ISLAM DI BARAT, MUSLIM DI TIMUR

Karya emas Dr Zulkifli bin Hasan.

Alhamdulilah buku setebal 258 muka surat ini berjaya saya habiskan semasa kembara Umrah 18-29 Januari 2020. Berikut adalah ulasan saya mengenai buku ini.

“Israel lebih islamik daripada negara Islam dalam tadbir urusnya. Israel adalah negeri ke 51 dalam Amerika Syarikat. Islamofobia bukan hanya di Barat tetapi di negara Arab. Jepun adalah negara Islam tanpa umat!”

Itu antara kenyataan yang merenjat saya daripada buku ini. Pengalaman kembara Dr Zulkifli Hasan ke beberapa buah negara membuka luas mata saya seakan saya berada bersama beliau di setiap negara yang beliau kunjungi. Perkongsian rehlah beliau bersama ulasan kritis ini membenarkan firman Allah:

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

Ertinya: Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan yang tersebut – mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada (al-Hajj 22:46).
Setelah menamatkan buku ini? Saya bangga kerana ada rakyat Malaysia yang melalui pengalaman hebat seperti Dr Zulkifli Hasan di Mesir, Rafah, Gaza, Mekah, Madinah, Jepun dan Amerika Syarikat.

Ketika beliau berpenat jerih menempuh perjalanan ke Mesir dan Rafah, terasa benar keletihan itu. Ketika beliau melalui terowong bawah tanah ke Gaza, terasa gerunnya. Risau kalau terowong itu runtuh atau dibedil Israel. Sedih terasa apabila diceritakan Hospital al-Nasir yang mula beroperasi sejak 1962 di Gaza terpaksa ditutup kerana konflik hartanah yang dimiliki keluarga al-Amin. Ketika beliau merungut melihat longgokan sampah di merata bumi Mesir nampak sangat umat Islam perlu kembali kepada akar agama mereka.

Selepas negara Arab, penulis berkongsi pengalaman ke Jepun setelah terpilih menyertai Young Muslim Intellectuals in South East Asia anjuran Japan Foundation. Hubungan Jepun dengan dunia Islam rupanya sudah lama berlaku. Pernah sekali kapal empayar Turki bernama Etrugrul yang dipukul rebut diselamatkan orang Jepun. Kisah ini berlaku sekitar tahun 1890. Seorang Professor Jepun, Prof Midori yang membentangkan tajuk hubungan jepun dengan dunia Islam mengaku ketika Tsunami 2011, beliau secara spontan mengucapkan lafaz “Allahu Akbar!” (ms 85).

Penulis juga melawat berbagai Universiti Jepun antaranya Universiti berasaskan agama Buddha bernama Universiti Ryokoku. Universiti ini ditubuhkan sejak tahun 1639 dan menerapkan nilai Buddha dalam setiap bidang pengajiannya. Bangunan Universiti ini sudah berusia 400 tahun tetapi masih elok walaupun dibuat daripada kayu. Rahsia pembinaan bangunan kayu adalah untuk mudah mengesan langkah penceroboh.

Penulis juga berkongsi cerita di sebalik tragedi Nuklear Fukushima. Rupanya penduduk Fukushima tergolong daripada orang bawahan yang mana tempat mereka menjadi pusat janaan Nuklear untuk tempat lain. Rendah diri penduduk Fukushima sangat tinggi. Mereka yang berhijrah ke tempat lain juga dipandang rendah. Aduhai! Diskriminasi rupanya berlaku dimana sahaja walaupun di sebuah negara hebat seperti Jepun.

Walaupun orang Jepun memiliki disiplin yang tinggi serta akhlak yang terpuji, kegagalan utama mereka adalah kehidupan beragama. Mereka miliki otak cerdas tetapi kosong jiwa. Ketika berdiskusi dengan pelajar Iwate Universiti, separuh pelajar mengatakan agama tidak penting bagi mereka (ms 110).

Pada hujung kisah ke Jepun, penulis mengatakan Malaysia adalah negara terbaik antara yang terburuk tentang beberapa nilai Jepun seperti budaya menepati masa. Perbandingan ini dibuat antara Malaysia dan beberapa negara Arab.

Seterusnya penulis sekali lagi diberi peluang menjejakkan kaki ke Amerika Syarkat setelah terpilih mendapat biasiswa berprestij Fullbright Scholar. Banyak sekali perkongsiannya dalam buku ini. Antara yang wajar saya ketengahkan adalah:

Bertemu Prof Esposito dari Georgetown Universiti. Prof Esposito kata Malaysia perlu jadi pemimpin atau khalifah dunia Islam selepas kegagalan orang Arab (ms 189-190). Pandangan yang sama turut diberikan Dr Khalil Anani Prof Adjung di John Hopkins Univiersiti (ms 187).

Penulis juga bangun mempertahankan Malaysia ketika disindir sinis oleh wakil Singapore dalam sessi perbincangan tentang peranan Asean dan malaysia sebagai pengerusinya (193-194).

Ketika berada di hadapan Rumah Putih, penulis kagum melihat kewujudan peace vigil yang paling lama di dunia iaitu kira-kira sudah 30 tahun (ms 196).

Antara minat penulis dalam semua kembaranya ialah melawat perpustakaan. Antara perpustakaan yang sangat luar biasa ialah Library of Congress (ms 196). Filem Nasional Treasure Book of Secret lakonan Nicholas Cage, pernah menggambarkan suasana perpustaakan ini.

Antara pengalaman mendebarkan penulis adalah ketika disoal siasat oleh Polis Khas PENTAGON kerana beliau bersiar-siar di hadapan PENTAGON dan mengambil beberapa keping gambar curi. Unit risikan PENTAGON begitu efisyen kerana perincian penulis sudah mereka miliki sehari sebelum penulis bersiar-siar di sekitar PENTAGON (ms 200).

Penulis juga menceritakan kembara beliau ke Universiti Harvard. Antara keistimewaan Universiti ini adalah kewujudan akhbar harian bernama Harvard Crimson yang diterbitkan oleh para pelajar Universiti. Akhbar ini sudah diterbitkan sejak tahun 1873. Pengunjung yang kerkunjung ke sini juga boleh mengambil khidmat Harvard Tour yang dijalankan oleh para pelajar (ms 206).

Ketika berkunjung ke Chicago, penulis bertemu dan menemuramah pemilik Devon Bank Chicago. Bank ini milik keluarga Yahudi, tetapi bersikap terbuka menawarkan khidmat kewangan Islam kepada orang Islam. Bagaimana agaknya jika perkara ini berlaku di Malaysia? Pasti sentimen mengatasi maslahah (ms 227).

Ketika di Chicago juga penulis mendengar cerita dalaman tentang ketua mafia terkenal Amerika, Al-Capone. Rupanya beliau turut dikenali sebagai Robin Hood di Chicago dalam kalangan orang Itali (ms 229).

Ketika menyentuh perihal Muslim di Barat, penulis akui mereka memiliki identiti agama yang sangat bercelaru. Perkara ini disaksikan penulis ketika sesi tazkirah Maghrib oleh David Coolidge di New York Islamic Centre. Selepas tazkriah itu, para hadirin dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan di sinilah penulis dapati kecelaruan kefahaman mereka tentang Islam (ms 167-168)

Aduhai! Banyak sungguh sebenarnya saya mahu kongsi di sini, tapi cukuplah setakat itu. Jadikan ulasan tak seberapa saya ini sebagai pemangkin untuk anda semua membaca buku ini. Saya tahu tentang buku ini setelah menghadiri sebuah sesi perkongsian bersama Dr. Zulkifli tahun lepas. Saya beli online daripada Ilhambooks yang berpengkalan di Nilai, Negeri Sembilan.

Akhir kata, bacalah buku ini! Anda pasti belajar banyak perkara. Minda anda juga akan terbuka luas. Insya-Allah!

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
30 Januari 2020
UIAM, Gombak.

*Dr. Abdullah Bukhari merupakan Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan merupakan penulis yang aktif dan pengisi di saluran televisyen bagi rancangan berbentuk keagaaman. Pautan asal bagi resensi ini boleh dicapai di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment