folder Filed in Pencerahan
Wisdom (Hikmah) Penentu Masa Depan Kebangkitan Islam
admin comment 0 Comments access_time 6 min read

Immanuel Kant ada menyebut bahawa ‘Science is organised knowledge and wisdom is organised life’. Ini bermakna pengetahuan sahaja tidak mencukupi dalam kehidupan. Apa yang lebih penting adalah ‘wisdom’ atau hikmah yang akan menjadi penentu masa depan dan halatuju kebangkitan Islam. Inilah yang mesti dijadikan panduan kepada Generasi Baru Kebangkitan Islam dalam merencanakan perjuangan. Pendekatan berhikmah ini dinukilkan Allah SWT dalam al-Quran menerusi firmannya dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Harus diingat bahawa hikmah bukanlah sesuatu yang boleh diperolehi  oleh sesiapa. Hikmah hanya akan dianugerahkan kepada orang tertentu yang layak untuk memilikinya. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dia memberikan kebijaksanaan kepada yang Dia kehendaki, dan barang siapa yang telah diberi kebijaksanaan, sesungguhnya telah diberi kebaikan yang melimpah, namun tidak ada yang mengetahuinya kecuali orang-orang yang berakal”. (alBaqarah: 269)

Mengambil kira realiti, pendekatan berhikmah harus didasarkan kepada realiti dan waqi’ serta yang paling utama al-awlawiyyat atau keutamaan. Sesungguhnya suasana yang kondusif adalah keperluan utama menjayakan agenda perubahan. al-Awlawiyyat ini menuntut kita untuk mendahulukan apa yang berhak didahulukan. Ilmu memahami keutamaan ini adalah sangat penting bukan sahaja kepada fuqaha atau ulama ianya juga penting kepada setiap individu dan institusi termasuk kerajaan.

Kebangkitan Islam yang didasarkan hikmah juga sangat sinonim dengan kefahaman dan keupayaan untuk menyeimbangkan antara maslahah dan mafsadah. Pengetahuan mendalam ilmu maslahah  dan mafsadah, memahami keadaan semasa dan aspek khusus berkaitan dengan sesuatu permasalahan.Yusuf al-Qaradhawi menyarankan untuk meninjau semula beberapa pandangan ulama terdahulu kerana ianya kemungkinan sesuai pada zaman tertentu. Perubahan kepada sebarang hukum ini mestilah berdasarkan perubahan kepada maslahah, uruf dan tempat. Sebagai contoh peraturan yang ditetapkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz untuk membezakan ahl al dhimmah melalui perbezaan pakaian sudah pasti tidak sesuai lagi untuk diamalkan pada waktu ini.

Hikmah juga merujuk kepada kaedah dan pendekatan beransur-ansur yang berorientasikan wasatiyah. Minda umat keseluruhannya harus dipersiapkan untuk sedia menerima perubahan. Islam merupakan agama yang mengutamakan pendekatan wasatiyah (kesederhanaan). Pendekatan kesederhanaan ini memperlihatkan Islam sebagai agama yang berhikmah. Manifestasi  wasatiyah ini bukan sahaja dituntut dalam bentuk individu tetapi lebih utama mewujudkan umat dan masyarakat yang mengamalkan wasatiyah ummatan wasatan’. Ini dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al Quran yang bermaksud:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”. (al-Baqarah; 143).

Pendekatan wasatiyah menolak sebarang sikap ekstrem dan gerakan yang berbentuk keganasan. Dalam konteks Malaysia, pendekatan wasatiyah menolak elemen yang berlebihan dalam beragama (al-ghuluw) seperti anasir yang boleh menyalakan api perkauman dan tindakan yang menceroboh hak peribadi seseorang. Pendekatan wasatiyah ini juga menolak ketaksuban terhadap pemimpin tertentu dan hanya mengiktiraf pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab.

Islam adalah agama rahmah alamiah kepada seantero alam. Kualiti kesejagatan yang ada pada Islam ini yang menjadi asas kepada ciri ‘inclusiveness’ di mana Islam meraikan keunikan kelainan budaya, perbezaan tradisi, kepelbagaian bahasa dan ketinggian tamadun. Nilai kesejagatan dalam Islam ini menjadikan ia relevan dan bersesuaian dengan kehidupan manusia pada setiap masa tempat dan kelainan bangsa serta budaya. Islam mengiktiraf kepelbagaian menerusi ciri kesejagatan ini di mana nilai-nilai dan prinsip-prinsip syariat mengangkat keadilan sebagai neraca utama dalam pentadbiran dan kehidupan. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

 “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” ( al-Fatihah: 2).

Al-Hurriyyah atau kebebasan merupakan salah satu daripada aspek yang menunjukkan mesej rahmatan lil’alamin. Karya al-Ghannoushi bertajuk al-Hurriyah al-‘Ammah fi al-Dawlah al-Islamiyyah(Kebebasan Umum dalam Negara Islam) mengandungi wacana penting pemikiran politik Islam kontemporari. Hal ini juga diungkapkan secara serius oleh beliau dalam karyanya yang lain bertajuk ”al-Dimuqratiah wa al-Huquq fi al-Islam”. Kebebasan dalam Islam mestilah seiring dengan keadilan. Konsep hurriyah wa al-adalah adalah menjadi tunggak kepada setiap aspek kehidupan.  Ini dijelaskan dalam al Quran yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (al-Ma‘idah; 8).

Konsep’huquq al-insan’ dan ’karamah insaniyah’ seharusnya diangkat menjadi dasar kepada pendekatan berhikmah. Ini bertepatan dengan ruh ayat 70 surah al Isra yang bermaksud ”Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”. Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf karamah insaniyah. Sejarah telah menyaksikan sendiri deklarasi hak asasi manusia lebih 1400 tahun yang lalu ketika Rasulullah SAW menyampaikan khutbah nya yang agung semasa hujjatul wida’. Rasulullah SAW dengan jelas menyampaikan mesej yang memberi peringatan kepada semua umat manusia dengan sabdanya; ”Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu adalah suci sesuci hari kamu ini, pada bulan kamu ini dan di negeri kamu ini”. Berbeza dengan falsafah hak asasi Barat yang berasaskan kepada konstruk sosial, huquq al insan dan karamah insaniah dalam Islam merupakan anugerah dan ketetapan Ilahi bersumberkan wahyu.

Sebagai sebuah badan dakwah, pendekatan al-Rahmah (kasih sayang) dan al-Rifq (lemah lembut) sepatutnya dijadikan asas pertimbangan. Pendekatan kasih sayang dan lemah lembut ini menuntut semua untuk tidak berlaku syadid al-qaswah atau kekerasan. Al-rahmah dan al-rifq inilah yang menjadi amalan dan sunnah Rasulullah SAW yang telah membuka hati ramai manusia untuk memeluk Islam. Pendekatan mengambil pandangan yang lebih mudah dan realistik dengan keadaan semasa.

Pendekatan berhikmah juga meletakkan maqasid al-Shari’ah sebagai dasar dan kayu ukur kepada gerakan Islam. Pelaksanaan syari`at (tatbiq al-shari`ah) misalnya mestilah mengambil kira semua aspek Syariat sebagai cara hidup yang lengkap (the complete way of life) yang mengatur segala dimensi kehidupan manusia: hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan sesama manusia sebagaimana yang diperincikan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti`ibadat, munakahat, mu`amalat dan jinayat. Dengan demikian konsep pelaksanaan syari`a difahami dalam pengertian luas, termasuk dimensi hukum-hakamnya, semangatnya, akhlaknya, dan maqasidnya iaitu objektif pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Dipetik sebahagian daripada artikel Kebangkitan Generasi Baru: Realiti Dan Prospek Masa Depan dalam buku Masa Depan Strategik Kebangkitan Islam suntingan Zulkifli Hasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment