folder Filed in Tokoh
Ustaz Yahya Othman: Murabbi Sepanjang Zaman
Bahagian Dua
admin comment 0 Comments access_time 5 min read

Pada tahun 1970-an, ketika berkhidmat sebagai pensyarah di YPTIK, Nilam Puri, Ustaz Yahya Othman mula berjinak-jinak dalam Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan. Beliau telah menjadi calon PAS bagi Parlimen Pasir Puteh pada PRU tahun 1978. Kemudian beliau menjadi calon PAS di DUN Banggol pada PRU tahun 1986 namun tewas lagi.

Akhirnya pada PRU tahun 1990, Ustaz Yahya Othman berjaya memperoleh kemenangan di DUN Banggol. Seterusnya beliau dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan (EXCO) untuk tempoh lima tahun memegang portfolio Jawatankuasa Dakwah, Pendidikan dan Pembangunan Islam. Beliau mendapat mandat dari rakyat untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dari tahun 1990-1999.

Selepas melepaskan jawatan di YPTIK, Ustaz Yahya terlibat sepenuhnya dengan PAS. Beliau telah dilantik sebagai Yang Di Pertua PAS kawasan Machang untuk tempoh 20 tahun. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari, Timbalan Pesuruhjaya 2 dan Penasihat PAS Negeri Kelantan.

Di peringkat PAS Pusat pula, Ustaz Yahya Othman telah dipilih sebagai Ahli Majlis Syura Ulama dan dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama yang pertama. Selain itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan lain antaranya AJK Dewan Ulama PAS Pusat, AJK PAS Pusat, AJK Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS serta Murabbi Tarbiah PAS.

Pada sisi lain, Ustaz Yahya juga berkecimpung dalam wadah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) khususnya semasa awal tahun 1970-an, khususnya pada masa PAS menyertai kerajaan campuran bersama Barisan Nasional. Ustaz Yahya Othman sendiri diamanahkan sebagai pimpinan ABIM antaranya Timbalan Ketua ABIM Kelantan dan ahli Syura ABIM Pusat. Ustaz Yahya beliau memang lama dengan ABIM khususnya dalam Biro Pendidikan. Ustaz Yahya Othman juga mempelopori usrah dan tarbiah sebagai elemen pembentukan dan pembinaan rijal dalam ABIM. Usrah-usrah berjalan dengan pembentukan fikrah Islam yang lebih terkedepan daripada sebelumnya. Idea pemikiran Sayyid Qutb, Abul A’la Al-Maududi menjadi perbincangan usrah dan tamrin. Begitu juga buku-buku Pak Natsir dari Indonesia amat popular dalam pengisian usrah dan tarbiah.

Ustaz Yahya Othman bukan sahaja bergiat aktif di dalam negara, bahkan penglibatan beliau melebar ke peringkat antarabangsa melalui wadah World Assembly of Muslim Youth (WAMY) sebagai wakil bagi Asia-Pasifik pada tahun 1978 dan International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO). Penglibatan yang meluas di peringkat antarabangsa melalui pelbagai jawatan yang diamanahkan kepada beliau dan melalui wadah-wadah seperti WAMY dan PAS telah menemukan beliau dengan pimpinan gerakan Islam antarabangsa seperti, Syeikh Mustafa Masyhur, Syeikh Said Hawwa, Ustaz Fathi Yakan, Sheikh Muhmamad Mehdi Akif, Sheikh Rashid Gounoshi, Ustaz Karim Zaidan dan lain-lain lagi.

Menurut Ustaz Saiful Islam Hassan al-Banna, beliau telah mengenali rapat Ustaz Yahya sejak dari awal tahun 70-an lagi. Ketika mereka itu sama-sama menggerakkan pertubuhan WAMY dan IFSSO di serata dunia dan sering bertemu di muktamar antarabangsa serta selalu bertukar pandangan. Ustaz Yahya Othman juga cukup prihatin kepada masalah umat Islam sejagat khususnya di Patani, Aceh, Palestin dan pelbagai penjuru dunia yang umat Islamnya ditindas dan tertindas.

Bidang pendidikan sudah menjadi darah daging Ustaz Yahya Othman. Lantaran itu pada tahun 1978 setelah gagal mencuba dalam bidang politik dan tewas dalam pilihanraya, Ustaz Yahya Othman mengasaskan Institut An-Nur di Jalan Atas Banggol, Kota Bharu. Beliau kekal menjadi Penasihat sehingga ke akhir hayatnya.

Pada tahun 1995, Ustaz Yahya Othman melalui Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pembangunan Islam yang diterajuinya mengasaskan dan menubuhkan Maahad Dakwah wal Imamah (MDI). MDI kemudiaanya berkembang menjadi Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) pada tahun 1999. Ketokohan dan kewibawaan Ustaz Yahya Othman memimpin MDI dan KIAS terbukti sehingga mampu memperoleh “muadalah” dan pengiktirafan daripada Universiti al-Azhar yakni pemegang Diploma MDI dan KIAS boleh menyambung pelajaran ke tahun kedua di Universiti al-Azhar.

Setelah tidak lagi memegang sebarang jawatan politik dan parti, khususnya selepas tahun 2004, Ustaz Yahya Othman menumpukan perhatian dalam bidang dakwah dan tarbiah sepenuhnya. Beliau mengasaskan Darul Quran, Labok sebagai tempat mendidik masyarakat khususnya dalam pengajian dan pendidikan al-Quran. Darul Quran turut berperanan sebagai tempat program-program tarbiah khususnya dalam kalangan pemuda, mahasiswa dan pelajar.

Dalam kesibukan menyantuni anak-anak tarbiah, Ustaz Yahya Othman sempat mengumpul dan membukukan penulisan kertas-kertas kerja dalam memperkasakan tarbiah dan pembinaan ahli sejak 1980-an. Hasilnya, empat buah buku kompilasi kertas-kertas kerja beliau sempat dibukukan iaitu‘Amal Jama’i : Pengertian dan Tuntutannya (2006), Usrah Sebagai Tunjang Kepada Tarbiah Gerakan Islam (2011), Himpunan Kertas Kerja Tarbiah (2011) dan Kepimpinan Dalam Islam (2012)

Sebagai menghargai jasa dan sumbangan Ustaz Yahya Othman, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Buku Kelantan 2000/1421H, Tokoh Pendidik YIK pada tahun 2002/1423H, Anugerah Tokoh Kehormat KIAS pada tahun 2003/1424H dan Tokoh Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 2006/1427H. Ustaz Yahya Othman juga dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran daripada DYMM al-Sultan Kelantan yang membawa kepada gelaran Dato’.

Dalam parti pula, Ustaz Yahya Othman telah dimasyhurkan sebagai Murabbi PAS sepanjang zaman, yakni satu pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh parti atas komitmen beliau dalam memperkasa tarbiah parti dan perkaderan ahli-ahli jemaah. Dalam Majlis Konvokesyen Institut Latihan Dakwah dan Kepimpinan Islam (ILHAM), Lajnah Tarbiah dan Kepimpinan PAS, Ustaz Yahya diberi pengikrafan sebagai Tokoh Tarbiah.

Setelah melepas usia 63 tahun, Ustaz Yahya selalu menyatakan bahawa beliau sudah berada pada umur subsidi jika dirujuk kepada mafhum Hadis Rasulullah SAW, “Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun”. Ayat yang selalu diulang-ulang oleh beliau ialah “ana ini mati dalam jamaah dan perjuangan Islam”.

Fasa terakhir kehidupan beliau dipenuhi dengan gerak kerja tarbiah dan dakwah. Saban hari dan waktu, rumah beliau dikunjungi oleh pelbagai khalayak dalam jamaah untuk mendapat mutiara tarbiah daripada beliau. Ustaz Yahya menoktahkan perjalanan hidup di dunia yang fana’ ini pada pukul 6.15 petang Khamis 14 Jun 2012 di rumah beliau dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Labok, Machang pada pagi Jumaat jam 10.00 pagi meninggalkan legasi amal dakwah dan tarbiah dalam jemaah dan parti. Al-Fatihah.

* Dipetik dan disunting semula daripada buku Mutiara-Mutiara Dakwah Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Yahya Othman: Murabbi Sepanjang Zaman karya Mohd Nazeli Mohd Ariffin. Kedua buku tersebut boleh diperolehi di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Cancel Post Comment