folder Filed in Travel
Universiti Harvard: Memaknai Kembara Ilmu
admin comment 0 Comments access_time 21 min read

Musafir Ilmu di Harvard University

Berkunjung ke Harvard University merupakan antara impian sejak dari sekolah lagi. Berasal dari keluarga yang susah, selalu dipandang rendah oleh jiran-jiran dan hanya bersekolah di Madrasah Idrisiah yang serba daif, saya menyimpan satu hasrat untuk mencapai cita-cita menjadi sarjana bertaraf antarabangsa. Ketika melanjutkan pelajaran di madrasah, saya tidak dibekalkan seperti orang lain dengan segala kelengkapan. Cukup sekadarnya dan faham dengan kemampuan dan keperluan keluarga di kampung. Masih ingat apabila saya tiada beg yang sesuai untuk pulang ke kampung, hanya menggunakan beg kain yang mungkin pada hari ini sesiapa sahaja akan malu untuk membawanya. Setiap kali hujung minggu di madrasah, pasti ibu bapa rakan-rakan akan datang melawat anak-anak masing-masing. Saya akur bahawa sepanjang lima tahun di madrasah, ayahanda dan bonda tidak pernah datang melawat atas faktor masalah kewangan.

Madrasah Idrisiah meninggalkan memori indah semasa bermulanya mengenal usrah, al-mathurat, gerakan Islam, tokoh ilmuan dunia, muktamar, tamrin, ana enta, akhi ukhti dan banyak lagi. Bermula di Baitul Aman, rumah usang yang menjadi asrama selama beberapa tahun menjadi titik bermulanya kehidupan sebagai seorang penuntut ilmu yang serius. Terima kasih semua murabbi, guru dan pendidik Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar, Perak. Jasamu dikenang. Dengan segala kekurangan inilah, saya berazam untuk menjadi seorang sarjana kelas dunia dengan hasrat ingin membuktikan bahawa setiap individu punya potensi untuk berjaya. Sesuai dengan status kota Boston sebagai antara pusat ilmu terkenal dunia, saya meneruskan rihlah ilmiah ke kota ini dengan penuh rasa bersemangat.

Berkelana ke Boston

Saya meneruskan permusafiran ke Boston bagi urusan penyelidikan di Harvard University. Saya ada mengatur beberapa pertemuan dengan staf akademik Harvard Law School sambil melakukan penyelidikan. Alhamdulillah, saya dapat menumpang di rumah saudara Zawir rakan setugas di USIM yang kini menyambung pengajian di Boston University dalam bidang sains aktuari. Saya bertuah kerana dapat mengenali beliau dan rakan serumah Zawir yang kesemuanya pelajar cemerlang. Omar (pelajar terbaik SPM Sekolah Dato’ Abdul Razak), Gaddafi (pelajar terbaik Sekolah Alam Shah), Nik Amirul (pelajar terbaik Sekolah Menengah Agama Shah Alam) dan Zawir antara pelajar terbaik Kolej Islam Sultan Alam Shah. Jika dibandingkan dengan mereka ini yang kesemuanya alumni sekolah berasrama penuh, saya hanyalah pelajar madrasah yang serba kekurangan dan kelengkapan.

Kebetulan pula ketika sampai di Boston adalah hari Asyura, semua ahli rumah berpakat untuk berpuasa. Saya berhasrat untuk membelanja mereka semua waktu berbuka berpuasa. Setelah saya puas meronda sekitar bandar Boston dan meninjau Harvard University, saya terus bergegas pulang untuk berbuka puasa. Saya berbuka puasa sunat Asyura bersama pelajar Malaysia di Boston University dan menunaikan solat di Islamic Society of Boston Cultural Centre. Saya berhasrat untuk berjumpa Suhaib Webb, pendakwah terkenal di Boston yang sering kali tampil di rancangan televisyen di Malaysia tetapi dimaklumkan beliau berada di luar negara pada hari tersebut.

Pada hari pertama menjejakkan kaki di Harvard University, cuaca adalah amat sejuk dan salji turun membasahi bumi. Saya telah meneroka dan meninjau hampir keseluruhan kawasan universiti sambil mengambil gambar dan mengunjungi beberapa kedai buku. Saya melawat Kennedy School of Government, Harvard Business School dan banyak lagi tempat menarik. Amat menarik di sini kerana senibina dan rekabentuk bangunan yang terdapat di Harvard University mempunyai pengaruh senibina Islam. Terdapat kubah dan beberapa bentuk senibina Islam yang jelas menunjukkan ada pengaruh tamadun Islam seperti juga di Oxford dan Cambridge University, United Kingdom.

Pertemuan Dengan Profesor Intisar Rabb

Individu yang mula-mula ditemui saya di Harvard Law School ialah Ceallaigh Reddy iaitu staf pentadbiran yang bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal akademik. Saya telah bertemu dan berbincang dengan beliau mengenai perjalanan pengajaran dan pembelajaran di Harvard Law School. Saya berkesempatan untuk meninjau beberapa siri kuliah di Harvard Law School yang dikendalikan oleh profesor-profesor hebat di sini. Reddy memberikan kerjasama yang baik dan membantu saya dalam beberapa urusan penyelidikan di Harvard termasuk mengatur pertemuan dengan beberapa individu di sini.

Saya juga membuat temujanji dengan Rashid Alvi, Pengurus Projek Islamic Legal Studies Programme (ILSP) di Harvard Law School. Beliau merupakan seorang pengamal perbankan berpengalaman dan berperanan merancang dan melaksanakan beberapa projek akademik. Isteri beliau adalah profesor di Princeton University iaitu rakan karib kepada Pengarah ILSP, Profesor Intisar Rabb. Sebelum ini, jawatan beliau dipegang oleh Dr Nazim Ali. Saya sempat berbual panjang dengan Rashid Alvi mengenai beberapa projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembangunan data secara maya yang diketuai oleh Profesor Intisar Rabb.

Harvard Bookstore

Pertemuan dengan Profesor Intisar Rabb telah diatur sejak awal lagi. Sesudah sampai di pejabat beliau, saya disambut dengan mesra dan dibawa masuk ke ruang perbincangan. Profesor Intisar Rabb – Profesor Undang-undang di Harvard Law School merupakan pengarah pertama ILSP Harvard Law School – Muslim, berhijab dan berbangsa African American. Menarik melihat bilik profesor-profesor di Harvard Law School ini bilamana ia dilengkapi sistem canggih termasuk TV, LCD touch screen dan alatan komputer lain yang memberi kemudahan selesa kepada kesemua kakitangan akademik. Perbincangan terus dibuat menggunakan peralatan dan sistem canggih ini. Alhamdulillah, perbincangan yang menarik dengan beberapa projek yang akan diusahakan secara jangka masa pendek dan panjang. Secara tiba-tiba, Profesor Intisar menunjukkan karya terkini saya bab ke-18 yang diterbitkan oleh SAGE Publication, London yang menjadi antara rujukan beliau. Ketika ini, saya benar-bernar sangat terharu dan sangat dihargai apabila seorang sarjana terkemuka seperti Profesor Intisar memberi kredit kepada saya. Saya mengatakan kepada beliau bahawa saya sendiri belum menerima buku tersebut dari penerbit. Buku ini telah disunting oleh Profesor Mashood Baderin, Profesor Undang-undang di School of Law, SOAS, London.

Di samping urusan di Harvard University, saya sempat mengunjungi Harvard Bookstore. Saya mengakui bahawa Harvard Bookstore adalah antara kedai buku terbaik pernah dikunjungi. Terdapat satu tingkat yang melambakkan buku-buku terpakai berkualiti dari seluruh dunia dengan pelbagai kategori dengan harga yang murah. Sudahlah murah, berkebetulan pula pada hari kunjungan, diskaun tambahan sebanyak 40-80 peratus pula ditawarkan. Saya berkenalan dengan beberapa pengunjung kedai buku ini. Amat mengagumkan apabila melihat begitu ramai peminat buku yang masing-masing membawa bakul mendapatkan koleksi pilihan. Suasana yang sepatutnya ada di universiti-universiti di Malaysia.

Antara perkara yang sangat menarik peminat buku di Harvard Bookstore selain daripada koleksinya dan jualan buku terpakai yang sangat murah, ialah aktiviti menghidupkan budaya membaca dan suasana keilmuan. Hampir setiap hari diadakan book discussion bagi karya baru yang diterbitkan dengan memberi penulis asal buku tersebut peluang untuk berkongsi pandangan mereka dengan orang ramai. Perbincangan buku ini disiarkan ke seluruh pelusuk bookstore yang membolehkan pengunjung mendengar sambil memilih buku-buku yang ingin dibeli. Bagi book discussion yang melibatkan karya penulis baru, kehadiran adalah percuma tetapi apabila buku yang dikategorikan best seller dan oleh penulis tersohor, peserta diskusi perlu membeli tiket dan sesi wacana akan diadakan di dewan yang lebih besar.

Harvard Crimson

Sebagai universiti terbaik dunia, Harvard University meneruskan tradisi student activism. Harvard Crimson merupakan akhbar harian terbitan pelajar pra-siswazah Harvard University yang telah diterbitkan semenjak 1873 hingga hari ini. Harvard University telah membuktikan kepada dunia kualiti graduan yang telah dikeluarkan. Hingga hari ini, Harvard adalah institusi yang paling sukar untuk diterima masuk sebagai pelajar dan tenaga pengajar. Jenama Harvard itu adalah sangat berharga dan hanya pelajar yang betul-betul genius atau kaya dan bijak berpeluang untuk memasuki Harvard University.

Saya begitu mengagumi mengenai komitmen pelajar dengan pelbagai kegiatan dan aktiviti. Ini menimbulkan persoalan bagaimana pelajar ini boleh menerbitkan akhbar harian sejak 1873 hingga ke hari ini. Akhbar ini boleh dianggap sebagai legasi dan tradisi kecemerlangan. Harvard Crimson ini memainkan peranan memberi maklumat mengenai pelajar, kebajikan, isu semasa, perkembangan akademik dan lain-lain yang ditulis dan diedit sendiri oleh pelajar. Bukan itu sahaja, ia menjadi medan latihan kepada pelajar untuk mengasah bakat penulisan dan dalam masa yang sama menjadikan mereka cakna dengan berita dalaman dan dunia luar.

Selain menguruskan Harvard Crimson, pelajar-pelajar juga menguruskan sendiri aktiviti pelancongan di Harvard University. Jika sesiapa berhasrat untuk melawat Harvard University, dinasihatkan untuk menggunakan khidmat pemandu pelancong yang terdiri daripada pelajar. Kesatuan pelajar menguruskan sebarang aktiviti Harvard tour di mana mereka menjadi pemandu pelancong dan menerangkan sejarah Harvard kepada pelancong seperti juga yang diamalkan di Oxford University dan Cambridge University. Menggunakan khidmat pelajar-pelajar ini akan dapat menjimatkan masa untuk mengenali Harvard University malahan akan dapat mengetahui dengan lebih mendalam sejarahnya yang panjang.

Perpustakaan Harvard University

Saya meneruskan pertapaan di Harvard Law Library sepanjang berada di Boston. Setelah seminggu berada di Harvard University, saya mengakui bahawa Harvard Law Library ini adalah law library terbaik pernah dikunjungi. Koleksi dan susunan serta hiasan dalaman yang mengagumkan berserta dengan suasana ilmiah dan budaya ilmu dapat dirasakan. Perpustakaan Harvard merupakan perpustakaan universiti terbesar di dunia dengan 73 rangkaian perpustakaan seluruh universiti ini dan terdapat lebih 18 juta jilid buku. Perpustakaan ini juga adalah perpustakaan universiti tertua di Amerika dan ia merupakan tempat yang mesti dikunjungi.

Saya merasa sangat bertuah kerana berkenalan dengan Mr Yahya Melhem, pustakawan Harvard Law School Library yang sangat baik hati. Beliau banyak membantu dalam pelbagai urusan dan hampir setiap hari menanyakan rujukan diperlukan termasuk berusaha mendapatkan rujukan di perpustakaan Harvard yang lain iaitu 73 buah kesemuanya, khususnya di Harvard Business School dan JFK School of Government. Harvard Law School Library juga menempatkan hampir kesemua koleksi undang-undang terbitan dari seluruh dunia selain daripada online resources. Anda hanya perlu merujuk sudut koleksi undang-undang negara tertentu seperti Malaysia dan akan dapati koleksi undang-undang negara tersebut termasuk Current Law Journal (CLJ), Malayan Law Journal (MLJ), All England Law Report (ALLER) dan sebagainya.

Pemerhatian peribadi di perpustakaan di Harvard, Fordham Law School dan lain-lain perpustakaan, pustakawannya juga adalah mahir dalam bidang pengkhususan. Pustakawan yang mahir dalam bidang tertentu ditempatkan untuk membangunkan koleksi yang ada seperti pustakawan bagi Undang-Undang Perlembagaan, Undang-Undang Awam, Undang-Undang Antarabangsa, Undang-undang Syariah dan dan bidang-bidang yang lain. Mereka ini yang membantu membangunkan koleksi perpustakaan ini agar ia adalah yang terlengkap. Antara ciri universiti atau institusi ilmu yang hebat ialah koleksi perpustakaannya, bukannya hanya berbangga dengan bangunan tersergam indah yang menjadi mercu tanda.

Bertemu Karen Armstrong

Di antara penulis yang sangat prolifik dan berpengaruh ialah Karen Armstrong. Sebelum menjadi penulis, beliau merupakan biarawati gereja Katolik selama lebih tujuh tahun dan kemudiannya menyambung pelajaran di Oxford University. Karen Armstrong banyak menulis mengenai agama dan sejarah dan antara buku tersohor karyanya ialah Holy War: The Crusades and their Impact on Today’s World, Muhammad: A Biography of the Prophet, A History of God , Jerusalem: Once City, Three Faiths dan Islam: A Short History. Hampir kesemuanya adalah best seller dan menjadi rujukan utama seluruh dunia.

Saya berpeluang menghadiri diskusi dan pelancaran buku terkini beliau, bertajuk Fields of Blood, Religion and the History of Violence di Harvard University. Sememangnya penyampaian beliau selama sejam telah memukau hadirin dengan penguasaan ilmu dan bahasa yang mengagumkan. Beliau memetik beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w menolak tuduhan dan persepsi buruk terhadap Islam menggunakan cultural and historical approaches. Buku ini memberikan dimensi baru yang cuba membetulkan persepsi umum bahawa agama adalah faktor utama kepada berlakunya pertumpahan darah dan peperangan. Melalui pendekatan budaya dan sejarah beliau menelusuri faktor utama berlakunya pertumpahan darah yang sebenarnya sarat dengan cita-cita politik termasuk bahaya secularism. Penulis yang mencapai taraf selebriti seperti beliau diraikan seperti rock star dengan mendapat tepukan gemuruh dari seluruh hadirin.

Mendengar syarahan Karen Armstrong memberikan beberapa perspektif baru kepada saya. Umumnya, hujah dan pandangan beliau membicarakan karya yang ditulis bukanlah sesuatu yang baru. Malahan, banyak pandangan-pandangan beliau telah lama dinukilkan oleh sarjana pemikir Islam. Namun, kelebihan utama ialah bagaimana beliau mengolahkan pandangan tersebut dalam bentuk yang lebih segar mengggunakan lenggok bahasa yang menarik.

Bukan itu sahaja, saya melihat terdapatnya perbezaan apabila penulis bukan beragama Islam dan bukan dari dunia Arab menulis mengenai Islam dan Rasulullah s.a.w. Penerimaan masyarakat umum khususnya di luar dunia Islam seperti di Eropah dan Amerika adalah lebih baik. Pendekatan dan perspektif yang terkandung dalam karya beliau memberikan beberapa idea bermanfaat yang boleh digunakan bagi berhujah mengenai ciri universal Islam itu sendiri. Saya merumuskan bahawa untuk mempelajari sesuatu termasuk memahami dan menghayati dinamika kehidupan sebagai seorang Muslim, ia bukan hanya menerusi karya ulama dan pemikir Muslim tetapi juga penulisan oleh sarjana atau penulis bukan Muslim juga boleh memberikan manfaat dan dimensi baru terhadap kefahaman dan worldview pada realiti yang berlaku hari ini.

Warna-Warni Harvard University

Di samping menjalankan penyelidikan dan temu bual dengan beberapa individu di Harvard University, saya menggunakan peluang yang ada untuk meneroka setiap sudut pusat ilmu yang hebat ini. Kebetulan suasana di Harvard pada ketika ini begitu indah dengan warna warni pokok-pokok yang menghiasi keseluruhan kawasan universiti ini. Landskap yang begitu tersusun dan sistematik menjadikan Harvard seumpama universiti dalam taman. Saya mengakui pemandangan di Harvard ini begitu memukau dan mendamaikan. Dengan pelbagai aktiviti program keilmuan, kampus yang begitu bersih dan keadaan persekitaran yang menenangkan, menjadikan Harvard sebagai antara destinasi untuk menuntut ilmu yang diidamkan.

Seperti juga Oxford dan Cambridge University, Harvard juga merupakan institusi yang berkembangan menerusi konsep endowment yang hampir menyerupai konsep waqf. Harvard University adalah antara institusi pendidikan yang sangat kaya dan memiliki dana mencecah billion USD yang menjadikan ia cemerlang dan bebas. Dengan dana yang besar dan tidak bergantung kepada kerajaan, Harvard terus mengungguli kecemerlangan akademik dunia sejak penubuhannya hingga kini.

Di Harvard, terdapat empat fakulti yang tersohor iaitu Harvard Law School, Harvard Business School, JFK School of Government dan Harvard Medical School. Saya terus meneroka dan melawat kesemua fakulti ini di samping melihat sendiri suasana dan reka bentuk bangunan serta keindahan pemandangan yang ada. Harvard University ini dipagari oleh sungai yang sangat cantik dan keseluruhan bangunan di sini berlatar belakangkan warna merah. Sekiranya dilihat secara umum, reka bentuk dan seni bina di Harvard Universiy ini mempunyai pengaruh pelbagai tamadun dunia termasuk Islam. Terdapat bangunan-bangunan yang mempunyai kubah kecil dan beberapa senibina tamadun Islam.

Saya juga meneroka kampus termasuk tempat tinggal pelajar yang menginap di sekitar Harvard University. Terdapat beberapa kolej kediaman yang menjadi tumpuan pelajar. Saya dimaklumkan oleh pelajar bahawa kos untuk mendiami kolej kediaman adalah sangat mahal. Malahan, ia mesti melalui proses yang ketat memandangkan permintaan yang tinggi. Kos sewa penginapan di Harvard juga adalah sangat mahal dan mencecah ribuan USD sebulan. Rakan saya iaitu seorang profesor dari Thailand yang menjadi sarjana pelawat Harvard University dalam bidang Thailand Studies menyatakan bahawa beliau terpaksa menghabiskan sebahagian besar elaun pada sewaan untuk penginapan.

Harvard sangat terkenal dengan muziumnya. Usaha Harvard memelihara warisan dan nilai sejarah diiktiraf dunia. Ada beberapa muzium yang boleh dikunjungi di sekitar Harvard dan hampir kesemuanya masuk adalah secara percuma. Saya mengunjungi hampir keseluruhan muzium yang ada di Harvard. Kualiti koleksi di setiap muzium juga adalah mengagumkan. Harvard mempunyai dana yang begitu banyak, hasil sumbangan dermawan bagi menjalankan aktiviti memelihara warisan ini. Dana bagi tujuan ini bukanlah datang daripada kerajaan Amerika tetapi ia adalah hasil derma dan kutipan amal yang dijalankan. Ini juga merupakan antara faktor utama kepada kebebasan akademik iaitu ciri yang mesti ada pada mana-mana institusi dunia.

Antara tempat yang mesti dilawati ialah tugu John Harvard, pengasas kepada Harvard University. John Harvard ialah salah seorang pemimpin politik di Massachuset yang pernah menuntut di Cambridge University dan sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Beliau telah menubuhkan universiti pertama ini di Amerika pada 1636 sehingga hari ini menjadi antara universiti terhebat di dunia. Tugu John Harvard ini terletak betul-betul di hadapan bangunan di kawasan Harvard Yard. Pelancong pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dengan tugu John Harvard ini.

Saya juga berpeluang menunaikan solat Jumaat di Harvard University. Walaupun Harvard tidak mempunyai masjid khusus untuk umat Islam menunaikan ibadat, namun Harvard menyediakan ruang untuk berbuat demikian di salah sebuah bangunan yang umumnya digunakan sebagai bilik kuliah. Saya menunaikan solat Jumaat di bangunan ini dengan bilangan jemaah yang agak ramai. Jemaah terdiri daripada pelbagai bangsa, warganegara, warna kulit dan latar belakang.

Solat Jumaat di Harvard diimamkan oleh pelajar Muslim sendiri. Imam menyampaikan khutbah secara spontan tanpa menggunakan teks. Kelihatan ramai jemaah Muslimat yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah. Pada pemerhatian saya, sudah menjadi amalan biasa di Amerika apabila wanita menunaikan solat Jumaat di masjid dan mendengar khutbah. Berbanding Malaysia yang jarang kita lihat wanita menghadiri solat Jumaat dan bacaan khutbah.

Selain daripada pemandangan yang begitu mendamaikan, Harvard juga meraikan kepelbagaian agama termasuk membenarkan premis perniagaan Muslim. Terdapat banyak kedai makan halal di Harvard sama ada makanan Thailand, Arab dan Mediterranean. Pendek kata, umat Islam tidak mempunyai masalah mendapatkan makanan halal di sini kerana terdapat banyak kedai yang menyediakan hidangan halal kepada pengunjung. Saya memilih sebuah kedai makanan India sebagai premis pilihan berdasarkan kepada harga dan kualiti makanan yang disediakan.

Massachusetts Institute of Technology

Sementara masih meneruskan urusan di Harvard, saya mengambil peluang untuk melawati universiti jiran iaitu Massachusetts Institute of Technology (MIT). MIT ditubuhkan pada 1861 dan antara universiti terkemuka dunia terutama dalam bidang sains dan teknologi serta kejuruteraan. Ia ditubuhkan juga atas faktor kemuncak revolusi industri di Amerika. Maka tidak hairanlah apabila melihat begitu banyak makmal penyelidikan hebat di MIT termasuk reaktor nuklear, makmal aviation, aero angkasa dan lain-lain. Jika Harvard telah melahirkan lebih 150 Nobel Laureate, MIT juga berjaya menghasilkan lebih 80 Nobel Laurette, jumlah yang melebihi daripada mana-mana institusi di dunia.

Saya mengunjungi kedai buku MIT yang terletak berdekatan dengan stesen subway Boston. Kedai buku MIT tidak semeriah Harvard dan juga tidak terdapat program bedah buku semeriah di Harvard Bookstore. Mungkin keadaan ini berfaktorkan latar belakang MIT yang memfokuskan kepada sains dan teknologi. MIT menumpukan kepada penyediaan infrastruktur yang hebat bagi tujuan penyelidikan sains dan teknologi bertaraf dunia. Saya sempat membeli senaskhah buku profesor tersohor di MIT iaitu Noams Chomsky bertajuk Hegemony or Survival di kedai buku ini. Cuba untuk mengatur pertemuan dengan Profesor Chomsky tetapi atas faktor kesibukan, beliau tidak dapat memenuhi permintaan saya.

Seni bina bangunan di MIT sedikit berbeza daripada Harvard dan agak moden serta bercirikan futuristik. Jika di Harvard, bangunannya adalah klasik, seni bina bangunan di MIT bercirikan masa depan. Terdapat banyak bangunan dengan seni bina futuristik dan berwarna warni terdapat di MIT berbanding Harvard yang majoritinya berwarna merah dan seragam. MIT juga mempunyai galeri dan muzium yang hebat yang mesti dikunjungi oleh pencinta ilmu dan peminat kesenian. Koleksi yang dimiliki MIT menjanjikan kepuasan kepada pengunjung berdasarkan kepada kreativiti dan kualiti yang dipersembahkan.

Berbeza dengan Yale University yang merupakan saingan utama Harvard dalam pelbagai aspek, MIT mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Harvard University. Saya dimaklumkan oleh rakan saya yang pernah belajar di MIT sekitar tahun 80-an bahawa pada masa itu, MIT dan Harvard mempunyai kerjasama akademik yang amat baik. Walaupun pelajar MIT, beliau ada mengambil subjek-subjek kritikal di mana Harvard mendahului bidang tersebut seperti undang-undang, pengurusan perniagaan dan politik. Begitu juga penuntut Harvard, ada yang mengambil beberapa subjek di MIT bersesuaian dengan kekuatan bidang yang ada di MIT. Ini menjadikan lulusan MIT dan Harvard adalah yang terbaik di dunia dengan menggabungkan kepakaran dan menggunakan infrastruktur yang ada semaksimumnya.

Bandaraya Boston

Boston merupakan antara bandar paling sibuk di Amerika Syarikat. Selain New York dan Chicago, Boston juga adalah pusat perniagaan yang memainkan peranan penting dalam ekonomi Amerika. Firma guaman terkenal, firma audit, firma penasihat kewangan antarabangsa di Boston memberikan pelbagai perkhidmatan dalam banyak transaksi perniagaan dan perdagangan. Ini juga selari dengan kota Boston yang memiliki institusi pendidikan terkemuka dunia yang menyediakan sumber manusia berkemahiran tinggi.

Selain daripada pusat perdagangan, Boston juga terkenal dengan institusi pendidikannya. Terdapat tiga universiti tersohor di dunia di Boston iatu Harvard University, MIT dan Boston University. Tiga institusi ini amat terkenal dan pelajar dari seluruh dunia mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di sini. MIT terkenal dengan penemuan sains dan teknologi, Harvard hebat dalam sains sosial seperti undang-undang, pengurusan perniagaan, politik dan perubatan dan Boston University menjadi tumpuan dalam bidang kejuruteraan. Keunikan dan kelebihan institusi ini jelas menunjukkan bahawa setiap universiti itu hatta universiti terbaik dunia hanya mampu untuk menjadi yang terbaik dalam sesuatu bidang dan tidak akan mempu mendahului dalam setiap bidang ilmu.

Saya berkesempatan bertemu dengan beberapa pelajar Malaysia yang menuntut di Boston University dan Harvard University. Saya amat gembira menyaksikan anak muda Malaysia yang bijak dan berkarisma menuntut ilmu di universiti prestij dunia. Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar yang saya ketemui juga adalah pelajar yang baik dan mempunyai visi untuk memajukan diri. Saya bersama-sama lebih 10 pelajar berpeluang meraikan perpisahan dengan tiga pelajar Malaysia menuntut Harvard University yang akan pulang ke Malaysia. Jelas kemesraaan dan ukhuwah antara pelajar-pelajar ini sesama mereka. Majlis perpisahan ini diadakan di sebuah restoran yang menunya adalah berasaskan coklat. Ini mengingatkan saya kepada isteri tercinta yang sangat gemar memakan coklat khususnya Cadbury, Hershey dan Godiva.

Perpustakaan Boston

Kunjungan ke Perpustakaan Awam New York dan Library of Congress begitu menerujakan saya. Misi meneroka perpustakaan dunia diteruskan dengan mengunjungi Perpustakaan Awam Boston. Perpustakaan Boston ini pernah dianugerahkan sebagai antara perpustakaan tercantik di dunia. Selain daripada koleksi yang hebat, Perpustakaan Boston ini menyimpan khazanah sejarah tidak ternilai.

Seni bina dan reka bentuk Perpustakaan Awam Boston juga adalah sangat cantik. Ia jelas mendapat pengaruh ketamadunan Andalusia di Sepanyol. Jika melihat kepada kawasan bacaan santai bersebelahan kafe perpustakaan, sangat nyata bahawa anda seakan berada di Al-Hambra, Granada ataupun Cordoba. Terdapat air pancut dan taman yang menyerupai taman di Al-Hambra. Ini menunjukkan bahawa sentuhan seni reka bangunan ini menggabungkan pengaruh seni bina beberapa tamadun dunia.

Boston Tea Party

Negara-negara maju sangat sinonim dengan aspek memelihara warisan dan sejarah sama ada di Eropah mahupun di Amerika. Boston memiliki beberapa muzium yang mesti dikunjungi oleh pelawat terutama yang mahu memahami sejarah Amerika Syarikat dan perjuangan kemerdekaannya. Perjuangan generasi terdahulu untuk membebaskan Amerika Syarikat dari British sebenarnya bermula di Boston.

Muzium Boston Tea Party adalah tempat yang mesti dikunjungi jika melawat Boston. Ia terletak berdekatan dengan Federal Reserve of Boston. Boston Tea Party dicatatkan dalam sejarah antara peristiwa yang paling diingati. Ia menjadi pencetus kepada perjuangan kemerdekaan Amerika Syarikat. Tatkala British berterusan mengenakan pelbagai peraturan dan segala bentuk cukai, penduduk Boston telah menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka dengan tunjuk perasaan membantah dasar British yang merugikan dan menyusahkan mereka.

Sekiranya melawat Muzium Boston Tea Party ini, jangan lepaskan peluang menonton persembahan lakonan semula peristiwa Boston Tea Party oleh kru muzium. Kesemua kru muzium mengenakan kostum tradisional untuk memberikan gambaran sebenar peristiwa tersebut. Pengunjung boleh bergambar bersama-sama dengan kru terbabit sebagai tanda kenangan. Pengalaman melawat Muzium Boston Tea Party ini mengingatkan saya kepada apa yang berlaku di Malaysia dan di seluruh dunia. Kebangkitan rakyat selalunya bermula dengan ketidak puasan hati terhadap dasar yang tidak adil dan memberikan impak langsung kepada kehidupan. Cukai yang tidak adil serta menyusahkan rakyat pastinya akan menjadi pencetus kebangkitan rakyat untuk bangun menentang rejim yang korup dan zalim.

—-

*Dipetik daripada buku Islam Di Barat Muslim Di Timur: Memaknai Sebuah Kembara Rahmatan Lil ‘Alamin adikarya Prof Madya Dr Zulkifli Hasan.

Kembara Ilmiah rihlah ilmiah travelog zulkifli hasan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment