folder Filed in Resensi
Saat Terbaik Tunaikan Ibadah Haji - Dr Maszlee Malik 
admin comment 0 Comments access_time 1 min read

Musim menunaikan ibadah haji, kini mula tiba lagi. Di media sosial, masyarakat Malaysia mula berkongsi kenangan dan mengirim doa ketika menghantar keluarga dan sanak saudara mereka untuk berangkat ke tanah suci bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Dalam masyarakat Islam di Malaysia, ibadah haji jarang dikaitkan dengan orang muda. Pernyataan yang biasa wujud berkaitan dengan haji ialah “dah nak dekat pencen nanti”, “anak dah habis belajar”, “bila dah tak banyak komitmen” dan sebagainya. Ada juga yang menyatakan usia mudanya belum puas untuk enjoy atau belum sampai seru. Lebih menarik lagi ada yang berkata, “tak kan umur belum 40 tahun dah kena jadi ‘lebai’ pula.”

Dr. Maszlee berpandangan bahawa ini semua mentaliti yang salah. Apabila mind setting untuk menunaikan haji ditetapkan ketika usia tua, ia akan menyebabkan usia dan tenaga ketika usia muda dihabiskan dengan hal-hal yang remeh. Kita disibukkan dengan kereta pertama, rumah pertama, isteri pertama, anak pertama, percutian dan lain-lain lagi. Setelah separuh usia dihabiskan dengan hal-hal yang memenatkan, barulah haji menjadi tumpuan.

Usia muda adalah saat kita fit untuk menunaikan ibadah haji. Ibadah ini memerlukan kesabaran yang tinggi, tenaga yang banyak dan tubuh badan yang sihat. Pergerakan dari satu tempat ke satu tempat yang jauh, melontar jamrah, safa dan marwah serta cuaca yang panas menjadi cabaran yang bukan kepalang kalau haji dilakukan ketika usia tua. Tambah Dr Maszlee lagi bila nanti sudah pencen, penyakit pun mula bersusun-susun.

—-

* Dipetik dan disunting semula daripada buku Travelog Haji Hadi karya Dr Mohamed Hadi AH. Buku ini boleh diperolehi di sini

Haji Maszlee Malik Travelog Haji

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment