folder Filed in Dunia Buku
5 Buah Buku Maqasid Syariah Untuk Pemula
admin comment 0 Comments access_time 3 min read

Hari ini di Malaysia, perbincangan sekitar perbankan dan kewangan Islam, pengurusan organisasi, kewarganegaraan, kewajipan pemimpin terhadap rakyat dan pelbagai lagi isu akan dikaitkan dengan Maqasid Syariah.

Apa itu Maqasid Syariah? Maqasid Syariah secara umumnya seperti yang diterangkan oleh ulama Usul Fiqh adalah merupakan makna dan tujuan yang dikehendaki syara’ dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kepentingan umat manusia.

Ada 5 prinsip yang perlu dipenuhi untuk mencapai Maqasid Syariah iaitu;

  1. Menjaga Agama
  2. Menjaga Nyawa
  3. Menjaga Akal
  4. Menjaga Keturunan
  5. Menjaga Harta

Setelah semua prinsip ini dipenuhi, barulah tujuan dan makna hidup berlandaskan Syariah itu akan tercapai. Kali ini, Halaman Buku membawakan kepada anda, 5 Buah Buku Maqasid Syariah Untuk Pemula.

1. Maqasid Al-Shari’ah Untuk Pemula – Dr. Jasser Auda (Terjemahan Marwan Bukhari A Hamid)

Buku Maqasid Al-Shari’ah Untuk Pemula terbitan Institut Darul Ehsan (IDE) ini adalah buku terjemahan dari buku Prof. Jasser Auda, Maqasid: A Beginner’s Guide. Buku yang diterjemahkan oleh Saudara Marwan Bukhari Bin A. Hamid ini memuatkan perbahasan ringkas dan pengenalan asas Maqasid Syariah. Ianya sesuai bagi mereka yang tiada asas di dalam Bahasa Arab untuk mengetahui asas di dalam ilmu Maqasid Syariah. Anda boleh mendapatkan buku ini di sini.

2. Maqasid Al-Syariah : Satu Pengenalan Umum – SS Dr. Zulkifli Al-Bakri

Karya yang dihasilkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan ini berdasarkan tajuk sahaja kita sudah mampu untuk mencerna, bahawa ianya adalah satu pengenalan umum berkenaan ilmu Maqasid Syariah kepada masyarakat. Penulis menerangkan berkenaan Maqasid Syariah dengan bahasa yang mudah, sesuai  dengan sasaran pembaca iaitu mereka yang baru hendak mula mengenali ilmu Maqasid Syariah. Buku ini boleh dibeli melalui pautan ini.

3. Kompendium Maqasid Al-Shari’ah – Panel Penyelidik IDE

Kompendium ini adalah sebuah karya bersifat lebih kepada kamus, yang disusun oleh Panel Penyelidik Institut Darul Ehsan (IDE). Karya ini, memuatkan   istilah-istilah utama Maqasid al-Shari’ah tetapi memberikan pengetahuan umum berkenaan karya utama Maqasid Syariah, tokoh-tokoh utama terdahulu dan kontemporari termasuk sejarah ringkas perkembangan ilmu Maqasid al-Shari’ah. Istilah-istilah berkenaan Maqasid Syariah yang dimuatkan diberikan penjelasan dari segi takrif, serta penerangan bersesuaian dengan istilah yang dikemukakan. Karya ini boleh didapatkan melalui pautan berikut

4. Maqasid Syariah : Mencari Bibit Manusiawi – Wan Ji Wan Hussin

Melalui buku ini, Ustaz Wan Ji membawa perbahasan berkenaan kaitan antara Maqasid Syariah dan Syariah itu sendiri, juga perbahasan mengenai bagaimana Maqasid Syariah membimbing manusia mencapai maslahah dan mengelakkan mafsadah di dalam urusan seharian. Bagi mereka yang mencari buku berkenaan Maqasid Syariah sebagai permulaan mengenali ilmu ini, buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan awal sebelum menjengah ke karya berat berkenaan Maqasid Syariah. Ianya diterbitkan oleh Kemilau Publika. Ianya boleh didapatkan melalui pautan ini.

5. Maqasid Al-Syari’ah – Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Mek Wok Mahmud & Akhtarzaite Abdul Aziz

Buku terakhir ini adalah terbitan IIUM Press. Ia merangkumi huraian tentang objektif umum, iaitu tujuan Syariat Islam itu sendiri diturunkan dan beberapa contoh objektif khusus bagi perkara atau masalah tertentu. Kefahaman tentang objektif umum Syari’ah dan objektif khusus bagi sesuatu hukum itu penting dalam menentukan jenis hukum yang perlu ditentukan bagi kes atau persoalan yang dihadapi oleh seseorang penyelidik tentang hukum.

Ia secara umumnya adalah berdasarkan kepada kertas kerja yang pernah dibentangkan di seminar tentang Maqasid al-Syariah anjuran Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Buku ini boleh didapatkan di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment