folder Filed in Tokoh
Ustaz Yahya Othman: Murabbi Sepanjang Zaman
Bahagian Satu
admin comment 0 Comments access_time 4 min read

Rentang waktu usia yang dipinjamkan Allah kepada Ustaz Yahya Othman ialah 1939–2012 iaitu selama 73 tahun. Beliau dilahirkan pada tanggal 22 September 1939 di Kampong Labok, Machang, Kelantan dan mendapat pendidikan secara tidak formal dalam sebuah keluarga yang mementingkan pendidikan agama. Menginjak usia persekolahan rendah, beliau melanjutkan pendidikan formal di Sekolah Rendah Labok sehingga darjah dua.

Ketika berusia lapan tahun Ustaz Yahya Othman meneruskan rihlah ilmiyyah beliau ke Tanah Haram Mekah. Beliau menyambung persekolahan rendah (ibtidai) dan menengah (thanawi) di Madrasah Darul Ulum ad-Diniah. Guru dan murabbi yang berjasa membentuk jati diri dan keperibadian beliau ialah Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani yang juga merupakan Mudir (Guru Besar) Madrasah Darul Ulum.

Di kota ilmu yang penuh barakah inilah, Ustaz Yahya berpeluang menadah kitab daripada ulama-ulama besar dan ternama di Masjidil Haram, Mekah antaranya Syeikh Alawi al-Maliki, Syeikh Hasan Masyat, dan Syeikh Muhammad al-Maliki (sekadar menyebut beberapa nama). Semasa menuntut di Darul Ulum, Ustaz Yahya aktif dalam persatuan dan sangat gemar membaca. Di Mekah jugalah, benih Harakah Islamiah mula tumbuh dalam diri beliau yang disemai oleh Syeikh Mustafa as-Sibaei dalam ceramah lawatannya di sana.

Pada tahun 1959 seusai menuntut ilmu di Mekah, Ustaz Yahya meneruskan kembara ilmu ke bumi Syam iaitu Syria kerana tertarik dengan ucapan dan ceramah Syeikh Mustafa as-Sibaie. Namun hajat beliau ingin menyambung pelajaran di Universiti Damsyik tidak kesampaian disebabkan masalah tertentu.

Ustaz Yahya meneruskan kembara ke Baghdad Iraq pada tahun 1960. Hajat menuntut ilmu di kota purba Babylon dan negara Hikayat 1001 malam ini tidak juga diizinkan Tuhan kerana Iraq pada masa tersebut sedang bergolak akibat peralihan kuasa dan pemberontakan yang dicetuskan oleh golongan sosialis.

Pada tahun 1960, Ustaz Yahya meneruskan rihlah ilmiyyah ke “Ummu Dunya”, iaitu Mesir. Beliau mendaftar sebagai pelajar di Universiti al-Azhar dalam Kuliyyah Syariah wal Qanun (Perundangan Islam). Antara ulama dan pensyarah beliau ialah Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Dr Kamal Abdul Majd, Syeikh Hassan Faiq, dan Syeikh Dr. Hijazi (sekadar menyebut beberapa nama). Di universiti yang terkemuka, gah dan tersohor ini juga Ustaz Yahya aktif berpersatuan dan menggilap bakat kepimpinan.

Di sini juga, Ustaz Yahya mengenali tokoh-tokoh Ikhwan al-Muslimin antaranya Syeikh Muhammad Kamal as-Sananiri dan Syeikh Muhammad Mehdi Akif serta pimpinan Ikhwan yang lain dan beliau sempat mendapat tarbiah Ikhwan. Hal ini diakui oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz seperti berikut, “Ustaz Yahya Othman yang tiba di Mesir terkemudian daripada saya berjaya mengadakan hubungan dengan pimpinan Ikhwan al-Muslimin dan mendapat tarbiah langsung daripada meraka. Dalam aspek ini, beliau mengatasi saya dan lebih arif tentang perkembangan gerakan Ikhwan al-Muslimin berbanding saya.”

Pada tahun 1966, setelah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam setelah hampir dua dekad merantau mencari ilmu di Timur Tengah. Ustaz Yahya Othman pulang ke kampung halaman dan menamatkan zaman bujang beliau dengan Puan Habsah binti Tuan Guru Husin Rahimi, keluarga kepondokan Bunut Payung.

Kepulangan Ustaz Yahya hanya untuk melepaskan rindu kepada keluarga, kampung halaman dan tanah air tercinta selama tiga bulan sahaja. Beliau kemudiaannya kembali ke Mesir semula untuk menyambungkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Siasah Syar’iyyah dan berjaya menamatkan ijazah Sarjana dalam tempoh dua tahun enam bulam sahaja.

Hajat Ustaz Yahya Othman ingin meneruskan pendidikan ke peringkat Doktor Falsafah. Ini kerana permintaan Dato’ Asri Muda (Menteri Besar Kelantan) bagi membantu dan menolong beliau memajukan dan memperkasakan pendidikan dan dakwah di Kelantan. Ketika lawatan Dato’ Asri ke Mesir, Ustaz Yahya telah menjadi penghubung di antara pimpinan Negeri Kelantan, Universiti al-Azhar dan pimpinan Ikhwan al-Muslimin.

Syeikh Kamal as-Sananiri memberitahu kepada Dato’ Asri, “Pemuda ini (Ustaz Yahya) boleh membantu saudara dalam hal-hal yang kita berbicara tadi (mengenai dakwah dan tarbiyah)”. “Beliau (Dato’ Asri) mempunyai thiqah (kepercayaan) kepada kamu, kamu bolehlah membantu beliau,” kata Syeikh Kamal as-Sananiri kepada Ustaz Yahya kemudiaanya.

Dalam salam akhir dengan Syeikh Kamal as-Sananiri, beliau meminta Ustaz Yahya untuk selalu datang menziarahi beliau. Mulai saat itu, beliau kerap menziarahi pimpinan Ikhwan al-Muslimin dan hubungan semakin akrab. Begitulah kisah yang diceritakan oleh Ustaz Yahya titik mula hubungannya dengan Dato’ Asri dan pimpinan Ikhwan al-Muslimin.

Ustaz Yahya pulang berbakti kepada negeri “Tanah Serendah Sekebun Bunga” dalam memperkasakan pendidikan khususnya Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) di Nilam Puri pada tahun 1968.Dengan latar belakang pengajian Islam secara tradisonal di Mekah dan bukan tradisional di Mesir, Ustaz Yahya Othman telah menggunakan segala ilmu dan pengalamannya untuk memperkasakan dakwah dan tarbiah khususnya dalam bidang pendidikan.

Beliau pernah menjadi pensyarah dan Timbalan Dekan YPTIK, Nilam Puri sehingga institusi kebanggaan seisi negeri ini diberi pengiktirafan sebagai “anak tunggal” Universiti al-Azhar di luar dunia Arab.

* Dipetik dan disunting semula daripada buku Mutiara-Mutiara Dakwah Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Yahya Othman: Murabbi Sepanjang Zaman karya Mohd Nazeli Mohd Ariffin. Kedua buku tersebut boleh diperolehi di sini.

murabbi pas politik islam ustaz yahya othman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment