lebih tepat Giddens meletakkannya sebagai ‘penengah’ antara dua jalan. Ia dapat diterangkan apabila sebuah negara tidak semestinya menyerahkan nasib mereka sepenuhnya kepada kuasa pasaran atau (free market). Pada masa sama, tidak bererti juga sebuah negara harus berundur untuk tidak melakukan sebarang campur tangan, sebaliknya mempunyai peranan signifikan dan dalam keadaan tertentu penting dalam mempertahankan konsep keadilan sosial. Keadilan sosial ialah pengagihan yang harus diberikan kepada individu dan kumpulan yang kurang bernasib baik tetapi terdapat campur tangan daripada negara bagi melindungi sesebuah kelompok terbabit dengan menggunakan dasar bagi tujuan meratakan pengagihan kekayaan (baca John Rawls: Theory of Justice). Majoriti penganut demokrasi sosial telah menerima kapitalisme patut diubahsuai agar selari dengan prinsip keadilan sosial. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai perbezaan pandangan bagaimana ianya boleh dicapai. Keadilan sosial sebenarnya telah merentasi ideologi (beyond of ideology) sama ada di spektrum kiri dan kanan.
Tambahan pula, terdapat kajian ilmiah dan buku akademik dalam bidang pengkhususan ideologi mengklasifikasikan demokrasi sosial sebahagian daripada ‘keluarga liberal’ dan dianggap sebagai ‘liberal kiri’ – pecahan daripada ideologi liberal klasik dan moden. Umumnya, liberal kiri ialah golongan yang dapat mengakomodasi konsep keadilan sosial, kesamarataan dan kelihatan condong kepada idea-idea kiri dalam ‘situasi tertentu’ tetapi mengekalkan kapitalisme sebagai framework. Manakala golongan liberal ialah mereka yang berpegang kepada tesis pasaran bebas, ekonomi neoliberal, pemerintahan yang minimum dan mengangkat hak-hak individu sebagai kerangka utama. Bahkan menurut sarjana dalam bidang ideologi seperti Andrew Heywood yang menyifatkan demokrasi sosial tidak boleh dipisahkan dengan liberalisme moden yang umumnya menerima kerangka liberal demokratik.
Oleh sebab itu, penganut kiri ortodoks berpendirian bahawa demokrasi sosial sebagai ‘projek liberal’ yang diperbaharui bentuknya apabila menggunakan liberalisme sebagai kerangka dan turut memasukkan unsur-unsur sosialisme. Penganut kiri turut mengkritik dan tidak bersetuju jubah yang diguna pakai golongan demokrasi sosial atau centre-left kerana mengambil sikap tidak berani berevolusi, menolak berfikir secara radikal dan mengambil sikap berdamai.
Dalam buku Jalan Ketiga, Giddens pada bab awal menekankan kelemahan sosialisme dalam menyaingi kapitalisme. Malah dengan memetik ramalan Karl Marx berhubung dengan harapan kaum radikal bahawa ‘‘umat manusia dapat benar-benar bebas’’ kelihatan tersasar dan menyimpang daripada realiti masyarakat pasca kapitalis hari ini. Sosialisme dan komunisme menurut Giddens telah mati (baca: gerakan politik). Namun begitu, menurutnya ‘’idea mereka masih menghantui kita. Kita tidak boleh menyingkirkan nilai dan prinsip yang menggerakkan mereka berikutan beberapa di antaranya tetap merupakan unsur terpenting dalam mencapai kehidupan yang sejahtera selaras dengan perubahan sosial dan ekonomi.” Sosialisme telah berada dalam tempoh pengujian atau eksperimen sejak ratusan tahun tetapi gagal mencapai kejayaan seperti mana liberal yang pernah menjadi ideologi yang unggul (baca: kapitalisme) Meskipun sosialisme tidak dapat dihilangkan dari segi ideologi, tetapi kandungan pemikirannya semakin dicarikan dan diolah dalam bentuk baru.
Dalam konteks “Jalan Ketiga,” Blair pernah menyifatkan sosialisme sebagai bentuk ‘economic determination’ yang agak ketat telah berakhir dengan merujuk kepada sosialisme. Baginya “Jalan Ketiga” yang dianjurkan Giddens menolak konsep sosialisme tradisional sebaliknya menerima konsep sosialisme yang pernah dikemukakan Anthony Crosland yang memandang demokrasi sosial akan mencapai kemajuan dengan menghapuskan kapitalisme yang tidak adil dan menyediakan kebajikan sosial. Lebih penting sosialisme kontemporari telah melampaui (beyond) tuntutan Marxis ortodoks untuk menghancurkan sistem kapitalisme. Pada tahun 2009, Blair secara terbuka mengisytiharkan sokongan terhadap ‘kapitalisme baru.’ Tambahan pula, Parti Buruh yang dipimpin Blair telah mengiktiraf peranan yang dipegang oleh pasaran ekonomi dalam penghasilan dan pengagihan kekayaan. Menurut Giddens kemenangan Blair kerana kemahuannya untuk keluar atau melintas batas sempadan ‘kiri’ dan ‘kanan’ yang menjadi sudut pandang penting Giddens berhubung “Jalan Ketiga.”
Meskipun Giddens mengkritik sosialisme dan Marxisme, Giddens tidak sepenuhnya memeluk fahaman kapitalisme. Beliau juga mengkritik Thatcher yang menurutnya menindas majoriti rakyat kelas bawahan. Sungguhpun begitu, Giddens dengan pendekatan sosiologikalnya percaya akan evolusi kapitalisme yang mendorong manusia untuk bersaing memajukan diri dan meningkatkan status sosial seperti pekerjaan dan pendapatan. Perlu diingatkan sama ada pendekatan kiri atau kanan secara automatiknya tidak akan menyelesaikan konflik politik dan krisis ekonomi bagi sesebuah negara dan masyarakat. Dalam erti kata, seandainya krisis ekonomi kapitalis berlaku, maka jalan penyelesaiannya adalah terus menggunakan cara sosialisme, begitulah juga sebaliknya – ia bukannya jalan keluar dan sekadar pilihan yang simplistik atau mudah. Justeru, “Jalan Ketiga” tidak boleh diandaikan sekadar memilih antara pasaran bebas dan peranan negara yang besar (strong state), sebaliknya mendamaikan kedua kutub ideologi. Dengan cara itu, cadangan melalui dialog demokrasi dan pergerakan sosial melalui pelbagai hala penting menangani kesan globalisasi.
Bagaimanapun, perbincangan Giddens kelihatan mengambil posisi yang agak selamat dalam mengemukakan beberapa dilema. Lebih tepat Giddens berhujah secara pro dan kontra dalam kadar yang hampir sama “50-50.” Ia mungkin boleh diandaikan bahawasanya “Jalan Ketiga” adalah untuk ‘keluar dari perangkap dua jalan.’ Sebagai contoh, dilema individu akan memberi impak kepada sikap yang terlalu mementingkan diri, bagaimanapun ianya tidak mudah untuk ditundukkan dan digantikan dengan semangat kolektivisme yang akhirnya mungkin akan mengakibatkan keadilan pada individu, potensi dan keupayaan individu akan merosot. Begitu juga hujah Giddens berkaitan globalisasi yang harus diterima dan tidak dapat dielakkan, tetapi akhirnya globalisasi baginya harus dibimbangi kerana kesannya yang negatif dalam lapangan ekonomi.
Secara keseluruhannya, penulis berpendapat tulisan Giddens akan memberikan impak kepada masa depan politik abad ke-21- seiring dengan globalisasi dan ideologi yang tanpa mengenal sempadan. Para intelektual, pemimpin politik dan parti-parti politik tidak lagi mengikat diri mereka atau identik dengan satu ideologi tertentu. Ini berikutan ideologi liberalisme dan sosialisme telah lama hilang daya tarikan. Pemikiran politik yang berpandukan pembahagian spektrum telah kehabisan generasi kerana semakin mulai kabur dan dicairkan. Ini berikutan dengan sifat ideologi itu yang semakin plural, sering bertukar kedudukan, berubah mengikut keadaan yang merupakan fenomena yang sukar dielakkan.
*Penulis: Mohd Azizi Jaeh bersama rakan-rakan Diwan Reformasi dalam program ulasan dan perbincangan Buku di Jalan Bangsar.
Rujukan dan Bacaan Lanjut:
- Blair, T. 2009.
- Heywood, A. 1992. Political Ideologies: An Introduction. London: MacMillan Press.
- Giddens, A. 1994. Beyond Left and Right the Future of Radical Politics. Cambridge; Polity Press.
- Giddens, A 1999. The Third Way: The Renewal of Social Democracy. Malden: Blackwell Publisher Ltd.
- Rawls, J. 1971. A Theory of Justice. Cambridge: Belknap Press.
- Wheeler, H. 1961. The end of ideology by Daniel Bell. Dlm. The Journal of Politics 23(1): 173-174. The University of Chicago Press.
Pautan asal artikel boleh diperolehi di sini.
Previous Next