folder Filed in Pencerahan
"Islam Tidak Memerlukan Reformasi"
admin comment 0 Comments access_time 3 min read

Tariq Ramadan dengan tegas dalam slot temubual beliau bersama Mehdi Hasan dalam Aljazeera menyatakan bahawa ‘Islam doesn’t need a reform. What I’m advocating is to reform the Muslim minds’.

Pandangan ini begitu tajam dan tepat sekali kerana Islam itu sememangnya tidak memerlukan apa-apa kebangkitan atau reformasi atau revolusi. Apa yang memerlukan perubahan utama adalah kebangkitan umat Islam itu sendiri khususnya refomasi dari aspek minda dan kekuatan intelektual.

Izinkan penulis untuk memulakan bicara dengan meninjau keadan umat Islam di dunia pada hari ini. Dunia Islam terus diuji dengan pelbagai cabaran dan permasalahan sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial mahupun budaya. Krisis yang berlaku di Timur Tengah seperti di Mesir, Tunisia, Libya, Syria, Iraq, Gaza, Yaman dan banyak lagi negara seakan membenarkan pandangan Bernard Lewis, sejarawan Amerika di dalam bukunya The Crisis of Islam.

Bukan itu sahaja, krisis yang melanda umat Islam juga berlaku di luar dunia Arab sepertimana yang berlaku di Myanmar berkenaan dengan isu Rohingya, di Selatan Filipina berkaitan dengan nasib umat Islam Moro, di Selatan Thailand dan beberapa negara yang lain. Peristiwa pengeboman di Bangladesh, Pakistan dan beberapa negara lain juga menambahkan lagi krisis dan konflik di dunia Islam.

Dalam keadaan dunia yang penuh mencabar ini dari sudut politik, dunia Islam terus dibelenggu dengan kemunduran ekonomi dan krisis pembangunan. Pelbagai laporan antarabangsa seperti World Development Indicators, Democracy Index, World Governance Indicators, Corruption Perception Index, Global Competitiveness Index, OIC Economic Outlook dan banyak lagi yang telah merekodkan status negara-negara Islam yang terkebelakang dalam segenap sudut.

Ini membuktikan realiti yang mesti didepani dan diatasi oleh dunia Islam. Begitu juga dengan Malaysia pada hari ini. Warga Malaysia khususnya umat Islam dibelenggu dengan masalah ketidaksamarataan ekonomi, kemiskinan dan gejala sosial.

Krisis yang melanda bukan sahaja berlaku di dunia Islam yang mundur dari sudut ekonomi tetapi merangkumi politik, sosial dan fahaman. Sebagai sebuah negara Islam yang dianggap stabil dan maju dari sudut politik dan ekonomi, Turki juga menerima ujian yang sangat getir. Peristiwa cubaan rampasan kuasa oleh tentera dipercayai didalangi oleh sebuah gerakan Islam  jelas menunjukkan bahawa cabaran yang dihadapi dunia Islam kini memasuki tahap yang begitu getir.

Musuh Islam yang cuba untuk menggagalkan misi islah kini bukan hanya beroperasi dari luar tetapi kini ia bergerak dari dalam, malahan dikhuatiri ada yang menggunakan nama Islam dan mendakwa sebagai gerakan Islam.

Dunia hari ini juga penuh dengan prejudis kepada Islam. Islamofobia dan persepsi negatif terhadap Islam berlaku di mana-mana di dunia. Bukan itu sahaja, pelbagai fahaman dan pemikiran kini menular dalam masyarakat seperti pemikiran liberal, atheist dan banyak lagi isme-isme yang boleh mengancam kefahaman dan kesucian akidah.

Keadaan ini disulitkan lagi dengan pertelingkahan antara salafi vs sufi, sunni vs syiah, tradisi vs wahabi dan yang terkini doktrin ‘Islamic State’ atau ISIS. Pertelingkahan tiada penghujungnya telah menimbulkan pelbagai polemik dan ada yang membawa kepada pertumpahan darah. Konflik dan krisis berterusan dunia Islam telah menimbulkan tanda tanya adakah masih ada harapan untuk kita menyaksikan kebangkitan Islam dalam masa terdekat.

Beberapa projek islah dan kebangkitan Islam yang telah dioperasikan puluhan tahun akhirnya mendepani pelbagai permasalahan dan ada yang tumbang dikhianati oleh segelintir golongan yang masih lagi berjiwa dijajah dan berminda ditawan.

Dalam konteks di Malaysia, gerakan Islam yang terlibat dalam politik juga mendepani krisis dan konflik dalaman yang akhirnya menyaksikan tertubuhnya parti baru yang boleh merugikan umat. Fenomena ini seakan menunjukkan bahawa reformasi yang berlaku di dunia Islam pada hari ini mempunyai permasalahan fundamental yang perlu diselesaikan.

Dipetik sebahagian daripada artikel Kebangkitan Generasi Baru: Realiti Dan Prospek Masa Depan dalam buku Masa Depan Strategik Kebangkitan Islam suntingan Zulkifli Hasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment